200 Pegawai Perubatan Siap Sedia Kendali Tugas Hari Kebangsaan 2016


KUALA LUMPUR, -- Seramai 200 pegawai perubatan termasuk enam doktor pakar dan 20 ambulans berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan pada perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka, esok.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur Datuk Seri Prof Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata pasukan perubatan yang diketuainya akan berada di sekitar kawasan berkenaan bagi membantu mana-mana tetamu kehormat, peserta atau pengunjung yang mengalami masalah kesihatan khususnya penyakit berkaitan haba.

Pasukan perubatan itu merangkumi doktor pakar, pegawai perubatan, pembantu perubatan, jururawat dan pemandu ambulans dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

Selain itu, St. John Ambulans, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah turut menyertai pasukan perubatan tersebut.

Dr Abu Hassan Asaari berkata pasukan di bawah seliaannya itu telah menjalankan analisa melalui pemerhatian terhadap peserta dan petugas dengan mengambil kira faktor cuaca serta keadaan semasa.

"Kami melihat apakah risiko yang bakal dihadapi ketika berlangsungnya acara ini. Melalui pemerhatian kami, faktor utama adalah cuaca dan keletihan dalam kalangan peserta dan petugas.

"Dalam analisa situasi yang kami jalankan mendapati kumpulan berisiko tinggi yang mungkin berlaku kecemasan adalah peserta, petugas dan tetamu kehormat," katanya yang juga Pakar Perunding Kanan Traumatologi dan Ortopedik HKL.

Mengenai rawatan bagi penyakit berkaitan haba, Dr Abu Hassan Asaari berkata pasukannya akan menggunakan kaedah rawatan 'cold turkey' iaitu menggunakan ketulan ais, tuala yang direndam dalam air sejuk atau memasukan 'drip' air sejuk ke dalam tubuh pesakit.

"Selain itu, bilik rawatan lengkap berhawa dingin ini amat penting juga bagi membantu pesakit. Kami akan rawat pesakit mengikut kategori penyakit haba yang dibahagikan kepada ringan, sederhana dan berat," katanya.

Tambah beliau, pasukan perubatan juga bersiap sedia memberikan rawatan kepada peserta perarakan dan perbarisan bermula dari Masjid Negara sehinggalah ke pusat beli-belah Sogo. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA