121 Tabika Di Sarawak Dalam Keadaan Daif



KUCHING: Sebanyak 121 buah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh Sarawak telah dikenal pasti dalam keadaan daif dari segi fizikal.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata kebanyakannya adalah terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Justeru, katanya peruntukan sangat diperlukan untuk membaik pulih atau membina baharu tabika-tabika tersebut dengan segera.

“Dari segi keadaan fizikal tabika-tabika ini, ia sangat memerlukan peruntukan sama ada untuk dibina baharu atau dibaik pulih,” katanya sempena lawatan ke Taska Permata KEMAS Kampung Bawang, Jalan Puncak Borneo dekat sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Dayang Monaliza Wati Abang Ismail dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Rangen Jamang.

Menurut Fatimah, peruntukan yang diperlukan untuk membaik pulih atau membina baharu tabika-tabika tersebut dianggarkan sebanyak lebih RM10 juta.

Sehubungan itu, beliau berkata telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya berhubung perkara tersebut.

“Jika kami tutup tabika-tabika yang daif ini, di mana anak-anak kita hendak belajar.

“Maka sekarang kami dalam dilema untuk menyediakan akses dan tempat pembelajaran kanak-kanak yang kondusif.

“Saya berharap KKLW akan memberi peruntukan yang kita pohon supaya tabika-tabika KEMAS yang daif ini dapat dibaik pulih atau dibina semula dengan sewajarnya dan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan yang kondusif,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata semua tabika dan taska KEMAS di Sarawak turut memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM20 juta untuk membeli perabot dan peralatan pembelajaran bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Jelas beliau, perabot dan peralatan pembelajaran sangat penting untuk memastikan kanak-kanak dapat belajar dengan kondusif.

Dikendalikan di bawah KKLW, jumlah tabika KEMAS di seluruh Sarawak setakat ini adalah sebanyak 1,544 buah manakala taska sebanyak 78 buah. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA