103 rakyat Malaysia kendali tren haji di Makkah

KUALA LUMPUR: Seramai 103 pemandu tren rakyat Malaysia bersama 23 pemandu tren warga Arab Saudi terbabit mengendalikan perkhidmatan tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) untuk musim haji di Makkah, tahun ini.

Perkhidmatan 23 pemandu warga Arab Saudi itu adalah yang pertama sejak MMMSL beroperasi tahun lalu.

Pemandu warga Arab Saudi berkenaan mendapat latihan di Akademi Rel Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sejak awal tahun ini.

Pengarah Negara (Arab Saudi) Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME), Mohamad Hashim Mamot berkata, 35 daripada 103 orang pemandu rakyat Malaysia pernah terbabit dalam operasi tahun pertama musim haji lalu.

Katanya, seramai 68 pemandu adalah staf yang akan bertugas buat pertama kali.

"Alhamdulillah, mereka mempamerkan semangat kerja yang amat tinggi dan komited untuk menjaga nama baik Prasarana dan Malaysia

"Pembabitan penuh daripada pemandu tren adalah antara perkara penting dalam operasi berkenaan yang mana semua tren perlu diuji terlebih dulu termasuk peralatan dan fasiliti berkaitan seperti sistem semboyan dan Pusat Kawalan Operasi (OCC).

"Alhamdulillah, latihan percubaan operasi akan dijalankan sehingga sehari sebelum operasi sebenar, berjalan lancar kerana kehadiran pemandu tren yang berpengalaman, berdedikasi dan berkomitmen tinggi.

"Saya berterima kasih kepada Rapid Rail kerana melepaskan pemandu ini untuk operasi MMMSL tahun ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Rapid Rail and PRIME adalah anak syarikat kepada Prasarana, yang turut menjadi syarikat induk kepada beberapa anak syarikat lain - Rapid Bus Sdn Bhd,Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd (PRAISE) dan Prasarana Integrated Solution and Management Sdn Bhd(PRISM).

Hashim berkata, pemandu tren untuk Prasarana dipilih daripada kesemua empat laluan yang dikendalikan oleh Rapid Rail - LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Sri Petaling- Ampang, Laluan Monorail dan juga Laluan MRT Laluan 1 Sungai Buloh - Kajang, yang bakal memulakan operasi akhir tahun ini untuk fasa pertama.

"Mereka yang datang berkhidmat di MMMSL ini, mempunyai pengalaman dan pengurusan keretapi untuk sekurang kurangnya lima tahun.

"Ada sesetengah mereka mempunyai pengalaman hampir 20 tahun.

"Setibanya mereka di MMMSL ini, mereka diberi latihan oleh pakar industri keretapi dari Malaysia, yang meliputi latihan teori dan juga praktikal," katanya.- BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA