10 Premis Makanan Diarah Tutup


KUANTAN: Sepuluh premis makanan di negeri ini diarah tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati kotor.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata semua premis berkenaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kesihatan Awam bermula Isnin hingga Rabu lalu.

Dalam operasi itu, katanya, sebanyak 55 restoran, gerai makan dan premis makanan di hotel serta restoran diperiksa.

"Hasil pemeriksaan, lima restoran dan lima kedai makan diarah tutup kerana yang kotor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Zainal Ariffin berkata, pihaknya turut memeriksa 21 pasar raya dan mengarahkan sebuah premis sini ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, penutupan dilakukan bagi kerja pembersihan dan mencegah tikus pada makanan serta membaiki infrastruktur supaya tikus, lipas dan lalat dapat dihindari.

Beliau berkata, sebanyak 20 notis kehadiran di mahkamah dikeluarkan bagi kesalahan yang boleh dikompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai RM 9,500.

"Notis merangkumi kegagalan pemilik atau pengusaha premis memastikan pengendali makanan mendapat suntikan antikepialu, pakaian pengendali makanan tidak sempurna dan kebersihan diri pengendali makanan," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA