TPM lancar Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Timur


KOTA BELUD: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebentar tadi melancarkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Timur (EM-IIG) di Kampung Rampayan Laut, di sini.

Projek itu akan dilaksanakan menerusi empat fasa dengan kos permulaan untuk tiga fasa pertama yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun adalah sebanyak RM850 juta, menerusi pelaburan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Pengerusi XiddiG Cellular Communications Sdn Bhd, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahim.

Fasa pertama projek EM-IIG disasarkan untuk menyediakan kabel fiber optik dasar laut berkeupayaan 60 terabyte dari Tapak Pendaratan Pantai Kampung Rampayan, membawa kelajuan lebih tinggi.

Fasa kedua pula akan menghubungkan semua syarikat telekomunikasi di Sabah dan seterusnya meningkatkan keupayaan telekomunikasi dan bandwith internet seluruh Sabah.

Bagi fasa ketiga, projek EM-IIG disasarkan untuk membina satu pangkalan data bertaraf antarabangsa Tier 4 tahap tertinggi, iaitu pertama di rantau ini di kawasan seluas 9.2 hektar di Kampung Rampayan Laut.

Fasa keempat pula, dengan pembabitan dan pelaburan XiidiG sebagai pemaju, kerajaan negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melebarkan kawasan Multimedia Super Coridor (MSC) ke Sabah berpusat di Kota Belud.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, projek ini bukan saja merancakkan pertumbuhan ekonomi pada masa depan, malah memastikan perniagaan domestik dan antarabangsa yang sedia ada kekal berdaya saing.

Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan dalam memberikan capaian jalur lebar kepada rakyat di seluruh negara.

"Impian untuk menjayakan 1Malaysia yang terhubung kini bukanlah sesuatu yang mustahil dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk mendukung prinsip negara menerusi SKMM yang mendorong pelaburan daripada pihak swasta seperti Xiddig Cellular Communication Sdn Bhd.

"Saya juga dimaklumkan dengan pelancaran projek ini, ia akan menjana ribuan pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam pelbagai bidang dalam jangka masa setahun dan seterusnya," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA