Supermodel Pakistan Diburu Polis Terlibat Kes Kematian Pegawai Kastam


Supermodel terkenal Pakistan, Ayyan Ali, 22, kini diburu polis selepas disyaki terlibat dengan kematian seorang pegawai kastam yang menjadi saksi utama dalam kes penggubahan wang haram melibatkan model berkenaan.

Waran tangkap telah dikeluarkan oleh mahkamah di Rawalpindi selepas Chaudhry Ejaz Mahmood ditembak di luar rumahnya di Waris Khan, bulan lalu.

Arahan turut dikeluarkan untuk menangkap Ayyan dengan segera dan waran tangkap yang sama juga dikeluarkan kepada pegawai tinggi kastam, Supritendan Zargham dan seorang doktor, Dr Haroon.

Chaudhry ditembak oleh dua lelaki yang tidak dikenali pada 2 Jun lalu dan meninggal dunia, dua hari selepas itu.

Sementara Ayyan pula telah ditangkap pada Mac 2015 oleh Kastam di Lapangan Terbang Benazir Bhutto selepas wang sebanyak $506,800 ditemui dalam begnya, iaitu lebih 50 kali jumlah yang dibenarkan dibawa masuk oleh pihak berkuasa.

Ayyan ditahan di penjara selama empat bulan sebelum dibebaskan. Dia bagaimanapun menafikan terlibat dalam penggubahan wang haram manakala Chaudhry merupakan pegawai kastam yang merampas wang tersebut di lapangan terbang. Kes itu masih belum selesai.

Kematian Chaudhry mendapat perhatian apabila balunya mendakwa suaminya itu dibunuh dalam usaha pihak tertentu untuk melindungi Ayyan.

Menurut balu Chaudhry, suaminya itu berdepan dengan tekanan yang hebat ketika mengendalikan kes penggubahan wang haram itu dan dia turut dimaklumkan beberapa lelaki telah meminta Chaudhry memberikan keterangan palsu bagi melindungi Ayyan.

Jelasnya, suaminya juga memaklumkan mereka mengancam untuk membunuhnya.

Sementara abang Chaudhry, Riaz Afzal pula berkata, selepas ditembak, doktor memaklumkan bahawa adiknya telah melepasi tahap bahaya sebelum dimasukkan ke bilik bedah atas permintaan pegawai kastam.

Kematiannya telah direkodkan sebagai cubaan merompak oleh polis di Waris Khan.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA