SUKMA Masih Relevan, Kompetitif - Khairy



PUTRAJAYA: Sukan Malaysia (SUKMA) masih menjadi temasya sukan yang relevan dan kompetitif untuk melahirkan atlet pelapis yang mencapai prestasi tertinggi dalam sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata kejayaan beberapa atlet muda yang mewakili negeri masing-masing sehingga berjaya memecah rekod kebangsaan membuktikan bahawa mereka mampu untuk mencapai prestasi di peringkat yang lebih tinggi.

"Ini menunjukkan SUKMA masih lagi satu temasya yang sangat relevan untuk melahirkan atlet pelapis yang akan mewakili negara satu ketika nanti. Ini adalah satu tanda yang positif bahawa SUKMA adalah satu temasya yang bukan hanya sebagai temasya untuk beri peluang kepada atlet pelapis beraksi tapi mampu untuk pamer prestasi tertinggi dalam sukan kebangsaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 (MASOC) dengan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd di Kementerian Belia dan Sukan, di sini.

Semalam, atlet memanah Terengganu, Nur Aqila Yusof memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 70m recurve wanita individu.

Atlet berusia 18 tahun itu berjaya mengutip 331 mata untuk mengatasi rekod kebangsaan milik Mon Redee Sut Xi iaitu 328 mata, yang dilakukan pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.

Perenang negara, Lim Ching Hwang pula memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 200 meter rampaian perseorangan.

Perenang yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu mencatat masa 2:04.77 saat, 0.12s lebih pantas daripada rekod 2:04.89s dicipta pada satu kejohanan renang jemputan di Amerika Syarikat.

-BERNAMA

1 comment:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA