Sukan Paralimpiad XVIII Sarawak 2016 Teruskan Kehangatan SUKMA


KUCHING:  Walaupun Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak 2016 secara rasminya melabuhkan tirai pada 31 Julai 2016, kehangatan dan kemeriahan temasya sukan masih diteruskan apabila Sukan Paralimpiad XVIII Sarawak 2016 bakal berlangsung pada 6 hingga 10 Ogos 2016 di Sarawak.

Menariknya Sukan Paralimpiad XVIII Sarawak bakal melibatkan atlet istimewa daripada kategori kurang keupayaan anggota, penglihatan, akal dan juga spastik yang akan membuktikan bahawa golongan ini mampu mengharumkan arena sukan negara di peringkat nasional dan global.

Paralimpiad membabitkan 1400 atlet bertanding sembilan jenis acara sukan di beberapa gelanggang sekitar Kuching dan Samarahan.

Sukan memanah akan berlangsung di Padang Sasar Kompleks Sukan UNIMAS, olahraga di Stadium Sarawak, badminton di Kompleks Sukan UNIMAS, catur di Dewan D’TAR UNIMAS, boling padang di Sarawak Lawn Bowling Arena, powerlifting di Dewan Jubli UiTM Sarawak, renang di Sarawak Akuatik Center, boling ten pin di Megalanes Sarawak (Emart Batu Kawa) dan ping pong di Stadium Perpaduan Sarawak.


Majlis Perasmian akan disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 6 Ogos 2016 di Stadium Perpaduan, Sarawak. -Penerangan

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA