Sarawak Tidak Akan Keluar Dari Malaysia Tetapi Mahukan Kuasa Yang Sama Rata


KUCHING : Sarawak tidak akan keluar dari Malaysia tetapi mahukan kuasa yang sama rata dalam pelbagai bidang yang menjadi keutamaan rakyat negeri ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem yang berkata demikian memuji tindakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang begitu mendalami keperluan dan kemahuan rakyat Sarawak.

“Ketua Menteri menegaskan dengan jelas, Sarawak akan sentiasa di dalam Malaysia pada majlis perasmian Hari Sarawak yang disambut pertama kalinya pagi semalam (22 Julai).

“Pada tanggal 22 Julai 1963, Sarawak mendapat kabinet pertama yang mana pemerintahan British serahkan kuasa kepada Ketua Menteri pada masa itu Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dan lima ahli kabinet.

“Kita mahu mengambil semula kuasa kita supaya kita tidak ketinggalan dan kekurangan dalam kemudahan infrastruktur asas, ekonomi dan pendidikan.

“Kerana Sarawak bersama Malaya, Singapura dan Borneo Utara (Sabah) menubuhkan sebuah negara baharu dan dinamakan Malaysia.

“Oleh sebab itu, jangan sesekali kita menyebut kita memasuki Malaysia kerana kita bersama-sama menubuhkan Malaysia ini,” katanya pada Majlis Perasmian dan Pertandingan Ratu Bilanting di Tebakang malam Jumaat lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Serian berkata, apa sahaja kuasa yang telah diambil oleh kerajaan persekutuan seharusnya dikembalikan demi merapatkan perbezaan pelbagai bidang.

Antaranya, infrastruktur dan pendidikan yang mana Sarawak patut sama taraf dengan ibu kota, katanya.

Perdana Menteri, jelasnya, sebelum ini telah mengarahkan jawatankuasa daripada persekutuan dan pihak negeri akan diketuai oleh Ketua Menteri untuk kurangkan jurang perbezaan di kawasan pedalaman yang masih uzur dan perlu diperbaiki.

“Hospital Serian misalnya adalah antara tersibuk di negeri ini, justeru kita memohon agar Klinik Kesihatan ditubuhkan sekurang-kurangnya empat doktor. Kita juga perlukan satu lagi sekolah menengah di sini,” tambahnya.

Riot memuji penganjur atas penganjuran pertandingan ratu cantik yang telah dimasukkan di dalam takwim tahunan bahagian itu.

“Faktor menjadi ratu mengambil kira beberapa aspek termasuk kecantikan wajah dan kefahaman ilmu. Tetapi bagi mereka yang tidak terpilih, cuba lagi pada tahun depan,” katanya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA