Sarawak Rampas Tangga Teratas


KUCHING: Kontinjen tuan rumah, Sarawak merampas kedudukan teratas carta punggutan pingat selepas menambah lapan lagi emas, tiga perak dan enam gangsa pada hari keenam temasya SUKMA XVIII semalam.

Setakat jam 7.30 malam kelmarin, Sarawak unggul dengan kutipan 19 emas, 10 perak dan 19 gangsa sekali gus mendahului kontinjen-kontinjen lain setakat ini.

Selangor mendominasi arena akuatik semalam mengekori di kedudukan kedua dengan mengumpul sebanyak 17 emas, 30 perak dan 24 gangsa.

Manakala Wilayah Persekutuan ketiga dengan meraih 14 emas, 18 perak dan 12 gangsa.

Tambahan pingat Sarawak semalam hadir menerusi acara wushu (dua emas, satu perak dan tiga gangsa), tenpin boling (dua emas), terjun (satu emas, satu perak dan dua gangsa), renang (satu emas, satu gangsa), boling padang (satu emas) dan angkat berat (satu perak).

Sarawak mula menunjukkan dominasi dalam acara wushu dengan meraih dua emas yang disumbangkan oleh Elvic Bong dalam acara qiangshu lelaki dan Audrey Chan dalam acara taijijian wanita.

Acara tenpin boling memulakan saingan semalam di Megalane Bowling Centre, Batu Kawa di sini turut membawa tuah kepada kontinjen Sarawak selepas atletnya merangkul dua emas dalam acara perseorangan wanita masing-masing menerusi Nerosha Keligit dan Nur Syafiqah Sejili.

Permulaan hambar tuan rumah dalam acara renang berakhir kelmarin dengan tuaian satu emas dalam acara 200 meter rampaian perseorangan wanita dimenangi perenang kebangsaan, Erica Kong.

Arena akuatik terus menceriakan Sarawak dengan tambahan satu lagi emas dalam acara terjun oleh gandingan Slyvester Peter Jawa dan Carlysle Chan dalam acara ‘platform’ terjun berirama lelaki.

Manakala Kho Yee Ting menepati ramalan apabila berjaya menggondol emas dalam kategori 70m compound wanita.

Kejayaan pemenang emas 2014 di Perlis lebih bermakna apabila beliau turut memecah rekod kebangsaan dalam acara berkenaan.

Boling padang tidak menghampakan harapan tuan rumah pada hari kelima acara tersebut dengan kutipan satu emas dalam acara berempat wanita.

Hari ini, sebanyak 46 pingat emas menjadi rebutan melibatkan 14 acara sukan.

Acara menjadi tumpuan pastinya memanah yang menawarkan lapan pingat emas dan renang dengan tujuh emas.

Wushu menawarkan enam lagi emas, boling padang (4), menembak (4), skuasy (4), terjun (3), angkat berat (3), tenis (2), tenpin boling (2) dan petanque (2). - TheBorneoPost

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA