Saman Sivil AS Bakal Dihanyut Arus Masa


Oleh Johan James

Pada 20 Jul 2016, Peguam Negara AS, Loretta Lynch daripada Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mendakwa bahawa Riza Aziz, anak tiri Najib Tun Razak, Jho Low, pengurus kewangan berasal dari Malaysia dan Khadem Al-Qubaisy, bekas Pengarah Pengurusan syarikat IPIC (Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa) milik kerajaan Abu Dhabi, memiliki aset-aset yang dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik 1MDB milik kementerian kewangan Malaysia. Aset-aset yang dinamakan dalam aduan awam DOJ sepanjang 136 muka surat itu adalah : beberapa apartment mewah di New York dan California, hasil lukisan seni Monet dan Van Goh dan sebuah jet Bombardier.

Saman Sivil bukan kes jenayah

Sungguhpun diulangi banyak kali oleh Najib, Peguam Negara dan beberapa menteri lain bahawa aduan awam oleh DOJ itu hanyalah sebuah kes saman sivil dan bukan jenayah, barisan pembangkang dan beberapa NGO pro pembangkang tetap dengan pendirian mereka bahawa kes saman tersebut adalah sebuah kes jenayah. Malah, mereka juga terus menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih berkenaan kes saman sivil oleh DOJ itu. Mungkinkah ini satu bentuk balasan dendam mereka terhadap kemenangan BN pada PRN Sarawak dan dua PRK di Selangor dan Perak baru-baru ini?

Selain pembangkang, Tun Dr Mahathir dan kuncu-kuncunya turut serta menyebarkan spekulasi berhubung pendakwaan DOJ yang belum lagi mengesahkan sebarang salah laku ke atas ketiga-tiga individu tersebut. Malah, mereka mengambil kesempatan ini untuk menuduh kononnya akaun yang mengandungi lebih AS$600 juta yang dibuka di bawah nama “Malaysian Official1” adalah milik Najib Tun Razak. Seterusnya, mereka menggesa beliau untuk letak jawatan sebagai PM. Sedangkan, dalam saman sivil DOJ, nama PM langsung tidak disebut. Sekiranya benar Najib disyaki terlibat, mengapa nama beliau tidak disebut oleh DOJ, sepertimana nama 3 individu itu disebut?!

Tidak bersalah sehigga dibuktikan

Seperkara lagi, 3 individu yang dinamakan dalam saman sivil itu belum dibuktikan sebarang kesalahan. Untuk pembuktian, DOJ perlu mengikut prosedur tertentu bagi mengesahkan bahawa wang yang digunakan oleh trio ini sememangnya diselewengkan daripada 1MDB. Sebagai langkah pertama, harta-harta tersebut harus dirampas dahulu. Setelah itu DOJ harus memastikan sekiranya aset-aset tersbeut dituntut oleh mana-mana pihak. Jika tiada penuntut, maka asset-aset tersebut akan dijual dan hasilnya akan dipulangkan kepada syarikat atau Negara mangsa.

Meskipun DOJ dalam aduan awamnya menyatakan wang yang diselewengkan adalah dari 1MDB, pihak 1MDB menafikannya. Menurut syarikat pelaburan strategik itu, setiap urusan kewangannya direkodkan dan tidak ada rekod mengenai pembelian aset-aset di AS. Dalam hal ini 1MDB mengesyaki bahawa wang yang didakwa diselewengkan itu mungkin ada kaitan dengan pembayaran AS$3.5 bilion oleh 1MDB kepada syarikat Aabar BVI. Namun, IPIC menafikan hak miliknya ke atas syarikat Aabar BVI pada bulan Apr 2016.

Konspirasi Kempen Anti Najib

Harus diingat juga, pendakwaan oleh DOJ bertitik tolak daripada laporan yang dibuat oleh Khairuddin Abu Hassan, salah seorang daripada pengikut setia Tun Mahathir. Oleh itu, kes saman sivil ini adalah salah satu strategi Kempen Anti Najib yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir untuk menggulingkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Sungguhpun Kempen Anti Najib, bersama pembangkang, boleh menggunakan apa juga cara untuk menggulingkan PM, natijahnya tetap akan sama iaitu, Najib tidak akan berganjak daripada menjunjung amanah rakyat sebagai ketua negara, sekurang-kurangnya sehingga PRU ke-14 ini. Yang pasti, saman sivil oleh DOJ ini akan hilang dihanyut arus masa seperti isu-isu 1MDB yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Pembangkang dan kempen anti Najib membuang masa

Sementara itu, barisan pembangkang dijangka bakal menerima tamparan hebat gara-gara penubuhan parti politik baharu oleh pengikut Tun Mahathir tidak lama lagi. Parti baharu yang bakal digerakkan oleh golongan warga tua ini bukan sahaja akan ditolak oleh golongan muda tetapi juga akan menyebabkan perpecahan di kalangan penyokong pembangkang yang serius. Ini turut mencerminkan perpecahan di kalangan pengundi Melayu. Oleh itu, pihak pembangkang dinasihatkan elok memberi fokus bagaimana meraih sokongan terutamanya daripada kaum majoriti negara daripada membuang masa menyebarkan spekulasi dangkal berhubung saman sivil DOJ yang tetap akan dilupakan oleh rakyat tidak lama lagi. - mykmu

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA