‘Sabar, Siasatan 1MDB Masih Belum Selesai’ Salleh Keruak


PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia diminta bersabar dan menunggu sehingga proses berkaitan kes saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewangan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selesai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Keruak berkata sementara menunggu proses itu, rakyat tidak seharusnya asyik bercakap dan membuat andaian mengenai isu berkenaan.

"Peguam AS akan membuat siasatan, dan tanggungjawab kita hanyalah perlu menunggu kerana kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun...kalau dia bersalah, harus dihukum," katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan kerajaan Malaysia telah memberikan kerjasama mengenai siasatan isu itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi maklumat yang diperlukan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

"Tetapi, apa yang berlaku sekarang terlalu banyak andaian dan tafsiran sendiri dan ini tidak adil kepada semua pihak termasuk yang disebut namanya," katanya.

Sebagai rakyat di sebuah negara merdeka, beliau berkata mereka harus bebas dari segi pemikiran dan tidak hanya bergantung kepada 'satu atau dua' laporan sebagai sandaran.

"Memang dalam kertas (dokumen) itu, pelbagai perkara ditulis dan Peguam Negara juga telah berkata ia tidak semestinya telah muktamad dan memerlukan penyiasatan,"katanya.

Baru-baru ini, DOJ Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA