Rekod Baharu SUKMA 200m Milik Khairul Hafiz


KUCHING: Pelari pecut dari Melaka Khairul Hafiz Jantan telah memenangi pingat emas  bagi acara 200m lelaki akhir Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Stadium Sarawak, sebentar tadi dengan catatan masa 21.03s sekaligus mencipta satu lagi rekod baharu kejohanan ini.

Walau bagaimanapun catatan masa tersebut tidak dapat memecahkan rekod kebangsaan yang dicipta oleh Tan Sri Dr M Jegathesan, 20.92s  pada temasya Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

Rekod baharu kejohanan yang dicipta oleh Khairul itu adalah yang kedua dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Petang semalam, dia merakamkan 21.14s, pada saingan separuh akhir bagi meleburkan catatan lama 21.33s yang dicipta Nazmizan Muhamad bekas pelari pecut negara berasal dari Terengganu kira-kira 14 tahun lalu pada temasya SUKMA Sabah.

Pingat perak menjadi milik Muhammad Aqil Yasmin yang mewakili Selangor dengan catatan 21.31s, sementara gangsa milik atlet tuan rumah, Jonathan Nyepa 21.34s.-Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA