Ramai Mengeluh Susah Tapi Tiket Konsert Selena Gomez RM285 Habis Dijual


Artis seksi kelahiran Amerika Syarikat, Selena Gomez akhirnya akan beraksi juga di Stadium Malawati, Shah Alam walaupun dibantah oleh Exco PAS dalam kerajaan Selangor selain diprotes oleh beberapa pemimpin PAS yang lain.

Memorandum yang dihantar Pemuda PAS tempohari nampaknya tak laku, mungkin Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali pun tak ambil pusing bantahan tersebut, maklumlah PAS buat demo bantah konsert Selena cuma lepas batuk di tangga hanya berpuluh orang sahaja yang datang.

Dalam pada itu, perkhabaran mutakhir menyebut tiket-tiket menyaksikan konsert Selena Gomez yang paling murah berharga RM285 sekeping sudah habis dibeli disebalik keluh kesah sesetengah rakyat Malaysia di internet yang saban hari asyik merungut susahnya hidup kerana GST dan kos sara hidup yang dikatakan tinggi.

Nilai RM285 itu bukan sikit, boleh menampung kos makan dan minum tengahari untuk seorang individu selama sebulan lebih atau separuh bulan jika makan minum tengahari dan malam di kedai mamak. Itu berdasarkan harga RM7 – RM8 sekali masuk kedai mamak untuk menu tengahari yang biasa penulis nikmati.

Bagi mereka yang jarang makan di luar dengan nilai RM285 itu dapat membeli berpuluh kilo beras, berbelas ekor ayam segar dan bermacam rempah ratus serta sayur untuk dimasak bagi menjamu perut-perut yang kuat mengeluh, merungut siang malam di media sosial konon tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi selepas GST diperkenalkan.

Untuk yang ada anak kecil, duit RM285 itu boleh beli bertin-tin susu formula bayi dan berpeket-peket pampers. Pilih mana satu contoh di atas untuk dimanfaatkan nilai RM285 itu, jika tidak dibelanjakan untuk konsert Selena Gomez.

Tapi sayang, RM285 habis melayang sekelip mata dek kerana nak memuaskan halwa telinga dan memenuhi nafsu berseronok, hangus begitu sahaja masuk poket penganjur konsert dan Selena Gomez pula tersenyum lebar kekayaannya menggunung hasil dari menjual suara dan keseksiannya.

Bagaimana dengan harga tiket lain yang bernilai RM385, RM455 dan RM485 sekeping? Diberitakan pun hampir habis dibeli oleh kaki-kaki merungut di internet dan peminat-peminat tegarnya, dijangka sebelum konsert bermula malam nanti pun akan sold out juga.

Dalam merungut, mencela kerajaan dan memaki GST, tiket konsert yang ada GST berharga RM285 habis juga diborong. Hebat penangan Selena Gomez. Tak padan dengan genit bermuka budak, auranya kuat sampaikan ramai yang merungut kesempitan hidup dan kos sara hidup tinggi tiba-tiba mampu beli tiket konsert RM285 hingga RM485.

Inilah realiti sebahagian rakyat Malaysia, terkenal dengan sikap paling kuat merungut, mencemuh dan mengeluh kos sara hidup tinggi menyalahkan ekonomi negara, GST dan kerajaan, tapi bila bab barangan atau hiburan yang bersifat kemahuan dan kehendak mereka tiba-tiba jadi tak kisah berbelanja sakan.

Sebahagian besar dari mereka ini nanti bila habis tengok konsert Selena balik rumah malam itu atau esok lusa macam biasa akan kembali kepada tabie asal, sambung keluhan dan rungutan di internet – susahnya hidup, ekonomi Malaysia buruk, mahallah kos sara hidup, ini salah GSTlah ni sambil mengira hari lambatnya lagi hari gaji. – MyKMU.Net

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA