Punca kematian bayi difteria dalam siasatan


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa, pada tengahari 24 Julai 2016, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah melaporkan satu kematian, bayi lelaki berusia 11 bulan yang pernah dirawat sebagai kes difteria pada 21 Jun lalu.

Bayi itu telah menerima rawatan antitoksin dan antibiotik yang lengkap.

Keputusan dua swab tekak dua minggu selepas selesai rawatan antibiotik adalah negatif terhadap bakteria Corynebacterium diphtheriae.

Rawatan ke atas kanak-kanak tersebut diteruskan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga dia didiscaj pada 20 Julai lalu dengan bekalan antibiotik untuk tempoh satu minggu.

Pada 24 Julai lalu, awal pagi ibu kanak-kanak itu mendapati anaknya tidak bertindakbalas dan kebiruan (cyanosed).

Dia terus dibawa ke jabatan kecemasan hospital kerajaan pada pagi tersebut dan telah diberi rawatan kecemasan.

Bagaimanapun pesakit gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

Post-mortem telah dijalankan dan penyebab kematian ini akan dimaklumkan setelah menerima laporan rasmi.

Pihak KKM telah mengadakan lawatan ke rumah keluarga ini dan bekerjasama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memberikan khidmat kaunseling dan sokongan yang sewajarnya.

Perkhidmatan kaunseling akan diteruskan bagi memberi sokongan kepada keluarga ini di saat kesukaran yang sedang dihadapi.

Sehingga hari ini, bilangan kes disahkan difteria di Malaysia masih kekal 24 kes termasuk lima kematian.

Sebarang perkembangan berkaitan status kes difteria di Malaysia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

**Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA