Pulau Pinang gagal kemuka dokumen awal jambatan ke-3

Kerajaan Pulau Pinang gagal mengemukakan dokumen awal yang diperlukan bagi menyokong permohonan mereka membina jambatan ketiga negeri itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata walaupun diberi empat peringatan dan tarikh akhir untuk mengemukakan permohonan pada Jumaat lepas, kerajaan negeri itu masih gagal mematuhi keperluan ditetapkan itu.

"Saya tidak pasti jika ini adalah amalan biasa di Pulau Pinang tetapi ini bukan amalan di kementerian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata kerajaan negeri itu ada menyebut bahawa kajian yang memakan belanja sehingga RM305 juta, telah siap atau 83 peratus siap sejak tiga bulan lepas, bagi menyokong permohonan mereka dan membantu kementerian membincangkan projek itu.

Bagaimanapun, berikutan kegagalan kerajaan negeri mematuhi tarikh akhir itu, Kementerian Kerja Raya beranggapan permohonan membuat jambatan ketiga itu bukan lagi dianggap mendesak, dan ia kini diklasifikasikan sebagai simpan untuk perhatian (KIV)," katanya.

"Fokus kementerian ini adalah bagi faedah jangka panjang buat rakyat. Tiada pihak berkuasa di dunia yang boleh memberikan kelulusan secara dasar terhadap projek infrastruktur mega yang berharga berbilion-bilion ringit, hanya dengan surat dua halaman yang dihantar kepada kami oleh kerajaan Pulau Pinang," katanya.

Kementerian juga telah menghantar surat bagi menyatakan keputusan itu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA