PTPTN akan umum mekanisme atas rungutan syarikat kereta

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengumumkan mekanisme bagi mengatasi rungutan syarikat pengeluar kereta yang mendakwa jualan terjejas kerana nama pembeli disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) disebabkan gagal membayar balik pinjaman PTPTN.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat demi kebaikan semua pihak.

"Pendekatan yang diambil itu bagi membantu syarikat jualan kenderaan yang kononnya terjejas kerana beberapa tindakan penguatkuasaan oleh PTPTN dan CRISS," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Kesedaran
Kesihatan, Forum Perubatan Moden vs Tradisional di Dewan Merdeka di Lenggong hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas rungutan penjualan kereta terjejas ekoran bank mengetatkan pinjaman kepada pemohon termasuk pemohon yang baru mendapat pekerjaan kerana mereka tidak membayar pinjaman PTPTN.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata PTPTN yakin akan mencapai sasaran kutipan balik pinjaman sebanyak RM2 bilion tahun ini.

Beliau berkata bagi bulan Mei sahaja, PTPTN telah mendapat kutipan sebanyak RM289 juta dan jika trend ini berterusan sasaran itu boleh dicapai sehingga akhir tahun ini dan bagi tempoh lima bulan pertama tahun kutipan adalah sebanyak
RM1.5 bilion.

Menurutnya sehingga kini PTPTN telah mendapat kutipan sebanyak RM15 bilion sehingga Disember tahun lepas daripada RM56 bilion pinjaman yang dikeluarkan setakat pada tahun lepas.

Shamsul Anuar berkata PTPTN telah memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman kepada lebih 31,000 peminjam yang memperoleh keputusan cemerlang dengan jumlah pengecualian sebanyak RM870 juta.

Katanya sehingga April tahun ini, PTPTN telah meluluskan pinjaman sebanyak RM56.39 bilion kepada 2.49 juta peminjam. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA