Presiden Filipina dakwa China lindungi raja dadah


MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, hari ini mendakwa China melindungi raja dadah yang menyeludup narkotik ke negaranya.

Duterte membuat kenyataan itu walaupun ketika kedua-dua negara masih bertelingkah berhubung satu tribunal antarabangsa yang membatalkan tuntutan meluas Beijing ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan.

"Di mana ikan besar (penyeludupan dadah)? Jika anda memburu mereka, pergi ke China. Cari mereka di sana.

Saya mahu bercakap dengan duta betapa seriusnya perkara ini.

"Bagaimana kita mahu memerangi isu ini? Kita tidak boleh pergi ke sana dan mengisytiharkan perang," katanya kepada anggota tentera dan polis ketika lawatan ke kem tentera.

Beliau tidak menyebut raja dadah dimaksudkan dan seorang jurucakap kedutaan China gagal dihubungi untuk mengulas.

Duterte sebelum ini mendakwa, kebanyakan dadah haram di Filipina berasal dari China dan kebanyakan rakyat negara itu ditahan kerana menyeludup dadah ke dalam negara.

Namun, ia adalah kali pertama beliau secara jelas menamakan China sebagai sarang yang bertanggungjawab untuk penyeludupan itu. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA