Penambahbaikan BR1M Termasuk Latihan Untuk Tingkat Pendapatan Penerima


PUTRAJAYA: Program Bantuan Rakyat 1Malaysia c (BR1M) akan ditambah baik pada masa depan untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata perbincangan sedang dibuat untuk menambah baik program itu seperti menyertakan sekali latihan tertentu yang perlu mereka hadiri.

“Jadi selepas latihan itu maka mereka akan mampu mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi dan keluar daripada kelompok penerima BR1M,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-11 di sini, Rabu.

“Ini adalah perkara yang kita mahu bincang supaya kita boleh bantu rakyat untuk berhijrah daripada kelompok berpendapatan rendah ke pendapatan sederhana dan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan skim insurans kesihatan untuk rakyat Malaysia akan dibentangkan pada Bajet 2017.

“Skim ini secara langsung akan mengurangkan beban kepada kerajan kerana kita membelanjakan lebih RM20 bilion hanya kepada ubat-ubatan,” katanya.

Mohd Irwan Serigar berkata skim itu kini berada di peringkat akhir perbincangan bersama Kementerian Kesihatan untuk dilaksana secepat mungkin.

“Kita telah membentangkannya kepada Majlis Ekonomi Negara dan yang berkaitan untuk menubuhkan entiti bagi mengurus insurans kesihatan itu agar golongan berpendapatan rendah boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” katanya.– Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA