Pelancong Kecewa Lihat Ikan Yu Senang-Senang Ditangkap


SEMPORNA: Seorang pelancong asing merasa begitu sedih melihat betapa ikan yu senang-senang ditangkap di perairan Sabah.

Jonas Neander dari Sweden tergamam seketika melihat kelibat ekor-ekor yu terjuntai keluar dari tepi sebuah bot yang melintasinya.


Dia baharu sahaja pulang ke bot setelah menyelam bersama rakan-rakannya di kawasan batu karang Ribbon Valley, di selatan Pulau Mabul.

Dia mengambil gambar pemandangan itu dan berkongsi dengan Persatuan Pelindung Ikan Yu Sabah (SSPA).

“Saya hampir tak percaya apabila melihat bot itu melepasi kami dengan ekor-ekor ikan yu terjuntai keluar darinya, di siang hari pula tu.

“Kami mengikuti dalam talian mengenai kegiatan mengambil sirip ikan yu di Mabul – namun menyaksikan sendiri (ikan-ikan yu mati) adalah amat mengecewakan,” katanya.

Rakannya Ewa Hansen yang turut menyaksikan keadaan menyayat hati itu berkata tidak kisahlah dari mana ikan-ikan yu itu datang dan menyokong usaha untuk melindungi spesies berkenaan.

“Kami mendengar tentang usaha menyediakan kawasan perlindungan bagi ikan-ikan yu di Sabah – kami menyokong usaha ini.

“Ia membolehkan orang ramai datang dan menikmati aktiviti menyelam di kawasan perlindungan ikan yu untuk beberapa tahun lagi,” katanya.

SSPA berkata ia mendukacitakan apabila penyelam yang melawat Sabah terutama di wilayah Semporna dan menyumbangkan kepada ekonomi Sabah terpaksa menyaksikan dengan mata mereka sendiri kemusnahan ikan yu.

“Mereka di sini untuk menghargai apa yang Sabah tawarkan dari segi biodiversiti dan kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ikan yu kekal di perairan kita.

“Bukan hanya untuk pulangan ekonomi tetapi bagi memastikan kesihatan ekosistem marin, yang ikan yu memainkan peranan penting,” katanya.

SSPA berkata ia tidak dapat menentukan jenis yu di dalam bot berkenaan.

Namun undang-undang perlu digubal bagi memberi perlindungan kepada spesies yu termasuk mengharamkan pemburuannya, katanya. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA