PAS Johor Kecam Kerajaan Selangor Benarkan Konsert


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Johor (DPPJ) menyokong penuh gesaan PAS Pusat supaya kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membatalkan konsert artis luar negara Selena Gomez esok.

Ketua Penerangannya, Abdul Hadi Harun berkata, Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi daripada parti PAS turut membantah konsert itu.

“Justeru, DPPJ menyeru seluruh umat Islam di Malaysia amnya dan Selangor Khususnya untuk menyatakan solidariti bersama bagi membantah Hiburan yang jelas melalaikan umat Islam.

“Dalam pada itu, disarankan supaya masjid dan surau di seluruh Selangor menganjurkan solat hajat memohon petunjuk dan bantuan Allah S.W.T,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

PAS Pusat sebelum ini mengemukakan bantahan ke atas kerajaan Selangor berhubung penganjuran konsert Selena Gomez tetapi bantahan itu dipersendakan Menteri Besar, Datuk Mohamed Azmin Ali.

Malah, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyindir PAS di hadapan pihak media dengan berkata:

“Seksi adalah ciptaan Tuhan, ada orang seksi, ada yang tidak seksi, ada orang cantik, ada yang tidak cantik. Kenapa kita perlu kisah dengan keseksiannya?”

Jawapan itu menyebabkan para wartawan terutama wakil media propembangkang tertawa besar. – Mynewshub.cc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA