Najib Tak Mahu Ubah Budaya 'Berselfie' Dengan Pemimpin



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan tidak mahu mengubah budaya 'berselfie' dalam kalangan rakyat untuk mendekati pemimpin, namun mahu meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kawalan dalam negara.

"Kita agak santai dan informal... dan begitu mudah mendekati mana-mana pemimpin.

"Ini sudah menjadi gaya hidup kita selama ini, saya tidak mahu menukar gaya ini, cuma hendak tingkatkan tahap kesiapsiagaan dan kawalan kita.

"Sebab, sebagai pemimpin kerajaan, kita perlu mesra dengan rakyat dan apabila ada majlis seperti majlis Hari Raya, rumah terbuka dan sebagainya, kita terpaksa bersalaman dengan ribuan yang datang, termasuk dengan mereka berminat berselfie dengan pemimpin yang juga minat rakyat Malaysia," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Terdahulu, Najib yang juga Presiden UMNO, mahu semua pihak meningkatkan kesedaran dalam soal keselamatan dengan mengkaji semula langkah kesiapsiagaan yang lebih tinggi, termasuk menghadapi ancaman militan IS.

Beliau berkata, langkah itu merangkumi penukaran prosedur operasi standard (SOP), arahan dan panduan keselamatan, termasuk membabitkan acara perjumpaan pemimpin dan majlis orang ramai. Najib berkata, soal keselamatan perlu diberi perhatian serius semua pihak sama ada kerajaan, pihak berkuasa dan rakyat ekoran beberapa kejadian penculikan di perairan pantai timur Sabah, masalah pencerobohan senjata di sempadan Malaysia-Thailand dan siri pembunuhan secara terbuka.

Beliau juga meminta rakyat menerima kenyataan terhadap beberapa perubahan peraturan dilakukan kerajaan yang kini dilihat agak ketat dan drastik. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA