Najib bidas bantuan BR1M dianggap dedak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyarankan supaya sambutan perayaan peringkat kebangsaan seperti Rumah Terbuka Aidilfitri diadakan di luar bandar bagi memudahkan rakyat saling berkongsi kemeriahan selain mendekati para pemimpin.

"Perayaan peringkat nasional janganlah buat di Kuala Lumpur atau Putrajaya sahaja tetapi patut agihkan di luar bandar kerana rakyat di kawasan itu amat menghargai dan dahagakan sambutan.

"Selain itu, mereka juga dapat peluang berjumpa dengan pemimpin... dengan cara ini kita dapat jalinkan huhungan dengan penduduk setempat," katanya semasa berucap pada Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang dekat Bagan Datoh, yang dihadiri kira-kira 50,000 orang.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli juga menghadiri majlis itu.

Najib berkata penganjuran rumah terbuka peringkat kebangsaan yang meriah adalah antara hasil dan nilai keamanan negara, yang sama sekali tidak boleh diabaikan.

"Ini tidak boleh kita nafikan. Kalau nak buat (sambutan seperti ini), di sesetengah negara tidak boleh kerana akan berlaku sesuatu yang amat dahsyat, memudaratkan nyawa dan harta benda.

"Ingatlah nilai keamanan jangan kita pandang ringan, alpa sebab setakat hari ini, kita belum bebas daripada ancaman keselamatan," katanya.

Perdana menteri merujuk kepada penahanan 14 individu di lima negeri pada 14 Julai sehingga Rabu lepas kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan IS.

"Saya merayu jangan sesekali kita benarkan angkara yang berlaku di negara lain, jadi di negara kita sehinggakan perayaan seperti ini tidak mungkin kita jayakan," katanya.

Najib berkata kestabilan politik yang dinikmati di negara ini merupakan antara faktor penting untuk membolehkan sesuatu perayaan diraikan dengan meriah selain memastikan ekonomi negara terus kukuh.

"Baru-baru ini, kita ada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar. Kita menang dalam kedua-duanya yang menunjukkan kita masih mempunyai kekuatan daripada sokongan rakyat.

"Berdasarkan kunjungan saya ke beberapa negara, secara peribadi saya katakan ada negara yang nilai matawang mereka jatuh 100 peratus kerana bergantung kepada minyak.

"Kita bersyukur ada minyak, industri sawit, industri perkhidmatan seperti pelancongan, sebab itu kita mahu lebih ramai (pelabur) datang ke Malaysia kerana ia memberi hasil kepada kita," kata beliau.

Mengenai hasil yang dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan segelintir pihak menyifatkan bantuan itu sebagai 'dedak' adalah satu penghinaan.

Najib berkata kestabilan politik yang dinikmati di negara ini merupakan antara faktor penting untuk membolehkan sesuatu perayaan diraikan dengan meriah selain memastikan ekonomi negara terus kukuh.

"Ada yang menidakkan dasar kita memberikan BR1M, hina orang yang terima kata makan dedak. Dedak ini makanan binatang, kita tak boleh samakan dengan apa yang rakyat terima," katanya.

Najib berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang memberi bantuan dalam bentuk kewangan kepada rakyat malah, beberapa negara lain turut berbuat demikian cuma ia berbeza daripada segi nama.

Menurutnya sebanyak RM5.2 bilion diperuntukkan untuk BR1M tahun ini dengan Perak menerima jumlah keseluruhan RM521 juta termasuk Bagan Datoh yang mendapat RM14.8 juta.

"Bila rakyat mendapat BR1M, kita sebenarnya membantu memajukan ekonomi tempatan dengan memastikan ekonomi bergerak kerana rakyat akan membeli barangan," jelas beliau. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA