Mahkamah tolak permohonan NGO, TPPA tidak langgar perlembagaan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak cubaan tiga badan bukan kerajaan (NGO) mencabar keputusan kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Tiga NGO itu terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) serta Persatuan Teras Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (Teras).

Hakim, Abdul Rahman Sebli ketika membacakan penghakiman itu berkata, mahkamah sebulat suara mendapati dasar-dasar kerajaan bukanlah undang-undang dan ia tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Hakim tiada pengetahuan dan kepakaran untuk menilai faktor bukan undang-undang ini dan membuat penghakiman dalam sesetengah dasar,” katanya.

Tambahnya, mahkamah juga mendapati TPPA tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Tiga panel hakim itu turut dianggotai hakim Datuk Rohana Yusof dan Datuk Vernon Ong.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tiga NGO itu berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Khamis lalu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah tiga NGO itu tidak mempunyai asas untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan kerajaan menandatangani TPPA.

Ini kerana, sama ada hendak menandatangani TPPA atau tidak, ia bukan isu yang wajar dicampur tangan mahkamah dan tindakan tiga NGO itu memfailkan permohonan semakan kehakiman adalah tindakan menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 12 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala menolak permohonan semakan kehakiman tiga NGO itu dalam usaha menghalang kerajaan menandatangani TPPA kerana kerajaan belum menandatangani TPPA ketika itu.

Malaysia bersama Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam hanya menandatangani TPPA pada 4 Februari lalu, selepas diluluskan Parlimen. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA