Limbungan Brooke Dibangunkan Sebagai Pusat Jualan Kraf Tangan


KUCHING: Limbungan Brooke di Tebingan Sungai Sarawak akan dibangunkan semula oleh kerajaan negeri sebagai sebuah pusat jualan kraf tangan yang akan menjadi satu lagi produk tarikan pelancong.

Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sejumlah RM6 juta dengan baki RM4 juta daripada kerajaan negeri bagi tujuan itu, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

“Oleh kerana Limbungan Brooke ini tidak lagi digunakan bagi tujuan membaik pulih kapal, maka kita merancang untuk membangunkan semula tempat ini sebagai pusat kraf tangan menyerupai Pasar Sentral di Kuala Lumpur."

“Pusat ini nanti bukan sahaja dijadikan sebagai pusat kraf tangan malah akan digunakan sebagai medan untuk masyarakat kita menjalankan aktiviti perniagaan mereka secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2016 Pertubuhan Anak Seni Bandarshah Kuching (PASBK) yang turut dihadiri oleh Pengerusi PASBK, Abdul Rahman Zainuddin di Dewan Majma Tuanku Abdul Halimm Muadzam Shah, Kompleks Islam Sarawak, malam kelmarin.

"Selain projek pembangunan semula Limmbungan Brooke, kerajaan negeri menerusi kementeriannya juga akan menghidpkan semua Majlis Seni Sarawak."

Datin Senorita Linang daripada kaum Iban serta beberapa individu lain daripada kaum Bidayuh, Orang Ulu, Melayu dan Melanau turut dilantik daripada kalangan penggiat seni sebagai ahli majlis.

“Ahli-ahli majlis yang akan kita lantik ini nanti akan membantu usaha kita untuk membangunkan lagi kepelbagaian dan keunikan budaya yang terdapat di negeri kita ini ke persada antarabangsa."

"Kita akan membawa penggiat seni dan budaya kita untuk menjelajah ke negara-negara luar seperti China, Korea dan Jepun untuk mempromosi dan mengetengahkan kesenian dan kebudayaan kita," katanya lagi.

Cek bernilai RM30,000 turut disampaikan oleh bekas Senator, Datuk Dayang Madinah Tun Abang Haji Openg kepada persatuan sebagai peruntukan khas yang baru diterima ketika beliau menyandang jawatan senator sebelum ini. - TheBorneoPost

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA