Lima Bot Asing Tangkap Ikan Dalam Perairan Sarawak Ditahan


KUCHING: Lima buah bot nelayan asing yang melakukan aktiviti penangkapan ikan dalam perairan Sarawak pada kedudukan lebih kurang 190 batu nautika, Utara Tanjung Po berjaya dikesan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim Kuching, Komander Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, kelima-lima BNA tersebut dikesan oleh sebuah kapal maritim yang sedang melakukan rondaan pada 25 Julai lalu antara jam 6.40 pagi hingga 10.40 pagi.

"Dalam kes ini seramai 52 orang nelayan berumur antara 16 hingga 56 tahun dipercayai berasal dari Vietnam ditahan.

"Selain itu, dianggarkan sebanyak lebih kurang 20,000kg ikan pelbagai jenis dirampas manakala kelima-lima bot dibawa ke Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih dua tahun boleh dikenakan ke atas setiap tekong bot-bot tersebut manakala untuk awak-awak, denda tidak lebih dari RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun setiap seorang.

"Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak ditalian 082-432544," ujarnya. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA