Laporan Audit 1MDB Diklasifikasikan Rahsia Selepas Didapati Ada Kebocoran


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen semalam diberitahu bahawa laporan pengauditan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) diklasifikasikan sebagai rahsia selepas didapati ada kebocoran terhadap laporan interim 1MDB yang dihantar kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Julai tahun lepas.

Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang, 67, berkata selepas berlaku kebocoran maklumat daripada laporan interim, Jabatan Audit Negara (JAN) menjangkakan laporan akhir audit 1MDB juga berkemungkinan dibocorkan.

“Saya sendiri sebagai ketua audit negara yang mengklasifikasikan laporan pengauditan 1MDB pada Januari lepas, selepas saya diberi kuasa di bawah Akta Rahsia Rasmi oleh perdana menteri Malaysia.

“Saya mendapat tahu hal berhubung kebocoran maklumat selepas pegawai saya menunjukkan salinan muka surat 98 dalam blog dan laman sosial Facebook yang mengupas isu mengenai 1MDB,” katanya pada perbicaraan hari keempat kes anggota Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli yang didakwa memiliki dan mendedahkan dokumen rasmi berhubung laporan audit 1MDB di sini.

Amrin merupakan saksi pendakwaan kelima bagi perbicaraan kes itu.

Beliau berkata pengauditan khas terhadap 1MDB dibuat berdasarkan permintaan daripada PAC dan jemaah menteri, laporan akhir itu kemudian diserahkan kepada PAC.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA