Kuching Dibangun Ikut Susun Letak Bandar Moden


KUCHING: Bandar raya Kuching akan dibangunkan mengikut susun letak bandar raya moden yang bersifat mesra dan sesuai didiami.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pada masa sama mengekalkan aspek perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum serta agama yang tinggal di situ.

“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) baru-baru ini melantik saya sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Jadi saya amat berharap semua kakitangan dan pihak lembaga DBKU bekerjasama dengan saya supaya dapat menjamin bandar raya Kuching sentiasa membangun mengikut susun atur bandar moden, mesra dan sesuai didiami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2016 anjuran DBKU di ibu pejabat DBKU di sini, malam kelmarin.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi juga berharap Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan kakitangannya menjadi satu pasukan membantu kerajaan mentransformkan bandar raya Kuching utara khasnya dalam aspek pembangunan fizikal dan sosial.

DKBU katanya, tidak hanya telah berjaya memainkan peranannya dengan baik sekali dari sudut memberi perkhidmatan kepada warga bandar raya tetapi aspek sosial.

DBKU tambahnya, juga mempunyai dasar untuk memberi perkhidmatan yang adil kepada warga bandar raya yang berbilang bangsa dan agama.

“Peranan DBKU bersama MBKS (Majlis Bandaraya Kuching Selatan) selama ini telah berjaya menjadikan bandar raya Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan yang pertama di Malaysia.

“Ini adalah satu pengiktirafan yang tinggi telah diberikan oleh Yayasan Satu Malaysia. Maka sebab itu kerajaan telah mengarahkan DBKU dan MBKS sebagai satu organisasi bersama dengan saya menjayakan penganjuran Seminar Perpaduan yang diadakan pada Ogos setiap tahun,” katanya.

Seminar itu katanya, akan disertai pencipta perpaduan dari dalam dan luar negara untuk memperingati kepentingan kestabilan serta perpaduan dalam membangunkan negara termasuk bandar raya.

Sempena pengiktirafan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk mengubah suai dan membangunkan Taman Budaya menjadi Taman Perpaduan Bandar Raya Kuching.

Sementara Datuk bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dalam ucapan aluannya berkata majlis itu merupakan salah satu acara wajib dianjurkan.

Ini kerana katanya, ia dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan antara pegawai dengan kakitangan dan orang ramai.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Elektrik dan Komunikasi Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang. - TheBorneoPost

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA