Kontraktor Tidak Responsif Bantutkan Pembinaan Balai Bomba Batu Niah


KUCHING: Masalah kontraktor lambat memulakan projek menjadi punca Balai Bomba dan Penyelamat pertama kawasan Parlimen Sibuti yang terletak di pekan Batu Niah masih belum menampakkan ciri bentuk bangunannya, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata, setakat ini cuaca di sana amat baik dan bukan alasan untuk projek lambat bermula, prestasi kontraktor mendukacitakan selain tidak responsif.

Menurutnya, faktor menyelesaikan masalah akses kepada penghuni lot bersebelahan turut menyumbang kepada punca kelambatan projek.

"Seperti yang dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, masalah berpunca daripada kontraktor lambat memulakan projek.

"Prestasi kontraktor mendukacita dan tidak responsif dalam melaksanakan projek yang sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan," katanya ketika dihubungi Sarawakiana hari ini.

Majlis pecah tanah Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah dilaksanakan pada Ogos tahun lalu dengan kos keseluruhan projek RM5.5 juta.

Beliau menambah, projek tersebut sepatutnya siap November 2016.

 "Sekarang lewat dalam 30 peratus. Prestasi menggangu perancangan jabatan untuk penjawatan dan penempatan," ujarnya.

Mengulas mengenai projek lain, Nor Hisham berkata, tender dua balai bomba iaitu di Tanjung Manis dan Samalaju sudah dikeluarkan dan dianugerah kepada kontraktor.

Projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Daro pula diperingkat untuk dikeluarkan tender manakala Kuarters Bomba Bintulu dalam peringkat lakaran.

Penggantian balai bomba akan dilaksanakan di Bintangor, Belaga dan Sibujaya. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA