Kerajaan Tingkat Usaha Tarik Pelaburan Berkualiti



KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus meningkatkan usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini di tengah-tengah persekitaran perniagaan semasa yang mencabar, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, walaupun kerajaan menyasarkan untuk peningkatan pelaburan, keutamaan adalah memastikan pelaburan yang diraih itu dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi untuk syarikat serta pekerja Malaysia, terutama dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan.

"Kerajaan tidak akan berpeluk tubuh kerana kami akan terus meningkatkan kapasiti dan keupayaan kami untuk menerima cabaran mendatang. "Kita perlu kekalkan usaha ini dan memastikan sektor pembuatan kita akan muncul lebih kuat susulan pengalaman ini," katanya dalam satu kenyataan sebagai reaksi terhadap perkembangan terkini sektor pembuatan di Malaysia.

Dari 2013 hingga Julai 2016, sejumlah 15,530 pekerja diberhentikan dalam sektor pembuatan, akibat penutupan atau penstrukturan semula kira-kira 60 syarikat yang mana dalam kalangan pekerja diberhentikan itu, 10,290 adalah rakyat Malaysia, manakala baki 5,240 adalah pekerja asing.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Tenaga Kerja, kebanyakan rakyat Malaysia yang diberhentikan telah ditawarkan pekerjaan baharu oleh syarikat pembuatan yang lain.

Mustapa berkata, sebahagian syarikat terbabit memindahkan kilang pembuatan mereka dari Malaysia ke negara lain kerana negara ini tidak lagi menyokong industri berintensif buruh dan rendah nilai tambah.

Katanya, kerajaan menyedari cabaran susulan penutupan dan penyusunan semula operasi perniagaan, namun pada masa sama juga berjaya menarik banyak syarikat lain untuk menubuhkan kemudahan pembuatan di Malaysia.

"Pagi ini (semalam), saya diberi taklimat oleh InvestKL mengenai situasi semasa syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di sini.

"Kebanyakan mereka yang mengambil kesempatan daripada rekod Kuala Lumpur yang menjadi tuan rumah kepada banyak MNC dan kecekapan kos untuk menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di Kuala Lumpur serta mengeksport perkhidmatan mereka ke rantau ASEAN sebagai strategi pertumbuhan," katanya.

Setakat ini, InvestKL mendapat persetujuan 54 MNC seperti McDermot, Tecnicas Reunidas, Subsea 7 dan Honeywell dengan komitmen pelaburan RM6 bilion di negara ini dan mewujudkan 7,292 pekerjaan (4,807 pekerjaan telah direalisasikan).

INFO

* Sektor pembuatan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan pengembangan pasaran eksport.

* Ia menyumbang kira-kira 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan lebih 80 peratus jumlah eksport negara.

* Dalam tempoh 2013-2015, sejumlah 1,669 projek dilaksanakan dalam sektor pembuatan dengan pelaburan sebanyak RM106.8 bilion

* Ia menyediakan 161,307 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia

* Projek itu terutama adalah dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan, produk logam, produk petroleum termasuk petrokimia dan peralatan pengangkutan.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA