Kenapa Remaja Cina Lebih Gemar Membantu Perniagaan Keluarga ?


Langkah proaktif merancang dan berusaha gigih untuk mencapai sesuatu sasaran sudah semestinya memerlukan disiplin dan fokus yang tinggi. Maka di awal usia remaja peluang untuk membina kejayaan tidak seharusnya dilepaskan kerana masa adalah sesuatu yang berharga dalam kehidupan dan ianya akan menjadi kerugian jika tidak diguna dengan sebaiknya.

Begitulah pandangan seorang anak muda berbangsa Cina, Alex Lo, 26 tahun yang ditemubual Sarawakiana menyatakan bahawa sebahagian besar remaja Tiong Hua lebih memfokuskan untuk membina sebuah kehidupan yang berjaya di masa hadapan.

"Bagi saya, di awal usia remaja adalah bermulanya titik tolak sebuah kehidupan yang akan menentukan arah tuju sebenar kehidupan ini di masa hadapan. Tanpa perancangan yang betul pada usia awal remaja, sukar untuk kita merencana perjalanan hidup.

"Pada usia itu juga kita sudah belajar mencari pengalaman walau dalam bidang apa sekalipun dan yang penting mengurus kewangan dengan betul adalah langkah yang perlu diamalkan oleh remaja," kataya.

Alex menceritakan bagaimana beliau yang hanya berkelulusan SPM pada usia 19 tahun sudah bekerja sebagai jurujual disebuah syarikat di Kota Kinabalu.

Beliau membuang segala rasa malu, malas dan sebagainya demi mencari sebuah pengalaman berharga sebagai persiapan langkah kehidupan seterusnya.

"Saya bermula dari usia 19 tahun terus bekerja walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga di Sarawak," katanya.

Menurutnya, beliau tidak teragak-agak untuk membuat keputusan berjauhan dari keluarga demi sebuah pengalaman yang berguna.

Beliau berkata, apabila sudah menceburi bidang pekerjaan tersebut beliau terus mengambil langkah mengatur kewangan dengan membuat simpanan bagi membina kehidupan seperti yang dirancang.

"Saya memang merancang untuk menyimpan dan mengurus kewangan kerana ia akan mendisiplinkan saya supaya lebih berhemah dalam perbelanjaan," ujarnya.

"Apabila simpanan saya mencukupi saya sudah terbayang satu karier yang akan membuahkan satu kejayaan nanti," jelasnya lagi.

Menurut Alex setelah beberapa tahun mencari pengalaman beliau mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan keluarga dan membantu perniagaan keluarga yang ketika itu masih secara kecil-kecilan.

Dengan pengalaman yang ada beliau kongsikan dengan keluarga dengan idea terbaru dan akhinya ibunya telah membesarkan perniagaan dalam bidang peruncitan.

"Di sini saya membantu keluarga saya terutama ibu saya yang sedang mengusahakan kedai runcit.

"Bagi kami masyarakat cina, remaja seperi kami lebih suka membuat keputusan membantu perniagaan kerana bagi saya hanya dunia perniagaan yang dapat menyumbang sumber pendapatan berterusan untuk keluarga," ujarnya.

Alex berkata, keluarga beliau pun bermula daripada perniagaan kecil-kecilan dan hasil kerjasama dalam keluarga mampu membawa perniagaan keperingkat yang lebih tinggi dan peranan beliau sebagai anak begitu penting untuk memberi idea-idea yang mampu mengembangkan perniagaan keluarga setelah menimba pengalaman bekerja sebelum ini.

"Bagi saya sebagai remaja Tiong Hua lebih gemar membantu perniagaan keluarga kerana peranan remaja begitu penting untuk bersama-sama meningkat perniagaan," ujarnya.

"Oleh itu sebilangan besar remaja Tiong Hua gemar membantu perniagaan keluarga kerana berpendapat hanya bidang perniagaan yang boleh diwarisi oleh generasi seterusnya dan ia akan terus berkembang maju jika diurus dengan baik oleh generasi muda seperti kami," tambahnya.

Tambahnya lagi, remaja masa kini perlu bekerja keras tanpa mengira apapun bidang perniagaan yang diceburi.

Beliau yang kini mengurus perniagaan runcit keluarga 'VG MART' di Batu Kawa turut berpesan kepada generasi muda hari agar lebih memberi tumpuan kepada hala tuju kehidupan yang berjaya supaya usia remaja tidak disia-siakan dengan aktiviti negatif yang merugikan. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA