Kejam! Kompressor Udara Dimasukkan Lubang Dubur


MALANG menimpa seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang bekerja sebagai buruh di sebuah kilang tekstil di Bangladesh apabila dia dibunuh oleh rakan sekerjanya dengan memasukkan kompressor udara bertekanan tinggi ke dalam lubang duburnya.

Sagar Barman telah dikejarkan oleh bapanya, Ratan ke hospital susulan perbuatan kejam itu namun dia kemudiannya meninggal dunia.

Menurut Ratan yang turut bekerja di kilang tersebut, dia berkejar mendapatkan anaknya selepas dimaklumkan budak itu diserang dan mendapati perut Sagar menjadi kembung.

Doktor memaklumkan, kematian Sagar kemungkinan disebabkan udara memenuhi perutnya yang dimasukkan menerusi duburnya itu.

Bedah siasat telah dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kematiannya.

Dalam pada itu, polis memberitahu pihaknya telah mengumpulkan semua pekerja di kilang terbabit namun masih belum mendapat maklumat lengkap dan nama suspek.

“Keluarga Sagar kini berada di hospital dan kita akan berhubung dengan mereka,’’ kata polis.

Insiden terbabit telah mencetuskan kemarahan ramai hinggakan protes besar-besaran diadakan di seluruh negara.

Ogos tahun lepas, seorang budak berusia 12 tahun, Rakib Hawlader telah dibunuh dengan cara sama disebabkan dia berhenti kerja.

Susulan itu, dua lelaki telah dihukum mati. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA