JPJ, PDRM, SPAD bangunkan sistem penguatkuasaan bersepadu


IPOH: Tiga agensi giat membangunkan sistem integrasi bersepadu bagi melaksanakan pengurusan penguatkuasaan lebih menyeluruh.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron, berkata pihaknya sudah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi melaksanakan perkongsian maklumat secara masa nyata dan terus dalam talian.

"Kita bersetuju supaya sistem integrasi sedia ada ditingkatkan, khususnya prosedur menyenarai hitam pemandu, pemilik dan kenderaan.

"Ketika ini, JPJ menggunakan sistem perkomputeran mySIKAP manakala PDRM menggunakan sistem sendiri dan SPAD sedang membangunkan sistemnya," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat JPJ Perak di sini, pagi ini.

Nadzri berkata, perbincangan antara tiga agensi berkenaan dibuat atas arahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, susulan kemalangan membabitkan sebuah bas merempuh 10 kenderaan berhampiran Terowong Menora dekat sini, baru-baru ini.


Beliau berkata, ketika ini semua notis saman dikeluarkan oleh JPJ tidak boleh diakses PDRM dan begitu juga sebaliknya manakala SPAD perlu berhubung dengan JPJ untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Justeru, katanya, sistem integrasi bersepadu yang dibangunkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu diharap menyelesaikan masalah berkenaan.-BH



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA