Jangan Hukum Mahasiswa Berbeza Pandangan - Zahid

KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mahasiswa yang berbeza pendapat atau cuba menyuarakan kritikan kepada kerajaan sebaliknya mengemukakan isi hati mereka itu kepada pihak kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kongkongan bukan satu metadologi yang harus diguna pada masa ini bagi tujuan menyekat, sebaliknya perlu diberi panduan kerana mahasiswa adalah kepemimpinan yang penuh dengan idealisme.

Beliau berkata, langkah mengongkong mahasiswa juga bukan satu tindakan yang tepat, kerana ia hanya akan menjejaskan proses melatih bakat pemimpin masa depan.

"Apabila mereka (pelajar) mengkritik, maka dengarlah kritikan itu dengan positif dan apabila mereka beri pandangan dengarlah pandangan itu, jangan disisihkan begitu saja. Kita mungkin boleh berbeza pendapat dan mengkritik, tetapi kita harus ada ketatasusilaan dan adab serta nilai intelektual dalam melontarkan pandangan itu.

"Iaitu apabila menyuarakan kritikan mesti konstruktif bukan diskruktif. Sebab kita akui era di mana kerajaan tahu semua perkara sudah berlalu, ini adalah zaman terbuka. Tapi jangan kita gunakan keterbukaan kerajaan ini hanya untuk mengkritik saja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra sempena Persidangan Parlimen Mahasiswa Malaysia 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu turut meluluskan peruntukan RM250,000 kepada Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) selaku penganjur utama Parlimen Mahasiswa bagi membolehkan pelbagai lagi aktiviti dianjurkan untuk kumpulan itu.

Yang turut hadir, Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman; Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Mengulas mengenai Parlimen Mahasiswa, Ahmad Zahid berkata, platform kumpulan itu mesti berfokus pada isu wacana keintelektualan yang mempunyai mesej positif bagi menghasilkan produk serta tindakan yang baik dan cemerlang pada masa akan datang. - Bharian

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA