Habuan RM10,000 Untuk Khairul Hafiz


KUALA LUMPUR: Atlet muda negara, Khairul Hafiz Jantan bakal menerima habuan sebanyak RM10,000 daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di atas kejayaannya memecah rekod kebangsaan dalam acara 100 meter pada Sukan Malaysia (SUKMA), semalam.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama Khairul dan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim bagi merangka program terbaik untuk atlet pecut itu terutama bagi menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. "Tahniah kepada Khairul di atas kejayaan ini.

Ini adalah kejayaan yang besar kerana dia melakar kejutan memecahkan rekod selama 18 tahun.

"Dengan catatan yang dilakukan Khairul ini, dia bukan saja mempunyai ranking di Asia Tenggara tetapi juga Asia. Dia mempunyai potensi yang sangat besar.

"Jadi, KOM akan mengadakan perbincangan dengan Khairul dan jurulatihnya bagi mencari jalan terbaik untuk dia melangkah ke peringkat lebih tinggi," kata Karim ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Olimpik Rio di Istana Negara di sini, hari ini.

Dalam aksi final 100m semalam, Khairul dari Melaka mencatat 10.18 saat untuk memenangi emas sekali gus memecahkan rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek 10.30s. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA