Gelandangan Mati Terbaring Depan Warung



KEMAMAN – Seorang gelandangan ditemui mati terbaring di hadapan sebuah warung di Lorong 16, Kampung Besut, Chukai, kira-kira jam 6.45 pagi semalam.

Mangsa, Masril Baharon, 47, yang berasal dari Indonesia dan berstatus pemastautin tetap disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas bedah siasat ke atasnya siap dijalankan tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mayat mangsa yang dalam keadaan lengkap berpakaian ditemui orang ramai yang melalui kawasan hadapan warung berkenaan sebelum bertindak menghubungi ambulans.

Katanya, selepas diperiksa pasukan paramedik sebaik ambulans tiba, mangsa didapati telah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

“Keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan sakit jantung dan kes ini tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

“Hasil pemeriksaan rekod perubatan mendapati mangsa menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis serta gout. Mangsa juga sering mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa menemui kad pengenalan warna merah dan wang tunai RM170 dalam poket seluarnya. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sendiri dan masih bujang serta tiada rumah, biasanya menumpang tidur di masjid dan surau sekitar Kampung Besut dan Kampung Bakau Tinggi.

Mangsa memiliki seorang adik lelaki berusia 45 tahun yang tinggal di Kampung Besut, namun kali terakhir mangsa ke rumah adiknya itu pada 11 Julai lalu dan ketika itu mangsa kelihatan murung dan tidak banyak bercakap. – Sinar Harian Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA