Enam Penyokong Bola Sepak Direman



GEORGETOWN: Enam penyokong bola sepak pasukan Pulau Pinang yang dipercayai terbabit dengan insiden membaling batu ke arah bas penyokong Kedah malam kelmarin, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berumur 16 hingga 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Ahmad Tajuddin Zain di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, sebuah bas penyokong Kedah dihujani batu hingga menyebabkan tingkap kiri dan kanan belakang bas itu pecah dengan kerugian RM20,000.

Kejadian berlaku sejurus perlawanan antara Pulau Pinang dan Kedah di Stadium Bandaraya di sini tamat, yang menyaksikan pasukan tuan rumah menang 3-2. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA