Dzulkifli Ahmad dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM

PUTRAJAYA: Datuk Dzulkifli Ahmad dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Dzulkifli, yang merupakan Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed.

Ali berkata selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memperkenankan pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Abu Kassim pula akan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 Jun lepas, Ali mengumumkan Abu Kassim, 55, tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini, seperti dipohonnya.

Katanya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.

Ali hari ini turut mengumumkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur ditempatkan sebagai KSU Kementerian Pendidikan Tinggi mulai 5 Ogos ini (2016) bagi menggantikan Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Zaini pula akan ditempatkan sebagai KSU Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mulai 5 Ogos ini bagi menggantikan Datuk Loo Took Gee yang bersara pada tarikh tersebut, katanya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya ditempatkan sebagai KSU kementerian itu menggantikan Noorul Ainur, katanya.

Tan Sri Ali turut mengumumkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali ditempatkan sebagai Ketua Pengarah Imigresen mulai 1 Ogos ini (2016) bagi menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA