Datuk Bandar, Timbalan Datuk Bandar Baharu Bagi Bandaraya Miri


MIRI :  Setiausaha Publisiti dan Penerangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Adam Yii Siew Sang akan dilantik sebagai Datuk Bandar Miri ketiga sejak 2005.

Yii, 60, yang memiliki ijazah dalam bidang Geologi daripada Universiti Malaya, berkata beliau menerima surat rasmi berkaitan pelantikan itu semalam.

"Majlis rasmi bagi pelantikan datuk bandar, timbalan datuk bandar dan 32 anggota majlis akan berlangsung pada Jumaat," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Mengenai keutamaannya selepas pelantikan itu, Yii berkata menambah baik khidmat penyampaian Majlis Bandaraya Miri akan menjadi antara dua keutamaan beliau.

"Kita perlu menambah baik khidmat penyampaian dengan segera," katanya.

Mengenai keutamaan keduanya, Yii berkata ia bermatlamat untuk terus mempertingkatkan lagi imej Bandaraya Miri sejajar dengan slogannya sebagai bandar raya peranginan Sarawak.

Yii menggantikan peguam Lawrence Lai Yew Son yang merupakan datuk bandar Miri dari 2009 hingga 30 Jun 2016.

Datuk Bandar Miri yang pertama, Datuk Wee Han Wen, dilantik selepas Miri mendapat status bandar raya pada 20 Mei 2005.

Selain Yii, turut dilantik ialah Timbalan Datuk Bandar baharu, iaitu Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera bahagian Piasau, Julaihi Mohamad, yang menggantikan Mohd Chee Kadir.

Mohd Chee dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kabong dalam pilihan raya negeri 7 Mei lepas. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA