'Bertekad Menegakkan Keadilan' Slogan Baharu Jabatan Peguam Negara


Hari ini genaplah setahun saya memegang jawatan sebagai Peguam Negara Malaysia. Pelantikan saya ke jawatan ini oleh Yang di-Pertuan Agong dibuat ketika keadaan dalam negara sedikit berkocak. Tidak hairanlah sepanjang satu tahun ini, pelbagai dugaan dan cabaran yang telah saya lalui.

Saya sedar tanggungjawab besar yang diletakkan di atas bahu saya oleh Perlembagaan Persekutuan, khususnya kuasa saya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding, membuatkan saya sentiasa menjadi tumpuan semua pihak.

Disebabkan kenyataan saya sering diteliti rapi oleh rakya, maka saya cukup berhati-hati untuk memberi sebarang kenyataan. Dalam konteks ini, saya suka berpegang kepada sunnah Nabi, iaitu bercakap hanya apabila perlu sahaja, sekaligus mengelakkan daripada menimbulkan kontorversi.

Pada 8 Januari lalu, saya berucap kepada fraterniti perundangan mengenai pertentangan di antara kerahsian dan keterbukaan, di mana saya menyebut Jabatan Peguam Negara, sebagai sebahagian daripada perkhidmatan awam negara yang 'apolitical', terikat kepada pelbagai prinsip kerahsian.

Peruntukan seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta arahan keselamatan dan arahan dalaman berkaitan penjagaan rahsia kerajaan kesemuanya adalah bertujuaan untuk memastikan rahsia rasmi negarasentiasa terjaga.

Walaupun begitu, ada ketikanya Jabatan Peguam Negara dan sata sendiri akan bersemuka dengan pihak media dan rakyat secara langsung, khususnya di dalam kes berprofil tinggi atau membabitkan kepentingan awam di mana kami akan menjelaskan keputusan kami melalui kenyataan media.

Keputusan berasaskan bukti

Sebagai contoh, apabila Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak memulakan sesuatu prosiding di dalam kes tertentu, maka kami akan menjelaskan sebab kami berbuat demikian. Kami akan menerankan betapa keputusan kami itu diasaskan sepenuhnya kepada bukti yang ada.

Inilah yang saya lakukan pada 26 Januari yang lalu, iaitu dengan mengumumkan bahawa berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan yang ada, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa -apa kesalahan di dalam tiga kertas siasatan berprofil tinggi yang dikemukan kepada saya.

Apa sahaja yang saya lakukan adalah mengikut undang-undang negara. Begitupun, masih ada pihak yang sanggup mengemukakan usul tidak percaya kepada saya di Dewan Rakyat, mendesak saya untuk meletakkan jawatan, malah mengheret saya ke mahkamah.

Begitu juga bila saya mengemukan pertuduhan rasuah di dalam satu kes berprofil tinggi pada 29 Jun lalu, saya dikritik hebat kerana kononnya terlibat dalam konspirasi mengada-adakan pertuduhan untuk kepentingan politik, walhal ia dibuat penuh profesional berasaskan bukti.

Begitu juga bila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat memfailkan tindakan sivil bagi menyita harta tertentu di negara itu, saya terus pada 21 Julai lalu, mengeluarkan kenyataan bagi menekankan bahawa tiada sebarang pertuduhan jenayah dikemukakan ke atas mana-mana individu dalam kes ini.

Saya juga menekankan betapa siasatan di peringkat tempatan mengenai perkara ini masih berjalan dan betapa saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding ke atas semua individu yang terlibat dengan perlakuan jenayah sekiranya terdapat bukti mencukupi.

Begitupun, dalam dunia canggih yang dipenuhi pelbagai bentuk media ini, saya hairan mengapa masih ada pihak yang masih mengkritik saya dengan menyebut Malaysia kononnya tidak mempunyai Peguam Negara kerana Peguam Negara tidak bersuara dan sebagainya.

Menyentuh isu media, saya gembira kerana dapat berinteraksi dengan editor dan pengamala media negara pada 26 April lalu.

Dalam ucapan saya, saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab yang digalas mereka bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang ringan.

Saya mengingatkan mereka bahawa setiap penulisan, pandangan dan laporan yang dibuat secara ridak berhemah dan tidak bertanggungjawab mula muncul, khususnya dalam media sosial. Sebab itulah saya sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang.

Dan, tatkala saya bertarung dengan pelbagai asakan, satu perkara yang sentiasa menjadi panduan saya dalam membuat sebarang keputusan sebagai Peguam Negara ialah dengan berpegang kepada falsafah yang terkandung di dalam sepotong ayat Al-Quran, iaitu Ayat 135 Surah an-Nisaa'.

Tegas Tegak Keadilan

Di dalam ayat ini, Allah memerintahkan agar kkita selaku khalifah di muka bumi ini sentiasa bertegas dalam menegakkan keadilan, walaupun terhadap diri kita sendiri, ibu bapa mahupun kaum kerabat tanpa mengira pangkat dan darjat, miskin atau kaya.

Falsafah ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing kepada kita semua kerana 'menegakkan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih' atau 'upholding justice without fear or favour', adalah suatu falsafah yang sungguh sinonim dengan fraterniti perundangan sejak sekian lama.

Perlu ditekankan bahawa, walaupun falsafah ini diambi daripada Ayat 135 Surah an-Nisaa', prinsip yang diperintahkan ini iaitu bertegas dan bertekad dalam menegakkan keadilan, bukanlah satu prinsip yang menjadi milik eksklusif kepada ajaran Islam semata-mata.

Sebaliknya, ia adalah prinsip universal yang diakui dan dianjurkan semua agama.

Bertitik tolak daripada pengalaman inilah, maka tercetuslah idea untuk saya mencipta suatu slogan baharu bagi Jabatan Peguam Negara.

Justeru, bermula hari ini, slogan 'Bertekad Menegakkan Keadilan' akan menjadi slogan baharu Jabatan Peguam Negara bagi menggantikan slogan lamanya iaitu 'Bersatu Memacu Transformasi'.

Saya percaya sekiranya prinsip ini dijadikan panduan dan asas dalam menjalankan tugas serta dihayati seluruh warga Jabatan Peguam Negara, jabatan ini mampu kekal unggul, berdiri kukuh dan dihormati walau setinggi mana pun badai yang datang melanda.


Tan Sri Mohamed Apandi Ali
Peguam Negara

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA