Bantu Remaja Hamil Terus Kehidupan Lebih Baik


KUCHING: Bantu remaja yang hamil meneruskan kehidupan yang lebih baik dengan tidak menghakimi mereka, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah semalam.

Gesaan itu dibuat beliau selepas mengambil kira bahawa golongan tersebut memerlukan bantuan fasilitator dan kaunselor yang boleh dipercayai dalam membuat keputusan semasa dan selepas hamil.

“Terdapat sejumlah kecil remaja ini kembali ke bangku sekolah dan mereka berjaya kerana terdapat rasa komitmen namun masih ramai juga yang enggan meneruskan persekolahan selepas melahirkan anak kerana perasaan malu.

“Kita akan memilih mereka yang berupaya menyedia-kan persekitaran dan remaja tersebut untuk berasa selamat dengan tidak menghakimi tindakan remaja tersebut agar mereka dapat berkomunikasi secara senang dan bebas dengan orang yang mereka percayai.

“Program ini amat susah untuk dijalankan kerana bukan semua yang berkebolehan dan ada guru yang kita percaya dan para pelajar senang mendekati mereka.

“Mereka tidak membuat remaja itu berasa kekok, bodoh dan masih berasakan diri mereka seorang insan yang dihargai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Seminar Remaja Kita… Berilah Mereka Pe-luang di sini, semalam.

Satu modul dan struktur perintis telah dijalankan di Sibu baru-baru ini untuk ditambah baik mengikut profil mangsa-mangsa yang terdapat di negeri ini bagi mengurangkan 20 peratus jumlah kehamilan remaja setiap tahun, katanya.

Tegas Fatimah, keputusannya akan dimuktamadkan sebelum penghujung tahun ini dalam usaha pihaknya membendung pertambahan jumlah kehamilan remaja, pembuangan bayi dan kes hamil berulang.

Sebelum ini, statistik terbaharu Januari hingga Jun tahun ini menunjukkan jumlah statistik kehamilan remaja berjumlah 1,264 orang berbanding Januari hingga Disember 2015 berjumlah 2,909 orang.

Walaupun angkanya menurun namun bahagian Kapit masih mencatat rekod ter-tinggi kehamilan remaja iaitu sebanyak 15.2 peratus diikuti Betong 10.5 peratus, Bintulu 9.6 peratus, Sarikei 8.8 peratus dan Sibu 8.2 peratus.

Orang menghamilkan remaja ini paling banyak terdiri daripada golongan lelaki yang berumur antara 20 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 73 peratus.

Disusuli 10 hingga 19 tahun sebanyak 26 peratus dan 40 tahun ke atas sebanyak satu peratus sahaja, dedahnya semalam.

Menurut beliau kementerian turut mendapati masalah pendaftaran kelahiran bayi yang dilahirkan oleh remaja turut menimbulkan masalah. - TheBorneoPost

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA