Badrul Insan Penting Di Sebalik Kejayaan Hafiz


KUCHING: Pelari pecut Melaka, Khairul Hafiz Jantan berjaya memecah rekod kebangsaan yang berusia 18 tahun milik Watson Nyambek apabila mencatatkan masa 10.18 saat, dalam acara 100 meter Sukan Malaysia (Sukma) XVIII sebentar tadi.

Beliau yang melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kejayaan yang telah diperolehinya menyifatkan Badrul Hisyam sebagai insan terpenting di sebalik kejayaan miliknya hari ini.

“Badrul banyak memberi saya semangat dan kerana dia saya sampai ke tahap ini. Saya menganggapnya seperti abang saya sendiri,” katanya.

Badrul Hisham Abdul Manap merupakan rakan senegerinya yang turut bersaing dalam acara tersebut sebentar tadi, hanya menduduki tempat kedua dengan catatan masa 10.36 saat berkongsi kedudukan dengan pelari dari Sarawak Jonathan Nyepa.

Khairul Hafiz menambah, antara yang jadi pendorong kejayaannya ialah jaga solat, dengar arahan jurulatih, hormat ibu bapa dan orang tua.

Terdahulu, beliau telah melakukan larian bersejarah Juara Kejohanan Remaja Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, juga turut mara ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland, minggu lalu.  – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA