Ayam Pelik Dijual RM20,000 Seekor



BAGAN SERAI – Bermula daripada melihat rupa ayam peliharaan rakan yang pelik, mendorong seorang petani di Selinsing di sini memelihara haiwan itu sekaligus menjadi sumber pendapatan tambahannya.

Menurut Rosmah Mohd Yusof, 44, antara spesies ayam peliharannya ialah ayam Serama, ayam Bahamas, ayam Mutiara, ayam Batam, ayam Sabung, ayam Gajah dan ayam Kampung (baka asli).

Malah, ibu kepada lima anak itu turut memelihara dan menjual beberapa spesies ayam yang sukar serta jarang ditemui termasuk ayam Poland Jambul serta ayam Selasih.

“Minat membela ayam bermula apabila saya ke rumah sahabat saya dan melihat beliau membela ayam yang pelik rupanya berbanding ayam lain jadi daripada situ minat datang dan saya beli ayam itu daripada dia.

“Bermula dengan sepasang, kini saya mempunyai beratus ekor ayam semua yang jarang dan sukar ditemui kerana saya suka spesies yang pelik-pelik,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Rosmah berkata beliau tidak menyangka minat menternak ayam daripada spesies pelik telah menjadi sumber pendapatan tambahannya kerana seekor ayam boleh dijual sehingga mencecah RM20,000.

“Ayam Poland Jambul selalunya dibeli oleh mereka yang gemarkan ayam hiasan bukan untuk lawan atau makan sebab ia cantik, seekor ayam itu jika sudah besar saya jual paling kurang RM2,000.

“Selain itu, saya pernah ditawarkan sebanyak RM20,000 untuk ayam Selasih, namun saya tidak jual kerana ia sangat susah (didapati), ia bukan sahaja unik tetapi mempunyai banyak khasiat,” katanya.

Menurut Rosmah, beliau tidak menanam impian untuk menjadi kaya dengan menternak ayam hiasan daripada spesies tertentu, namun semuanya dilakukan kerana minat.

“Ini semua hobi, saya tidak buat promosi atau iklan tentang ayam yang saya ternak. Selalunya orang kampung yang sebarkan kepada orang lain mengenai ternakan saya,” katanya.

Selain ayam hiasan, Rosmah turut membela ternakan lain seperti ayam kampung biasa, itik daging, itik serati serta kambing yang mana sehingga kini ternakannya itu mencecah 300 ekor.

“Impian saya sekarang mahu membesarkan lagi reban dan kandang haiwan ternakan dan untuk itu saya perlukan lebih banyak modal kerana kos makanan haiwan untuk sebulan lebih RM2,000.

“Saya juga memohon pada jabatan berkaitan supaya memberi ilmu dan tunjuk ajar kepada saya agar dapat membela ternakan ini dengan sistematik seterusnya menjadikannya sumber pendapatan utama,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA