Atlet SUKMA Seronok Berkampung Di Sarawak


KOTA SAMARAHAN: Sarawak menjadi penganjur kali kedua Sukan Malaysia (SUKMA), dan Sukma ke 18 merupakan satu peluang bagi negeri ini membuktikan di sinilah venue terbaik dalam sejarah sukan tersebut.

Sebagai tuan rumah, Sarawak pastinya ingin menjadikan penganjuran kali ini sebagai yang terbaik dalam sejarah SUKMA. Segalanya diuji ke tahap maksima baik dari segi penyediaan kemudahan asas, pengangkutan, penginapan dan penyediaan venue pertandingan.

Atlet tinju Kedah, Mohamad Saiful Idham18, berkata beliau amat menggemari venue sukan tinju kali ini.

“Kemeriahan dan sokongan begitu terasa, justeru menaikkan semangat saya untuk bertarung,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.

Manakala, Shahrimien Saimoh, 19 yang berasal dari Tawau Sabah memberitahu, inilah kali pertama dia mewakili negerinya di peringkat SUKMA.

Ini juga merupakan kali pertama bagi atlet balapan acara 200 meter, 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter ini berkunjung ke negeri Sarawak.

“Segala kemudahan yang disediakan amat memuaskan, cuma makanan yang disediakan sedikit pedas dari kebiasaan,” ujarnya ringkas.

Bagi atlet 4 x 400 meter dari Panampang Sabah, Erlyn Yong dan Aveyenda Aron, dari Keningau, mereka berkongsi kegembiraan yang sama kerana berkesempatan untuk berkampung dan beraksi di negeri ini.

“Sebelum ini kami hanya dapat melihat Bandaraya Kuching melalui kaca televisyen dan setelah kami tiba di sini, ternyata ia lebih hebat daripada apa yang kami bayangkan. Bandar raya Kuching bersih,” jelas Erlyn.

Menurut mereka, kemudahan penginapan yang disediakan penganjur sangat memuaskan, malah dari segi pengangkutan, kenderaan tiba tepat pada masanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA