Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 Diwartakan



PUTRAJAYA: Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 dengan empat kandungan utama - Daftar Kanak-kanak, Perintah Khidmat Masyarakat (CSO), penjagaan berasaskan keluarga dan kenaikan penalti - diwartakan hari ini setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata kementerian akan mengadakan kempen kesedaran bagi memastikan masyarakat dan semua agensi bersiap sedia sebelum akta itu dikuatkuasakan sepenuhnya.

"Ini adalah hadiah Hari Raya buat kementerian setelah tiga tahun pelbagai pertemuan dibuat dalam usaha menambah baik akta ini bagi mengambil kira isu-isu semasa berkaitan kanak-kanak seperti pedofilia dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada Majlis Riang Ria Aidilfitri kementerian di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, Daftar Kanak-kanak, yang mengandungi rekod pesalah kes melibatkan kanak-kanak, diwujudkan sebagai rujukan kepada majikan terutama dalam sektor pekerjaan membabitkan kanak-kanak sebelum mengambil mana-mana individu untuk bekerja.

Data itu, yang diperoleh daripada pihak polis dan mahkamah, melibatkan individu yang pernah disabitkan kesalahan membabitkan kanak-kanak seperti kes rogol dan penderaan.

"Sektor pekerjaan terlibat adalah seperti pengasuh, pembantu rumah dan pengawal keselamatan di taska, tadika atau sekolah. Jika majikan ada rasa was-was, kita akan bantu membuat saringan," katanya.

Rohani berkata CSO pula adalah program rehabilitasi kepada kanak-kanak yang terbabit dengan jenayah serta pesalah dewasa seperti ibu, bapa dan penjaga yang mendera atau mengabaikan kanak-kanak.

"Selain hukuman penjara dan denda, mereka boleh diberikan pemulihan dengan melakukan kerja-kerja komuniti seperti membersihkan sesebuah kawasan dan menjalani kaunseling serta program keinsafan dan keibubapaan," katanya.

Di bawah pindaan itu, mahkamah harus memberi keutamaan kepada penjagaan berasaskan keluarga semasa mengeluarkan perintah perlindangan kepada kanak-kanak yang terabai.

Menurutnya perintah penempatan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hendaklah menjadi pilihan terakhir bagi membolehkan kanak-kanak terbabit membesar dalam suasana kekeluargaan.

"Mereka boleh terus diberikan kepada keluarga angkat yang ada dalam senarai kita atau boleh diletakkan sementara di Rumah Tunas Harapan yang memberikan penjagaan berkonsepkan kekeluargaan supaya mereka dapat merasa kasih sayang berbanding di institusi," katanya.

Pindaan akta itu juga menaikkan hukuman denda kepada RM50,000 dan 20 tahun penjara bagi kesalahan mengikut Seksyen 31 iaitu mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA