'Abang Adik' Alami Nasib Berbeza



KUCHING: Nasib berbeza dialami skuad senior dan junior Sarawak apabila mencatat keputusan berbeza menentang lawan masing-masing dalam aksi yang berlangsung malam tadi.

Skuad senior Sarawak melakar kemenangan bergaya 2-1 menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super.

Sementara skuad junior kecundang dalam penentuan sepakan penalti 0-3 pada acara bola sepak Sukan Malaysia Ke-18 walaupun seri 2-2 pada masa sebenar bertemu.

Perlawanan menentang Perak di Stadium Negeri juga turut menyaksikan perlawanan agak tegang apabila pemain pasukan pelawat yang dilayangkan kad merah enggan keluar padang selain rasa tidak puas hati dengan jaringan Sarawak.

Bagaimanapun, pasukan keselamatan terpaksa masuk campur dan berjaya meredakan keadaan.

Sementara itu, perlawanan skuad kendalian David Usop pula ketinggalan seawal minit ke-15 menerusi jaringan Patrick Cruz.

Ndumba Makeche pula menceriakan Sarawak dengan jaringan menerusi tandukan pada minit ke-42 sebelum Gilmar menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-69.

David yang dihubungi Sarawakiana berkata, sepatutnya lebih banyak jaringan dapat dijaringkan pada separuh masa pertama sekiranya tiang gol menjadi penghalang.

"Kita mempunyai banyak peluang pada separuh masa pertama namun percubaan terkena tiang," katanya.

Biarpun beraksi dalam keadaan padang basah, beliau menjelaskan, anak buahnya tidak hilang fokus meskipun ketinggalan pada awal babak pertama. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA