1MDB : Tiada Kesan, Najib Jalankan Tugas Seperti Biasa



KUALA LUMPUR - Perkembangan terkini melibatkan 1MDB susulan tuduhan korupsi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat minggu lalu dijangka tidak memberikan kesan politik terhadap kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut beberapa penganalisis dipetik Bloomberg.

Malah, beberapa hari selepas pengumuman Peguam Negara AS mahu menyita aset berkait 1MDB, perdana menteri meneruskan tugasnya seperti hari-hari biasa.

Beliau dilihat bersalaman dengan penjawat awam, mempengerusikan mesyuarat pembangunan ekonomi, dan hadir melancarkan kereta baharu keluaran syarikat Perodua.

“Mesejnya jelas. Perdana menteri menumpukan perhatian kepada isu dalam negara seperti ekonomi dalam mengekalkan sokongan terutama penduduk luar bandar Melayu terhadap Umno,” menurut pemerhatian Bloomberg hari ini.

Rabu lalu, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion), dalam kes korupsi yang terbesar negara itu membabitkan entiti luar.

Saman yang difailkan di Los Angeles itu bertujuan merampas aset yang didapati terbabit dalam konspirasi antarabangsa mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB.

Ia turut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, kerana dituduh menggunakan dana 1MDB sebanyak RM256 juta dalam penerbitan filem “The Wolf of Wall Street”.

Bagaimanapun, perkembangan itu dilihat tidak memberikan kesan terhadap posisi Najib.

Selepas lebih setahun kontroversi 1MDB di Malaysia, kesannya terhadap pasaran dilihat semakin lemah, menurut pakar ekonomi Vaninder Singh dari Royal Bank of Scotland Plc berpusat di Singapura.

“Pasaran jelas yang Najib selamat pada tahap ini dan tidak ada cabaran politik yang terlalu besar terhadapnya,” kata beliau kepada Bloomberg.

Vaninder berkata sekiranya Umno memenangi pilihan raya umum akan datang, saki baki kesan 1MDB dijangka terhapus terus.

Isu 1MDB menyebabkan kerajaan dan pembangkang berada pada polar berlawanan yang jelas.

“Pembangkang dan penyokong mereka sudah yakin Najib terlibat dalam pengubahan wang dari 1MDB.

“Di dalam Umno pula, Najib menghalau mereka yang sependapat (dengan pembangkang), maka yang tinggal sekarang hanyalah yang setia dan yakin beliau tidak bersalah, atau tidak kisah apa akan terjadi,” kata Gregory Poling, pakar Asia Tenggara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Washington.

Bagaimanapun, sama ada Najib dapat mengekalkan sokongan rakyat, terutama melalui pemberian wang tunai, mungkin menghadapi masalah, selepas kejatuhan harga minyak yang memberi impak kepada hasil kerajaan.

Bagi Najib, stabiliti ekonomi adalah penting dalam mengharungi pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum 2018.

“1MDB bukan isu utama bagi pengundi luar bandar dan mereka lebih tertumpu kepada ekonomi dan kebajikan, yang boleh ditangani menerusi dasar fiskal,” kata pakar ekonomi Vincent Tsui dari syarikat pengurusan aset AllianceBernstein LP di Hong Kong. - KLXpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA