Browsing "Older Posts"

  • Tukang Kayu Warga Nigeria Ke Tali Gantung Edar Dadah Methamphetamine

    By Yusz Man → Thursday, 31 December 2015

    SHAH ALAM: Seorang tukang kayu warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 1,001.7 gram dadah methamphetamine, tiga tahun lepas.

    Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu dalam kamarnya setelah tertuduh, Chuks Shedrack Iduh, 32, gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

    Lelaki itu didakwa mengedar dadah berkenaan di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.45 malam, 11 Sept 2012.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

    Peguam tertuduh, Luqman Mazlan ketika ditemui Bernama berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan ke atas sebuah beg berisi dadah berkenaan yang diberikan oleh kawannya di Nigeria adalah penafian semata-mata.

    "Pembelaan tertuduh bahawa tujuan beliau datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah sebab tertuduh telah pun membeli tiket penerbangan pergi balik antara Nigeria dan Malaysia bagi tempoh 10 hari," katanya.

    Beliau berkata justeru, mahkamah mendapati keterangan tertuduh bahawa beliau datang ke Malaysia untuk kerja, adalah tidak munasabah.

    Seramai sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nik Serene Nik Hashim.

    -- BERNAMA
  • Ops Noda: 22 Wanita Vietnam, Myanmar Ditahan

    By Yusz Man →
    gambar hiasan
    KUALA LUMPUR: Seramai 22 wanita Vietnam dan Myanmar adalah antara 36 individu yang ditahan polis dalam Ops Noda dan Ops Dadu bagi mencegah kegiatan maksiat, pelacuran dan judi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor semalam.

    Selain itu, polis menahan empat lelaki Bangladesh dan enam rakyat tempatan yang bekerja sebagai pekerja premis dan pelayan pelanggan (GRO), kata Ketua Penolong Pengarah Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman SAC Khairi Ahrasa.

    Beliau berkata mereka yang berusia antara 23 tahun hingga 53 tahun ditahan dalam Ops Noda selama empat jam bermula 11 malam tadi di sebuah pusat hiburan di Fraser Bussines Park, Off Jln Loke Yew di sini.

    "Kami turut merampas wang tunai RM1,800, sebanyak 60 botol minuman keras dan tiga resit yang berkaitan urus niaga," katanya kepada Bernama hari ini.

    Dalam Ops Dadu, seramai empat lelaki tempatan ditahan kerana terlibat dalam perjudian di sebuah premis perjudian di Taman Tun Dr Ismail Grove, Kajang.

    "Sebanyak 26 unit komputer dan wang tunai RM22,601, dua unit modem dan 52 helai daun terup dirampas polis," katanya.

    Khairi berkata kegiatan itu diadakan di dalam bilik yang diubah suai dan dikawal menggunakan kata laluan khusus untuk pemain judi sahaja.

    Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 135(c) Akta Kastam.

    -- BERNAMA

  • GAMBAR: Marsha Di Malam Berinai Sebelum Nikah Hari Ini

    By Mas Aruwardy →

    MARSHA Milan Londoh, 30, sebelum ini telah tampil mengaku bahawa dia sudah pun memeluk Islam dan bakal berkahwin dengan jejaka pilihannya.

    Terbaharu, Marsha berkongsi dengan peminat gambar-gambarnya pada majlis malam berinai sebelum melangsungkan pernikahan pada hari ini, Khamis (31 Disember).

    Biarpun majlis berinai ini disambut dengan ringkas dan sederhana, namun, Marsha kelihatan begitu anggun dan seri pengantin sudah terserlah di wajahnya.

    Marsha dan pasangannya Mohamed Shaiful Nizam sudah hampir 10 tahun berkenalan sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan 14 Disember lalu di kampung halaman Marsha di Sabah.

    Bakal suaminya merupakan ahli perniagaan dan anak VIP.

    Kami doakan segalanya berjalan lancar buat Marsha dan Mohamed Shaiful. Selamat Pengantin Baru, semoga berkekalan hingga ke akhir hayat. – MYNEWSHUBCC



  • 2016 Merupakan Tahun Gelap Untuk Pembangkang

    By Yusz Man →

    Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dilihat cuba menghasut rakyat agar menjadi pemberontak di negara sendiri. Kononnya rakyat kini mempunyai tanggungjawab lebih besar berbanding sebelum ini untuk menentang kerajaan. Sebenarnya mereka cuba menghasut rakyat untuk huru-harakan negara. Sakit “hati” dan “mata” mereka melihat negara makin aman dan sejahtera.

    Untuk makluman Suaram merupakan suara pembangkang yang berselindung disebalik ngo. Mereka sedar bahawa pembangkang gagal dalam usaha mereka menabur fitnah dan menghuru-harakan negara dalam tahun 2015.

    Namun mereka juga sedar bahawa tahun 2016 merupakan tahun yang gelap juga buat mereka memandangkan kebanyakkan tuduhan dan dakwaan mereka terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan beliau telah terjawab dan rakyat telah tahu bahawa pembangkang hanya menabur fitnah jahat semata-mata.

    Sebelum ini pembangkang memfitnah perdana menteri dan mendesak beliau supaya meletak jawatan dengan dakwaan palsu kononnya berlaku salah urus tadbir 1Malaysia Development Berhad 1MDB (1MDB) dan derma wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

    Akhirnya terbukti bahawa tidak berlaku sebarang salahlaku di dalam pentadbiran 1MDB. Malahan SPRM juga telah mengesahkan perkara tersebut.

    Isu derma RM2.6 bilion pula, SPRM sendiri telah bertemu dengan individu yang menderma dari Timur Tengah. Proses penerimaan derma tersebut juga langsung tidak melanggar sebarang perlembagaan dan peraturan negara kita.

    Dalam kegagalan mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan, pembangkang kini cuba menghasut rakyat untuk lebih agresif pula menentang kerajaan. Ini merupakan tindakan yang cukup tidak bertanggungjawab dari golongan yang tidak tahu bersyukur ke atas keamanan dan kemakmuran yang dikecapi dalam negara kita.

    Walaupun kegawatan ekonomi amat dirasai di seluruh dunia namun berkat kesabaran dan istiqamah pemimpin kita maka semua perkara tersebut dapat diatasi dengan cukup hikmah.

    Kita juga tahu bahawa tahun 2016 bakal menjadi tahun gelap untuk pembangkang memandangkan kerajaan telah mendapat “rentak” yang betul untuk memacu ekonomi negara.

    PRU14.tv
  • Kepala, Badan Ditemui Sah Milik Bernard Then - KPN

    By Yusz Man →

    KUALA LUMPUR: Polis menerima pengesahan secara lisan bahawa badan dan kepala yang ditemui pada dua lokasi di Kepulauan Jolo tempoh hari adalah milik mangsa culik rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya dimaklumkan keputusan ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan bahawa ia adalah Ted Fen.

    "Kita masih menunggu laporan rasmi secara bertulis dari Filipina dan pada masa sama, keluarganya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

    "Kita difahamkan, mayat mendiang tidak akan dibawa pulang, sebaliknya satu upacara dilakukan di negara itu sebelum abunya dibawa pulang ke Malaysia," katanya pada sidang media pagi tadi.

    Ted Fen 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak, dipenggal kepalanya pada 17 November selepas kubu kuat Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, 1,400 kilometer (km) di selatan Manila, digempur tentera.

    Mangsa diculik sekumpulan empat lelaki bersenjata dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lalu bersama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50.

    Bagaimanapun, Nyuk Fun dibebaskan pada 8 November lalu.-BH

  • Matlamat 2016 Kekal Selamat, Makmur,Sama Rata - Najib

    By uMieySurianie →

    KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil keputusan yang tegas, perlu dan tepat bagi mencapai matlamat Malaysia untuk kekal sebagai masyarakat lebih selamat, makmur dan sama rata pada tahun 2016, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata keputusan seperti itu akan dibuat sungguhpun ia tidak popular dalam usaha melindungi rakyat daripada kesengsaraan akibat keganasan.

    "Untuk melindungi perpaduan yang amat berharga, yang melindungi kepelbagaian kita yang unik dan untuk memelihara masa depan cerah yang merupakan hak lahir bagi setiap rakyat Malaysia.

    "Saya boleh memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa berusaha dengan segala kekuatan yang ada," kata Najib dalam perutusan Tahun Baharu beliau, hari ini.

    Perdana Menteri turut mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah soal keselamatan dan memandang rendah terhadap bahaya yang jelas serta wujud yang dihadapi dari luar dan dalam negara. - BERNAMA

  • BSN Sasar Pendapatan Sijil Simpanan Premium RM3b

    By uMieySurianie →

    PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasar simpanan berjumlah RM3 bilion menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) tahun depan daripada RM2.91 bilion setakat akhir tahun ini.

    Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Perniagaannya, Ahmad Latfan Mohd Amran, berkata peningkatan itu dijangka disumbang terutama oleh pengenalan cabutan baharu diperkenalkan iaitu "Junior Draw" ataupun Cabutan Remaja.

    Beliau berkata, cabutan baharu itu sebahagian usaha BSN menarik minat lebih ramai golongan remaja untuk menyimpan dalam SSP.

    "Kami yakin strategi ini mampu bantu tingkatkan pendapatan SSP selain membantu menyahut seruan kerajaan menggalakkan remaja membuat simpanan," katanya pada sidang media majlis cabutan hadiah RM1 juta SSP BSN di sini, hari ini.

    Pada majlis sama, BSN menyampaikan hadiah cabutan bulanan sebuah kereta mewah BMW 320i kepada pemenang November iaitu Gunavathy A/P Arumugam, seorang tukang jahit dari Selangor. Pelajar dari Selangor, Chan Kok Chin, 17, pula antara 13 pemenang bertuah cabutan tempatan yang layak memenangi sebuah Perodua Axia.

    Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani. Hadir sama Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah. Sementara itu, dalam majlis undian hari ini, Nuraini Rachman dari Selangor diumumkan sebagai pemenang hadiah utama RM1 juta SSP bagi tahun ini.

    SSP BSN kini mencecah usia 37 tahun sejak mula diperkenalkan pada tahun 1978 dan setakat ini terdapat lebih 2.3 juta penyimpan SSP di BSN dengan jumlah simpanan mencecah RM2.8 bilion.

    Untuk tahun 2016, BSN masih mengekalkan nilai hadiah RM18 juta, namun jumlah bilangannya ditingkatkan dari 88,000 kepada 320,000 hadiah. Bank itu itu juga akan meneruskan cabutan bulanan, tempatan dan cabutan istimewa.

    Hadiah utama Cabutan Bulanan ialah kereta mewah seperti BMW 520i, BMW 320i, Mercedes E200, Mercedes C200. Bagi Cabutan Tempatan BSN menawarkan Perodua Axia dan cabutan istimewa menawarkan RM1 juta. - BH

  • Najib mahu masyarakat Malaysia lebih selamat, makmur pada 2016

    By Mas Aruwardy →
    NAJIB: Matlamat saya bagi tahun akan datang adalah membentuk masyarakat yang lebih selamat, lebih makmur dan saksama. - Gambar Fail

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat masyarakat Malaysia yang lebih selamat dan makmur pada tahun baru 2016.

    "2015 merupakan tahun yang tidak dapat dilupakan. Matlamat saya bagi tahun akan datang adalah membentuk masyarakat yang lebih selamat, lebih makmur dan saksama.

    "Menunggu ketibaan tahun 2016," kata Najib dalam akaun Twitter beliau.

    -Bernama
  • Tukang Masak Didakwa Bunuh Isteri

    By Yusz Man →


    KLUANG: Seorang tukang masak didakwa membunuh isterinya, secara menikam dada mangsa hingga mati, dalam kejadian di rumah mereka minggu lalu.

    Prosiding pendakwaan terhadap Koh Hon Seng, 52, dibuat dalam wad Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, di sini, berikutan teruduh masih dirawat akibat kecederaan pergelangan tangan kiri kerana cubaan membunuh diri selepas kejadian itu.

    Ketika prosiding di hadapan Majistret Nuruhuda Md Yusof itu, tertuduh hanya mengangguk tanda memahami tuduhan dihadapinya, sejurus kertas pertuduhan dibacakan.

    Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Tertuduh didakwa menyebabkan kematian dengan niat membunuh isterinya, Sia Mee Lan, 47, di kediaman mereka di Taman Kluang Barat, dekat sini, di antara jam 2.30 pagi hingga 5 pagi pada 20 Disember lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norafiah Saini, memohon tarikh baharu kes bagi menunggu suspek pulih dari kecederaannya. Tertuduh belum diwakili peguam bela.-BH

  • Hujan Berterusan Sejak Awal Pagi, Kuching Mula Dinaiki Air

    By Mas Aruwardy →


    KUCHING – Hujan yang berterusan sejak awal pagi ini mengakibatkan beberapa kawasan rendah di bahagian Kuching dan Samarahan, Sarawak mulai dinaiki air.

    Bagaimanapun kebanyakan tempat di sini mengalami banjir kilat dengan paras air naik dan surut dalam tempoh yang cukup pantas, mengakibatkan sebilangan mangsa, terutama di kawasan kota dan pinggirannya, enggan berpindah.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata sehingga kini, satu pusat pemindahan dibuka di Kampung Jaei, Asajaya, kira-kira 30km dari sini, menempatkan enam keluarga mangsa banjir.

    Menurutnya bilangan tepat jumlah mangsa yang kini berada di pusat pemindahan Dewan Serbaguna Kampung Jaei itu yang dibuka sejak pagi ini, masih belum dapat dimuktamadkan.

    Beliau berkata antara kawasan yang dinaiki air yang sedang dipantau rapi JPAM pagi ini ialah sekitar Kampung Samariang, Kampung Sinar Budi, Kampung Tanjung Bundong, Taman Malihah dan
    beberapa tempat sekitar kawasan bandar.


    Huzaimah berkata pagi ini pasukan JPAM bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar bekalan makanan kepada ketua kampung di Kampung Beradek dan Kampung Sembilang, dekat sini, untuk diagih kepada orang ramai di kampung berkenaan.

    Di Sarawak, selain 25 pangkalan hadapan, 610 pusat pemindahan banjir sudah dikenal pasti sejak November lalu, dan JPAM merupakan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

    Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Nor Hisham Mohamad ketika dihubungi berkata pihaknya menerima beberapa panggilan mengenai paras air yang naik antara satu hingga tiga kaki di beberapa kawasan.

    Antaranya sekitar kawasan Kampung Nada, Muara Tabuan, Kampung Tabuan Dayak, Kampung Bako Indah, Taman Desa Wira, Kampung Beradek kawasan perumahan Desa Wira, Tabuan, Kampung Beradek Taman Malihah dan Samariang. – BERNAMA
  • 1MDB: Jabatan Peguam Negara terima dokumen Justo

    By Admin →
    KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara telah menerima dokumen termasuk transkrip 1MDB yang diberikan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd (Petrosaudi), Xavier Andre Justo kepada Editor dan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata,kesemua dokumen tersebut telah diserahkan pihak Jabatan Peguam peguam Thailand semalam.

    Katanya, dokumen itu akan diserahkan kepada polis untuk siasatan selepas Jabatan Peguam Negara selesai membuat semakan.

    “Segala dokumen yang kita mahu daripada pihak Thailand dan butir percakapan pelbagai dokumen termasuk transkrip Justo bagi pada Claire Brown telah dihantar Jabatan Peguam Thailand kepada Jabatan Peguam Negara Malaysia semalam

    “Dan kita menunggu dokumen tersebut disemak dan saya percaya akan diberikan kepada pihak kita untuk siasatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat JIPS di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman pada Khamis.

    Oktober lalu sepasukan pegawai polis dari Bukit Aman ke Thailand untuk berjumpa dan merekod keterangan dari Justo berhubung siasatan terhadap 1MDB. - FMT
  • Rafizi mengaku PTPTN penting, terima kasih kerana faham - Shamsul

    By Admin →
    Dakwaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli kononnya seramai 3,913 peminjam tidak dimaklumkan tentang syarat dalam perjanjian PTPTN adalah tidak benar.

    Ini kerana jelas Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah perkara tersebut telah diberitahu seawal persetujuan penerimaan pinjaman.

    Namun peminjam masih enggan membuat pembayaran balik selepas tamat pengajian sehigga mengakibatkan PTPTN terpaksa mengambil langkah tertentu bagi memperoleh kembali pinjaman yang diberikan.

    “Sebelum potongan gaji ini dibuat, pelbagai langkah telah diambil oleh PTPTN seperti penghantaran notis dan peringatan, pembukaan kaunter di kementerian dan jabatan untuk mereka bertemu pegawai PTPTN dan berunding.

    “Kegagalan mereka membuat bayaran balik sebagaimana terma perjanjian dan enggan berunding untuk menyelesaikan masalah mereka dengan PTPTN menyebabkan PTPTN terpaksa mengambil langkah ini. Walaupun dilihat keras, PTPTN masih memberi peluang kedua kepada mereka untuk berunding sehingga 18 Januari 2016,” katanya menerusi Whatsapp kepada BNBBC.my.

    Selain itu, Pandangan Rafizi supaya bayaran balik dibuat apabila pendapatan sebelum cukai RM4,000 merupakan pandangan yang menunjukkan bahawa beliau mengakui PTPTN adalah penting.

    Jelas Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, ia sekaligus menolak pandangan Rafizi sendiri sebelum ini yang mahu menghapuskan PTPTN.

    “Terima kasih kerana beliau telah mengubah persepsinya terhadap PTPTN dan terima kasih kerana menyokong usaha penguatkuasaan PTPTN.

    “Saya ingin nyatakan bahawa PTPTN menyambut baik sebarang cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak dalam usaha PTPTN memberikan perkhidmatan terbaik kepada penerima pembiayaan PTPTN, ini kerana sentiasa terbuka terhadap sebarang pandangan dan cadangan,” tambahnya.

    Mengulas lanjut mengenai cadangan Rafizi supaya PTPTN mengambil contoh di Australia yang mana peminjam hanya perlu mula membayar balik pinjaman sekiranya gajinya lebih tinggi daripada paras tertentu, Shamsul berkata ia telah diteliti dengan lebih awal.

    “Sebagai makluman PTPTN telah membuat kajian mengenai perkara ini pada 2010, bagaimanapun selepas penelitian dibuat kaedah ini tidak sesuai untuk dilaksanakan kerana terdapat pertambahan kos sehingga 1.5% yang terpaksa ditanggung.

    “Penambahan kos ini akan membebankan PTPTN dan PTPTN juga tidak mahu memindahkan bebanan kos tambahan ini kepada pelajar yang telah sedia menganggung kos sebanyak 1% ketika ini,” ujar Shamsul lagi. - BNBBC News
  • Pergolakan Udara, Pesawat Air Canada Dilencong

    By Yusz Man →

    TORONTO: Penerbangan Air Canada dari Shanghai ke Toronto dilencongkan ke Calgary selepas berlaku pergolakan udara serius hingga mencederakan 21 penumpang, termasuk tiga kanak-kanak.

    Jurucakap Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, Stuart Brideaux, berkata mereka yang dihantar ke hospital di sekitar Calgary akibat cedera di leher dan belakang anggota, kini dalam keadaan stabil.

    Jurucakap Air Canada, Isabelle Arthur berkata, pesawat Boeing 777 penerbangan AC088 itu membawa 332 penumpang dan 19 anak kapal semalam.

    Pesawat itu mendarat dengan selamat. Pasukan bomba dan kru kecemasan lain sudah bersiap sedia ketika pesawat mendarat. - AP

  • #SelamatkanZulkifli: Ini prosedur perundangan biasa, kata peguam

    By Mas Aruwardy →

    KUALA LUMPUR: Kisah seorang lelaki dengan nama Mohammad Zulkifli Ismail yang dilaporkan ditahan dan akan dituduh kerana didakwa membunuh perompak yang menceroboh rumahnya, mendapat perhatian warga media sosial.

    Namun dari sudut perundangan, apa yang sedang dihadapi Zulkifli adalah satu prosedur biasa perundangan terutamanya apabila terdapat kes yang membabitkan pembunuhan dan kematian.

    Itu yang dijelaskan oleh peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

    "Apa yang berlaku sekarang adalah prosedur biasa apabila adanya kes membabitkan kehilangan nyawa. Alasan Zulkifli tentang dia membela diri dan keluarga, hal itu perlu diperjelaskan sewaktu pembelaan nanti," kata Khairul ketika dihubungi Astro AWANI.

    Jika benar ia adalah kes mempertahankan diri, ia pasti akan diambil kira semasa proses perbicaraan di mahkamah, kata Khairul.

    Beberapa portal media sebelum ini melaporkan Zulkifli ditahan selepas menikam mati seorang perompak yang juga penagih dadah, yang dikatakan memasuki kediamannya di Kerteh, Terengganu, awal Disember lalu.

    Zulkifli pada mulanya dilaporkan ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, namun ditukar kepada Seksyen 304 kanun yang sama kerana membunuh tanpa niat, dan dibenarkan diikat jamin RM15,000.

    Bagaimanapun, kejutan diterima Zulkifli dan keluarganya apabila dia dimaklumkan kesnya akan disebut di bawah seksyen 302 dan seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan.

    Sebutan kes di bawah seksyen 302 bermakna pesalah boleh ditahan semula tanpa ikat jamin. Dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

    Perubahan seksyen, kata Khairul, adalah perkara biasa apabila terdapatnya keperluan dan penentuan seksyen kesalahan jenayah adalah tertakluk kepada Peguam Negara.

    Peguam yang mewakili Zulkifli boleh membuat representasi kepada Peguam Negara untuk mengkaji semula kes atas alasan-alasan yang munasabah, seperti mempertahankan diri.

    Khairul bagaimanapun enggan mengulas tentang faktor yang membuatkan penukaran seksyen berkenaan kerana tidak mengetahui kes itu secara mendalam, namun berpendapat mereka yang terbabit tentunya punya sebab untuk berbuat demikian.

    Di media sosial pula, sebuah akaun Facebook dengan nama Selamatkan Zulkifli diwujudkan 29 Disember lalu sebagai tanda sokongan terhadap Zulkifli, dan ia telah mengumpul lebih 50 ribu likes setakat ini.

    Beberapa hastag juga diwujudkan, antaranya #selamatkanzulkifli dan #zulkifliherorakyat.

    Netizen rata-ratanya memahami prosedur undang-undang yang perlu dihadapi Zulkifli, namun marah dan kesal kerana dia didakwa ditahan dan akan dibicarakan seperti seorang penjenayah, sedangkan pada hakikatnya, Zulkifli dianggap hanya mempertahankan keluarganya.

    Khairul menasihatkan agar keluarga Zulkifli melantik peguam kerana membela diri adalah haknya, apatah lagi jika benar insiden yang berlaku adalah kerana mempertahankan diri dan keluarga.

    Dalam masa yang sama beliau meminta agar keluarga Zulkifli bersabar dan tidak bimbang kerana ia hanya prosedur perundangan.

    Zulkifli, yang mengusahakan sebuah warung makanan bersama isterinya, juga merupakan bapa kepada tiga orang anak, di mana salah seorangnya dilaporkan menghidap autisme.

    Zulkifli kini dtempatkan di Penjara Marang dan kesnya bakal disebut di mahkamah pada 24 Januari depan. -Awani
  • Malaysia Pegang Ekuiti Terbesar Saham Bandar Malaysia

    By Admin →
    1Malaysia Developement Berhad (1MDB) hari ini melaksanakan perjanjian jual beli saham dengan menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada konsortium Iskandar Waterfront Holdings berhad (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

    Daripada jual beli saham tersebut, Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda berkata syarikat pelaburan itu akan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta dan urusniaga itu dijangka lengkap menjelang hujung Jun 2016.

    “IWH yang juga pemaju utama bagi bahagian Flagship A Koridor Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar adalah perkongsian awam-swasta antara Credence Resource Sdn Bhd (60 peratus) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (40 peratus), yang dimiliki oleh kerajaan negeri Johor.

    “Konsortium terbabit menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada harga RM12.35 bilion. Nilai bersamaan 60 peratus tanah adalah RM7.41 bilion dan 1MDB dan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta selepas pelaksanaan perjanjian,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian urus niaga di Hotel Royal Chulan, Khamis.

    Konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd itu adalah hasil usahasama 60:40 antara IWH dan CREC.

    IWH setakat ini memiliki sejumlah 4,300 ekar tanah tepi laut yang bernilai tinggi di iskandar Malaysia, sementara CREC pula adalah salah satu firma kejuruteraan dan pembinaan terbesar di dunia dengan menduduki di tangga 71 dalam Fortune 500 dengan perolehan melebihi USD100 bilion setahun.

    Tambah Arul lagi, hasil daripada jualan itu juga 76 peratus daripada Bandar Malaysia akan dimiliki entiti Malaysia dimana kira-kira 54 peratus daripada projek tersebut dimiliki Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor.

    “Perjanjian hari ini menandakan kejayaan besar terakhir dalam rancangan rasionalisasi 1MDB seperti yang dikemukakan kepada Kabinet Malaysia pada 29 Mei 2015.

    “Ia susulan dari perlaksanaan Lembaran Jangka Mengikat dengan IPIC pada Jun 2015 dan Perjanjian Jual Beli Saham dengan Kumpulan CGN pada November 2015,” ujarnya.- BNBBC
  • Dua Letupan Bom Di Syria Ragut 16 Nyawa

    By Yusz Man →


    BEIRUT: Kira-kira 16 orang awam terbunuh manakala 35 lagi cedera selepas dua bom meletup dan memusnahkan dua restoran di bandar dekat timur laut Syria, kata pihak berkuasa Kurdis.

    Militia Unit Pertahanan Rakyat (YPG) Kurdis, Redur Xelil berkata letupan di Qamishli, dekat sempadan Turki itu didakwa dilakukan Kumpulan Militan Negara Islam (IS).

    Pemantau hak asasi manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata berlaku letupan ketiga di bandar yang diduduki majoriti penduduk Kristian itu, namun pihaknya tidak mengulas lanjut mengenainya.

    YPG adalah pasukan tempur darat paling efektif di Syria yang bersekutu dengan tentera gabungan diketuai Amerika Syarikat untuk menentang IS.

    Pada Oktober lalu ia menjadi sebahagian pakatan Angkatan Demokratik Syria yang di sokong AS dan melancarkan serangan ke atas IS di timur laut wilayah Hasaka.

    Serangan itu memaksa IS berundur ke bandar di sempadan Iraq manakala angkatan Kurdis di Iraq menawan bandar Sinjar daripada kumpulan jihad.

    IS melancarkan banyak serangan di kawasan Kurdis kebelakangan ini termasuk yang menggorbankan berpuluh nyawa pada awal bulan ini.-mStar
  • Malaysia Tenang Hadapi Tragedi 2015

    By Mas Aruwardy →

    TIDAK seperti 2014, Malaysia harus bersyukur dan menarik nafas lega kerana diduga dengan tragedi atau bencana yang tidak dapat dielakkan.

    Tiada banjir besar, tiada pesawat yang terbabit dengan nahas, malah tiada tragedi besar yang mengorbankan banyak nyawa, tidak keterlaluan dikatakan 2015 adalah tahun yang agak ‘tenang’ jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

    Menyingkap episod demi episod ujian yang ‘diturunkan’ kepada negara kita sama ada dari segi bencana yang tidak mampu ditahan oleh manusia, atau nahas akibat kecuaian atau kealpaan manusia, Malaysia memulakan tahun ini dengan agak baik tanpa sebarang peristiwa besar yang tak diingini.

    Helikopter Terhempas

    Setelah Januari, Februari dan Mac berlalu dalam keadaan baik, pada April negara mula diuji dengan tragedi yang menyaksikan enam individu termasuk bekas menteri, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di Semenyih pada tanggal 4 April.

    Ekoran nahas ini, kerusi Parlimen Rompin yang kosong diisi Datuk Hasan Arifin yang menewaskan calon PAS, Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi dalam pilihan raya kecil yang diadakan selepas kejadian itu.

    Nahas Myvi-Duke

    Belum pun kesedihan akibat tragedi itu reda, negara digemparkan pula dengan kemalangan tragis dan menyayat hati di Lebuhraya Duke melibatkan kenderaan jenis Pajero dan kereta Myvi.

    Dalam kemalangan pada pagi 2 Mei itu, pemandu Pajero bersama isteri dan seorang anak mereka berusia tujuh bulan telah terkorban. Dua lagi anak mereka yang berusia tujuh dan empat tahun menjadi yatim piatu.

    Kemalangan ini mendapat perhatian dan simpati masyarakat apabila ia melibatkan keluarga dan anak kecil yang ‘tidak berdosa’. Malah ia juga menjadi viral di internet.

    Ia turut menimbulkan kemarahan awam apabila terdapat dakwaan yang menyatakan kemalangan itu berpunca daripada dua kereta Myvi yang sedang berlumba.

    Akibatnya pemandu Myvi terbabit bersama dengan kelab-kelab kereta Myvi di negara ini dikecam hebat. Tidak cukup dengan itu, pemandu-pemandu Myvi lain turut sama menerima tempiasnya.

    Gempa Kinabalu

    Memasuki pertengahan 2015, negara mula berdepan dengan rentetan peristiwa yang tidak pernah dijangka atau disangka-sangka. Beberapa insiden tak diingini berlaku serentak dengan ujian bencana alam.

    Paling tidak dapat dilupakan apabila seluruh rakyat Malaysia gempar dengan kejadian gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter yang melanda daerah Ranau, Sabah pada 5 Jun.

    Gempa bumi itu, buat pertama kali telah menyebabkan berlakunya runtuhan bongkah batu di Gunung Kinabalu yang selama ini menjadi kebanggaan penduduk Sabah dan salah satu ikon pelancongan Malaysia.

    Dalam kejadian ini, seramai 18 pendaki yang berada di puncak Kinabalu terkorban. Ikon Kinabalu, Donkey’s Ear dan Tunku Abdul Rahman turut terjejas. Hanya pada 1 Disember, kerajaan Sabah memutuskan untuk membuka semula kegiatan pendakian ke puncak kebanggaan negara itu menggunakan laluan baharu.

    Insiden Low Yat

    Setelah keadaan di Sabah pulih, insiden tak diingini berlaku pula di Kuala Lumpur apabila berlaku pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat pada 11 Julai 2015.

    Kejadian pada 7.38 malam itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang ditahan pegawai keselamatan di kompleks itu kerana dituduh mencuri sebuah telefon bimbit lalu menyerahkannya kepada pihak polis.

    Suspek, yang juga remaja bagaimanapun bertindak menghubungi rakan-rakannya lalu memukul pekerja di situ dan memecah barang-barang di dalam kedai terbabit yang menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM70,000.

    Jerebu Kembali Lagi

    Selepas satu demi satu bencana, rakyat Malaysia diuji lagi dengan kehadiran jerebu yang saban tahun menyelubungi bumi Malaysia bermula September.

    Isu yang tiada kesudahan ini dikatakan paling buruk apabila ia berlaku untuk tempoh panjang hingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan rakyat Malaysia.

    Dalam isu ini, golongan yang paling terkesan sudah tentulah kanak-kanak dan pelajar kerana banyak sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup lebih 10 kali.

    Jerebu yang berterusan sehingga hujung Oktober ini telah melibatkan kira-kira 1.7 juta pelajar dengan lebih dari 2,000 sekolah terlibat dalam penutupan sekolah.

    Tragedi Kevin Morais

    Ketika masyarakat di negara ini masih bertopeng akibat udara yang berjerebu, berlaku satu kes pembunuhan ngeri di mana mayat bekas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Anthony Morais ditemui di Subang Jaya dalam keadaan disimen dalam sebuah tong.

    Mayat Morais ditemui pada 16 September, 12 hari selepas dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Menara Duta untuk keluar ke bertugas di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.


    Kren Tumbang

    September 2015 turut menyaksikan insiden kren tumbang di Makkah. Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha.

    Seramai tujuh jemaah Malaysia terkorban dalam tragedi itu dan beberapa jemaah lain mengalami kecederaan. Mangsa yang cedera dan waris jemaah yang terkorban akan dibayar pampasan oleh kerajaan Arab Saudi.


    Anak Orang Asli Hilang

    Kes tujuh pelajar Orang Asli hilang di Gua Musang yang mula dilaporkan pada 23 Ogos 2015 juga akan menjadi sejarah untuk negara ini.

    Peristiwa ini mencetuskan 1001 persoalan dan perasaan apabila mayat pertama hanya ditemui selepas 46 hari mereka hilang iaitu pada tanggal 7 Oktober 2015.

    Berlaku keajaiban apabila dua daripada tujuh kanak-kanak Orang Asli yang hilang di dalam hutan itu dijumpai selamat berhampiran Sungai Perias, dua hari berikutnya (9 Oktober 2015).

    Banjir Lumpur

    Dua bulan sebelum 2015 melabuhkan tirainya, berlaku satu lagi fenomena pada tanggal 11 November di mana berlaku kejadian banjir lumpur di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang.

    Akibatnya, kedua-dua arah lebuh raya itu sesak teruk dan ditutup untuk laluan awam selama beberapa hari.

    Dalam insiden itu, tiga kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas tetapi kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan.

    Ramalan bahawa banjir besar Disember 2014 yang dijangka berulang pada Disember tahun ini sama sekali meleset - satu hakikat tentang malapetaka atau bencana alam yang harus diterima oleh semua.

    Mangsa banjir dan agensi penguatkuasa terutama di Kelantan rata-rata sudah bersedia untuk berdepan bencana sama sekali lagi namun ia tidak berlaku. Sebaliknya, ia ‘diganti’ dengan nahas bas di Chiang Mai pada 20 Disember.

    Dalam kejadian itu, seramai 13 rakyat Malaysia disahkan maut manakala sembilan lagi cedera termasuk empat cedera parah.

    Walau apa pun yang menimpa negara kita, apa yang pasti setiap tragedi sama ada disebabkan bencana alam atau kecuaian manusia perlu dijadikan iktibar oleh kita semua.

    Malah, ketika seluruh rakyat berdepan dengan ujian, cabaran dan saat getir, ia secara tidak langsung membolehkan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan mengenepikan perbezaan pendapat dan pegangan.
  • Anak Penyanyi Era 80-An Dituduh Cuba Curi Motosikal

    By uMieySurianie →

    SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga anak kepada penyanyi wanita era 80-an dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan cubaan mencuri motosikal.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan mengesahkan perkara itu dan mengatakan tertuduh menghadapi pendakwaan itu bersama seorang lagi rakannya yang berusia 18 tahun.

    “Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan mencuri motosikal yang didakwa dilakukan di kawasan sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini kira-kira dua minggu lalu.

    “Mereka dituduh mengikut Seksyen 379A dan 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri kenderaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada Februari tahun depan,” katanya.

    Difahamkan, ibu remaja terbabit pernah menyertai program nyanyian realiti baru-baru ini selepas sekian lama menyepikan diri dalam bidang hiburan. – BH ONLINE
  • Tindakan FAS tidak profesional

    By Mas Aruwardy →

    PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) terus membisu berhubung isu jurulatih The Red Giants apabila menangguh pengumuman kedudukan Zainal Abidin Hassan dan Mehmet Durakovic.

    Amiruddin Shari ketika ditanya mengenai kesediaan FAS untuk mengumumkan status Zainal mahupun Durakovic pada 19 Disember lalu berjanji satu penyelesaian akan diumumkan sebelum tahun baru agar memberi pemain-pemain masa untuk berehat bermula Hari Natal.

    Namun, tiada pengesahan rasmi berhubung perkara berkenaan setakat ini sebaliknya FAS akan berbuat demikian pada awal Januari.

    Difahamkan, Presiden FAS, Datuk Seri Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor akan mengadakan sidang media selepas Durakovic menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 7 Januari ini.

    Pada masa sama, FAS juga dijangka mengumumkan senarai pemain import pasukan itu untuk cabaran musim depan.

    Sementara itu, bekas pengurus Selangor, Zakaria AB Rahim menyifatkan tindakan FAS melengah-lengahkan pengumuman itu sebagai tidak profesional.

    "Bagi saya, setiap pasukan perlu melantik jurulatih sebelum membawa masuk pemain bukan sebaliknya. Tidak ada pasukan yang melantik jurulatih supaya mengikut percaturan pemain pihak pengurusan kerana dia akan memilih pemain yang mengikut strateginya tersendiri,"

    "Jadi tindakan Selangor untuk melengah-lengahkan pengumuman itu semamangnya tidak profesional," kata Zakaria.

    Astro Arena
  • Pembantu Tadbir JPJ Mengaku Bersalah Pecah Amanah

    By Mas Aruwardy →
    gambar sekadar hiasan

    KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu tadbir di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan pecah amanah pada Oktober tahun lepas.

    Sahaslina Mat Yazid, 29, didakwa melakukan kesalahan berhubung wang kutipan bayaran lesen kenderaan motor berjumlah RM14,452 di kaunter Bahagian Perlesenan Kenderaan di Aras 1, JPJ Negeri Terengganu di sini pada 8 pagi hingga 5 petang antara 1 Jun dan 15 Okt 2014.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta denda.

    Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Jan untuk menjatuhkan hukuman.

    Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noorjidah Mohd Jusan manakala Sahaslina tidak diwakili peguam.

    Di Mahkamah Majistret di sini, Sahaslina turut didakwa melakukan 25 pertuduhan membabitkan pengubahsuaian tanpa kuasa dengan membatalkan urusniaga lesen kenderaan motor berjumlah RM14,412.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama antara 1 Jun 2014 dan 29 Okt 2014, dan didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi kesemua kesalahan itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanatiah membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Jan untuk menjatuhkan hukuman.

    Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Zainuddin Ghani mewakili pihak pendakwaan. – BERNAMA
  • Gol Benteke Bantu The Reds Benam Sunderland

    By Yusz Man →

    CHRISTIAN Benteke muncul wira Liverpool apabila membantu pasukan itu menewaskan Sunderland 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris, di Stadium of Light, awal pagi Khamis.

    Ia adalah jaringan kedua Benteke dalam tempoh lima hari ketika Liverpool berusaha untuk merapatkan jurang dengan musuh tradisi Manchester United.

    United menduduki tangga keenam dengan 30 mata manakala Liverpool ketujuh, juga mengutip 30 mata.

    Ketika kedua-dua pasukan bergelut untuk memecah kebuntuan, Benteke memanfaatkan hantaran Adam Lallana dengan melakukan rembatan kencang menerjah gawang Sunderland pada minit ke-46.

    Sunderland kini menduduki dua tangga tercorot liga dengan hanya mengumpul 12 mata.

    Pasukan tuan rumah akan mengharungi aksi tahun baru menentang tiga pasukan yang menduduki tangga kelima tercorot liga iaitu, Aston Villa, Swansea City dan Bournemouth.

    Sekiranya Sunderland merekodkan kemenangan terhadap ketiga-tiga pasukan itu, maka peluang untuk terus kekal dalam aksi Liga Perdana Inggeris lebih cerah.

    Namun Liverpool juga masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam usaha merebut kedudukan keempat bagi melayakkan diri pada aksi Liga Juara-Juara.-mStar
  • Menang 4-0, Barcelona Atasi Rekod Jaringan Real Madrid

    By Yusz Man →

    LUIS Suarez menjaringkan dua gol manakala Lionel Messi satu gol yang juga penampilan ke-500nya bersama Barcelona ketika menentang Real Betis pada aksi La Liga, awal pagi Khamis.

    Barcelona menundukkan Real Betis 4-0.

    Satu lagi gol Barcelona diperolehi menerusi kesilapan yang dilakukan pemain Real Betis, Heiko Westermann yang menjaringkan gol ke gawang sendiri.

    Kemenangan itu juga merupakan detik indah buat Barcelona apabila merekodkan 180 gol sepanjang tahun ini, lebih dua gol berbanding yang dicatatkan Real Madrid pada 2014.

    Barcelona bermula selesa apabila mendahului menerusi kesilapan yang dilakukan Westermann sebelum Messi menjaringkan gol ke-425nya di gelanggang sendiri pada minit ke-35.

    Penyerang sensasi Barca, Neymar nyaris menambah jaringan tetapi percubaannya terkena palang.

    Namun, Suarez bangkit menjaringkan dua gol terakhir masing-masing pada minit ke-46 dan 83.

    Sementara itu, Real Madrid turut cemerlang apabila menewaskan Real Sociedad 3-1.

    Gol Madrid dijaringkan Christiano Ronaldo (dua gol) dan Lucas Vazquez.

    Sociedad pula memperolehi gol tunggal menerusi jaringan Bruma pada minit ke-49.

    Barcelona kini mendahului carta liga dengan mengumpul 38 mata manakala Real Madrid di tempat ketiga dengan 36 mata.-mStar

  • Status Terkini Kawasan Dinaiki Air Sekitar Kuching

    By Yusz Man →
    Keadaan terkini di kawasan tabuan dayak- foto bomba

    KUCHING: Berikutan hujan lebat tanpa henti di bandaraya Kuching sejak tengah malam tadi, beberapa lokasi penempatan telah dinaiki air.

    Menurut pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, pemantauan bermula dari jam 8 pagi sehingga jam 11 pagi ini mendapati lokasi berikut berisiko banjir, dimana penduduk terbabit dinasihatkan dalam keadaan berjaga-jaga;

    1. Kampung Nada, Muara Tabuan air telah naik 1 kaki, keadaan masih terkawal dan belum ada pemindahan.

    2. Kampung Tabuan Dayak keadaan masih terkawal namun ada kenaikan paras air dikawasan Kampung, bagaimapun belum penduduk yang dipindahkan.

    3. Kampung Bako Indah dan Kampung Hijrah, Bako air telah naik setinggi 1 kaki namun keadaan masih terkawal, dan belum ada mangsa yang dipindahkan.

    4. Taman Desa wira keadaan masih terkawal penghuni 5 buah rumah telah dinaiki air. Namun belum ada mangsa yang dipindahkan.

    5. Kampung Beradek telah dinaiki air dan kerja-kerja membantu pihak JKM untuk penghantaran bekalan makanan sedang dilakukan menggunakan bot.



    Keadaan terkini parit di kawasan Kampung Hijrah
    -SARAWAKIANA


  • Pelajar Malaysia Di Mesir Didakwa Atas Tuduhan Sertai Kumpulan Pengganas Al- Qaeda

    By uMieySurianie →

    SEPANG: Seorang pelajar kolej di Kaherah, Mesir, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini sebentar tadi atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi ahli kumpulan berkenaan.

    Tertuduh, Mohamad Hidayat Azman, 19, dari Kuala Bagan Tiang, Perak, menjadi individu pertama didakwa terbabit dengan kegiatan Al-Qaeda di negara ini.

    Tertuduh bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas mengakui memahami pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasuki Syria dengan menaiki pesawat menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di antara 5 September 2014 hingga 1 September 2015 bagi memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda dengan menjadi ahli kumpulan itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130 J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau sehingga 30 tahun atau denda.

    Tertuduh ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di KLIA pada 7 Disember 2015, sebaik tiba dari Mesir.

    Mahkamah menetapkan 28 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin. - BH

  • Ronaldo Mahu Tambah Zuriat, Rai Krismas Di Miami

    By Mas Aruwardy →

    BINTANG sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo didakwa sanggup meraikan sambutan Hari Krismas di Miami tanpa keluarga disisinya dalam usaha untuk menambah zuriat.

    Menurut seorang pengacara TV popular di Portugal, Eunice Cristina Morais de Carvalho, Ronaldo meninggalkan anaknya, Cristianinho bersama ibunya, Dolores di Portugal supaya dia boleh mengatur temujanji mengenai proses untuk mendapatkan anak kedua.

    Pemain berusia 30 tahun itu pernah menyatakan hasrat untuk mempunyai 'lima hingga enam' lagi anak dalam satu temubual bersma sebuah majalah, FHM baru-baru ini.

    "Saya fikir saya berada dalam keadaan baik untuk mempunyai ramai anak, jadi saya mahukannya. Mari cari wanita yang sesuai," katanya dalam temubual itu.

    Ronaldo turut mendedahkan anaknya yang sudah berusia lima tahun dilahirkan di sebuah klinik swasta di Amerika Syarikat dengan kerjasama dua ibu tumpang warga Mexico.

    Malah Dolores turut mengakui mengambil Cristianinho dari sebuah hospital di Florida.

    Spekulasi Ronaldo berusaha untuk mendapatkan anak kedua timbul selepas beliau memutuskan untuk tidak bersama dengan keluarga meraikan sambutan Krismas.

    Cristiano dilihat mendapat layanan VIP dan bersantai di sebuah hotel mewah di Miami.

    Pada Krismas tahun lalu, Ronaldo menghabiskan masa bersama anak dan bekas kekasihnya Irina Shayk.

    "Hanya satu sebab kukuh yang menyebabkan Ronaldo sanggup berjauhan dari Cristianinho pada Krismas.

    "Krismas lalu dia bersama dengan bekas kekasih dan anaknya. Tahun ini dia meraikan Krismas seorang diri di Miami," kata Carvalho.

    Malah, katanya, Cristiano sering memberitahu mahukan seorang lagi zuriat.

    "Cristiano membuat urusan temujanji mengenai anak kedua itu," dakwa Carvalho.

    -mstar
  • ‘Telefon Bimbit Kuno’ Cetus Spekulasi

    By uMieySurianie →


    Vienna – Penemuan objek pelik tidak ubah seperti telefon bimbit kuno oleh pakar arkeologi menjadi viral di Internet menyebabkan ramai membuat spekulasi bahawa ia membuktikan mengembara merentas masa sesuatu yang boleh berlaku.

    Antara spekulasi pengguna Internet termasuk bahawa barang itu salinan telefon bimbit diperbuat daripada tanah liat, dengan tulisan pepaku Sumeria pada ‘kekuncinya.’

    Ada dakwaan mengatakan ‘telefon’ itu dari kurun ke-13 dan bukti tamadun yang jauh maju pada zaman itu dengan teknologi dibawa balik pengembara masa dari masa depan.

    Laman web konspirasi, tothedeathmedia.com berkata: “Mengikut laporan, pakar arkeologi membuat penemuan ini ketika pencarian artifak di Fuschl am See, Salzburg.

    “Malangnya tidak banyak maklumat mengenai penemuan menakjubkan ini.”

    Bagaimanapun, tidak kurang juga yang menganggapnya sekadar penipuan terutama disebabkan kurangnya maklumat yang mengesahkan penemuan itu.

    Pada masa sama, pencari makhluk asing dan UFO menganggap gambar itu bukti alien dari tamadun lebih maju pernah datang ke bumi membawa teknologi mereka.

    Editor majalah UFO Sightings Daily, Scott C Waring berkata: “Kita tidak boleh nafikan ini mungkin penipuan. Perkara seperti ini amat sensasi, tetapi pada masa sama ada juga kemungkinan pembuatnya melihat telefon bimbit seumpamanya pada zaman dulu dan menirunya dalam bentuk ini.” – Agensi/myMetro Online
  • Terengganu Haramkan Vape Bermula 1 Januari 2016

    By Mas Aruwardy →


    KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengharamkan penggunaan vape atau rokok elektronik di negeri ini bermula awal Januari tahun depan.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda, berkata kerajaan negeri membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan keputusan Majlis Fatwa Negeri Terengganu yang mengharamkan vape.

    Katanya susulan keputusan itu juga, pihak kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan peniaga vape pada 3 Januari bagi memberi penerangan lebih terperinci.

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu.

    -mstar
  • 13 Penghuni Hilang Tempat Tinggal di Kampung Petanak Hulu, Mukah

    By Yusz Man →

    MUKAH: Seramai 13 orang penghuni dari tiga buah keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Petanak Hulu disini semalam.

    Kejadian yang berlaku pada jam lebih kurang 1.30 petang semalam itu telah memusnahkan hampir keseluruhan rumah yang diperbuat daripada kayu serta sebuah kereta dan dua buah motosikal juga turut terbakar.

    Sepasukan anggota bomba dan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer sejurus laporan diterima.

    Difahamkan seorang penghuni rumah tersebut pengsan akibat terkejut dengan insiden yang berlaku.

    Walaubagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua penghuni selamat.-Sarawakiana





  • RTM Cadang Wujudkan Saluran Berita TV Sepenuhnya

    By Mas Aruwardy →

    JAKARTA – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang mewujudkan saluran berita TV sepenuhnya apabila proses peralihan sistem analog ke digital siap sepenuhnya.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pewujudan salurun itu diharap dapat memantapkan lagi penyampaian maklumat dan penjelasan terhadap isu-isu yang mengelirukan rakyat.

    “Walaupun kita sudah ada saluran berita Bernama TV yang beroperasi 24 jam (melalui Astro), namun masih terdapat banyak isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu yang perlu diberi penjelasan sepenuhnya berdasarkan fakta yang tepat dan sahih.

    “Sebab itu, RTM bercadang mewujudkan saluran berita TV sepenuhnya bagi membantu dari segi penyaluran maklumat supaya rakyat termasuk di luar bandar tidak keliru, terutama yang membabitkan isu nasional. Soal pertindihan fungsi antara Bernama TV dan berita TV RTM tidak timbul malah kedua-dua saluran ini saling bantu membantu,” katanya.

    Salleh berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan meninjau studio penyiaran ibu pejabat Metro TV dekat sini hari ini.

    Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohid Mohamed, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kamarudin Abdul Rani, Pengarah Berita Ehwal Semasa Jabatan Penyiaran Malaysia Wan Bukhari Wan Daud dan Pengarah Berita Metro TV Suryopratomo.

    Berikutan itu, Salleh berkata RTM akan menghantar beberapa pegawainya untuk menjalani latihan di Metro TV bermula Januari depan sebagai sebahagian daripada persiapan awal untuk menjayakan pewujudan saluran berita TV.

    Beliau berkata RTM dan Metro TV telah menjalin kerjasama sejak dua tahun lepas yang tertumpu kepada bidang pemberitaan.

    Salleh berkata pemilihan Metro TV untuk tujuan itu amat sesuai memandangkan ia merupakan saluran berita TV yang beroperasi 24 jam dan programnya terutama ‘Talk Show’ mendapat sambutan yang menggalakkan di Indonesia.

    “Mungkin kita boleh mempelajari sesuatu daripada kejayaan Metro TV, sekali gus membantu merealisasikan impian kita mewujudkan saluran berita TV RTM,” katanya.

    Metro TV yang dilancarkan pada tahun 2000 merupakan saluran berita TV swasta Indonesia yang berpangkalan di Jakarta. – BERNAMA
  • Perkhidmatan Kaunter Imigresen Ditutup Tiga Hari Mulai Esok

    By Mas Aruwardy →

    KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kaunter Jabatan Imigresen di seluruh negara kecuali Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor akan ditutup selama tiga hari bermula Jumaat.

    Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, penutupan adalah bersempena cuti umum Tahun Baru 2016.

    Bagaimanapun penutupan tidak melibatkan Kaunter Jabatan Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

    Pejabat Imigresen Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor pula hanya ditutup Jumaat dan Sabtu, kata kenyataan itu. - BERNAMA
  • Anak Maut Terjatuh Depan Mata

    By uMieySurianie →

    SELAMA: Seorang kanak-kanak berusia lelaki lima tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga flat kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini, malam tadi.

    Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 11.05 malam ketika mangsa, Aqeef Nifael Sharhafizie Afzal, bersama ibu bapanya baharu pulang daripada bercuti.

    Mangsa dikatakan naik ke rumah bersama ibunya di tingkat tiga bangunan, sementara bapanya dan anak yang kedua sedang berkemas di kereta.

    Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay, berkata ketika bapa mangsa dalam perjalanan di koridor ke lif, tiba-tiba mangsa jatuh dari atas ke tepi longkang blok Felicia dan terbaring di depan matanya. Katanya, semasa kejadian tiada saksi lain selain kedua ibu bapa mangsa.

    "Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala.

    "Mayat kemudian dibawa ke Hospital Selama untuk dibedah siasat dan jenazah akan dibawa ke kampung ibu bapanya di Sungai Petani untuk pengebumian," katanya. - BH

  • Kita Banyak Buang Masa Dengan Isu-Isu Bodoh - Khairy

    By Mas Aruwardy →

    PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memuat naik gambar 'selfie' berdiri di hadapan kawasan projek perumahan yang sedang dicat semula selepas dikatakan menyerupai simbol salib di Langkawi.

    Khairy yang juga Ahli Parlimen Rambau berkata di laman Twitternya : "Rumah-rumah yang ada 'salib' di Langkawi. Kini dicat semula selepas kecoh. Kita terlalu banyak membuang masa dengan isu-isu bodoh."

    Kontroversi rekabentuk rumah itu timbul apabila projek perumahan di Kelibang itu kelihatan seperti simbol salib di bahagian bumbung apabila dicat dengan warna coklat manakala hanya satu bahagian sahaja yang dibiarkan berwarna putih.

    Sementara itu, Kerajaan Negeri Kedah telah mengarahkan pemaju projek itu agar mengecat semula di bahagian bumbung.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Datuk Tajul Arus Mat Zain berkata, pemaju telah menjelaskan bahawa mereka tidak berniat untuk mewujudkan simbol itu.

    Kerja-kerja mengecat semula telah bermula pada hari Selasa dan dijangka akan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

    Khairy berada di Langkawi menyaksikan Kejohanan Kejohanan Sukan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) 2015. -mstar
  • Penerbangan Ihsan Bomba Miri Bawa Doktor Sakit Ke Hospital Kuching

    By Yusz Man → Wednesday, 30 December 2015

    MIRI: Unit Udara Bomba Miri hari ini melakukan penerbangan ihsan bagi membawa seorang doktor wanita dari Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

    Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kong berkata penerbangan ihsan menggunakan helikopter itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 7.15 malam ini setelah bertolak dari Miri pada 4.40 petang.

    Berdasarkan maklumat rakan sekerjanya, Dr Lily Wong Li Yeon, 27, diterbangkan ke Kuching untuk mendapatkan rawatan setelah berlaku pendarahan dalaman di kepalanya, katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

    Beliau berkata permohonan untuk membawa pesakit itu dibuat pada 2.25 petang tadi.

    -- BERNAMA
  • 300 Penan Dewasa Selesai Jalani Program Awal Literasi SEB

    By Yusz Man →

    KUCHING: Selepas berjaya menamatkan peringkat awal program literasi baru-baru ini, kira-kira 300 orang dewasa masyarakat Penan dari lapan kampung di pedalaman Baram kini boleh membaca, menulis dan melakukan aritmetik asas.

    Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, yang diperkenalkan Sarawak Energy Bhd (SEB) dengan kerjasama badan bukan kerajaan iaitu Persatuan Kemajuan Wanita dan Keluarga Sarawak (SAWF), bertujuan mengurangkan kadar buta huruf sambil meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Penan.

    Program itu, yang pada mulanya hanya disasarkan untuk masyarakat Penan di Murum yang terjejas akibat pembinaan Loji Hidroelektrik Murun, kini diperluaskan kepada komuniti Penan Baram.

    Ia bermula pada Februari tahun lepas dengan penyertaan 312 orang dewasa Penan dari lapan penempatan iaitu Long Lilim, Long Luteng, Long Sengayan, Long Kawi, Ba' Kabing, Long Daloh Bestari, Long Daloh Asal dan Ba' Abang.

    Seramai 38 fasilitator dilatih untuk menjayakan kelas literasi di lapan penempatan berkenaan, kata SEB dalam kenyataan di sini, Rabu.

    Selain kemahiran membaca, menulis dan mengira, program itu mempunyai tiga peringkat yang dikhususkan bagi memenuhi keperluan berkaitan pembangunan diri yang merangkumi aspek penjagaan kebersihan; nutrisi dan pendidikan kesihatan; asas kemahiran hidup serta ekonomi rumahtangga dan keibubapaan.

    Majlis penyampaian sijil bagi menghargai pencapaian peserta dan fasilitator telah diadakan di Dewan Komuniti Long Luteng, Baram pada 15 Dis lepas.

    Ketua Jabatan CSR SEB Jiwari Abdullah, yang diiringi Penasihat Perhubungan Khas Komuniti Stell Sindau dan Pengurus Pelaburan Sosial Joanne Tan, menyampaikan sijil itu.

    Kira-kira 400 orang dewasa masyarakat Murum memanfaatkan program Literasi Penan Murum itu yang turut mendapat pengiktirafan antarabangsa sejak diperkenalkan pada Februari 2012.

    -- BERNAMA
  • Tuai Rumah, parti komponen BN ngayanka sukung

    By Yusz Man →

    MARUDI: Kesemua empat Komponen Parti Barisan Nasional (BN) di pelilih menua nya meruan ngetanka penetap dijapai sida enda nyukung sebarang parti ari luar BN kelimpah ari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) penggi sitak Kunsil Nengeri (DUN) Marudi rambau Pengawa Bepilih Besai Kunsil Nengeri ti Ke-11 (PRN11) tu ila.

    “Semua bela nemu, sitak DUN Marudi tu asal endang dipenggi ngagai SPDP lalu kami udah bisi rintai nama chalun bediri ba sitak nya sereta iya tu ex-pemesai perintah; Datu Dr. Penguang Manggil kelimpah ari tujuh penuduk ke bukai ke diungkup ngagai SPDP iya nya Tasik Biru, Pakan, Krian, Meluan, Batu Danau , Bekenu, Marudi enggau Ba’ Kelalan.

    Ketuai Nembiak SPDP Sarawak, Kr Robert Ayu mantaika pekara tu rambau Pengerami Pemesai SPDP Begulai enggau Rayat ke diatur Raban Nembiak SPDP sereta Parti Sa’Ati Rayat Sarawak (SUPP) Pampang Baram bepalan di Palan Sivik Baram ditu apin lama ke udah.

    Kesemua empat Komponen Parti nya nyengkaum Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sereta SPDP empu deka meda chalun baru ari SPDP bediri dia maya PRN11 tu ila lalu iya ke nyata chalun nya endang ari Parti BN bediri ba penuduk Marudi nya. Tu mih penetap runding ari tiga Komponen Parti BN ke bukai.

    Kelimpah ari nya, Robert Ayu madah, gaya jalai Miri-Marudi ke chukup jai ngujungka pejalai semak tiga jam ngena kerita nengah jalai nya. Keterubah ku iya, kini penunga piak otoriti menua nya sereta kedua iya, sida ngenataika diri ngagai sitak Marudi ketegal deka mendingka peminta ari renggat nembiak redak raban bansa Melayu enggau China, iya ke deka berandau enggau ketuai ari SPDP laban sida ngasaika diri ditejuka piak otoriti menua nya.

    Ketiga ku Ayu, Marudi tu dipenggi SPDP lalu endang patut SPDP ngasuh chlaun iya, Datu Penguang Manggil bediri ba penuduk nya.

    “Aku ngelalau semua pengundi di Marudi enda bebagi sukung ngagai chalun tu. Iya kala nyadi Pemesai Kanan Perintah lalu iya ngembuan penelaba 36 taun bejalaika servis perintah. SPDP deka ngambi pulai baru sitak tu maya PRN11 tu ila.”

    Robert Ayu mega dikirai nyadi chalun SPDP bediri ba sitak Mulu, baka ke udah dikeluarka ba media.

    Sama bisi datai rambau pengawa nya, Presisden SPDP, Dato Seri Tiong King Sing, Kaban Parlimen (MP) Baram, Anyi Ngau, Sekretari Besai SUPP, Datuk Sebastian Ting, Sekretari Politik Kepala Menteri Sarawak, Alexander Asing Sadai, Sekretari PRS Senadin, Egi Bangat King, Ex-Kr Khalid Sabel (pengari PBB) sereta raban ketuai komuniti China nyengkaum Pemancha Chong Chin Hui, Pengulu Tie King Un enggau Kapitan Kang Siew Low sereta udah mujur ngempuruka urung iya 1,100 kaban SPDP sereta kaban BN ba palan sivik nya.-UB
  • VIDEO: Mengerikan, Cacing Dirakam Berenang Dalam Mata

    By Yusz Man →

    SEORANG doktor merekodkan kejadian mengerikan menimpa seorang wanita. Video berkenaan memperlihatkan, seekor cacing sedang bergerak-gerak di dalam bebola mata wanita berkenaan.

    Cacing tersebut dapat dilihat bergerak aktif di dalam biji matanya namun wanita tersebut dikatakan tidak berasa sakit.

    Video ini telah dimuat naik di LiveLeak.com beberapa jam lepas dan sehingga sekarang ianya telah mencapai belasan ribu penonton yang teruja dengan kisah cacing dalam mata ini.

    Video tanpa informasi lanjut ini bagaimanapun tidak diketahui lokasi ianya dirakam, mahupun nama doktor dan pesakit terlibat. Sama ada cacing tersebut telah dikeluarkan ataupun tidak juga tidak dinyatakan.

    Sehubungan itu ramai menyatakan pendapat mereka tentang kesukaran untuk cacing sekecil itu dikeluarkan dari mata seorang manusia.

    Apa pun, video ini mengingatkan kami tentang pepatah Melayu lama ‘cacing naik ke mata’. – MYNEWSHUB.CC

    Sumber: Mirror UK

  • Lelaki Nigeria Didakwa Tipu Dua Wanita Kenalan Facebook

    By Yusz Man →

    PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap dua pertuduhan menipu dua wanita yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook membabitkan kerugian berjumlah RM10,500 pada Ogos lepas.

    Collins Sparklys Obianke, 33, yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar, didakwa di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim dan Majistret Salamiah Salleh bagi setiap pertuduhan itu.

    Di hadapan Mohd Azali, Collins Sparklys didakwa menipu S. Vanitha, 31,bahawa dia dapat membekalkan bungkusan mengandungi telefon bimbit, tiga pasang kasut, tiga utas rantai, komputer riba, beg pakaian dan barangan serta wang US$20,000 sehingga mendorong wanita itu memasukkan wang sebanyak RM7,500 kedalam akaun Maybank milik Mislia Jamaat.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank UEP, Subang Jaya di sini antara 1.34 petang 24 Ogos lepas hingga 9.19 pagi 25 Ogos lepas.

    Di hadapan Salamiah pula, Collins Sparklys didakwa menipu Foo Pooi Yun, 38,dengan menggunakan modus operandi sama sehingga mendorong wanita itu memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam akaun Maybank milik Noor Idawati Abdul Hamid di kawasan Bukit Puchong di sini pada 3.41 petang, 14 September lepas.

    Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 KanunKeseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Mohd Azali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Salamiah menetapkan RM6,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamahdan menetapkan 19 Februari untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari dan Siti Fatimah Yahya manakala peguam L.A.Gomes mewakili Collins Sparklys. -Bernama
  • Isteri Kapten Hasman Redha Berita Penemuan Mayat Suami

    By Yusz Man →

    JEMPOL: Siti Hazwani Ahmad, isteri Allahyarham Kapten Hasman Hussin, yang hilang apabila kenderaan dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, Amerika Syarikat, dimaklumkan tentang penemuan mayat suaminya melalui telefon oleh pihak tentera pagi Rabu.

    "Saya terima keadaan ini dan amat berharap jenazah suami segera dibawa pulang. Saya hanya mengetahui berita mengenai suami saya apabila dikunjungi seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pagi semalam," katanya ketika ditemui pemberita di rumah bapanya di Felda Palong 13 dekat sini pada Rabu.

    Siti Hazwani, 29, berkata beliau diminta bersedia untuk dibawa ke AmerikaSyarikat bersama bapa mertuanya, namun mungkin tidak dapat berbuat demikian disebabkan dua bayinya masih kecil selain beliau sendiri belum cukup kuat kerana sedang berpantang selepas melahirkan bayi kembar lelaki baru-baru ini.

    "Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah suami saya untuk dibawa pulang," katanya, yang turut mempunyai anak sulung lelaki berusia tiga tahun.

    Siti Hazwani berkata kali terakhir beliau bercakap dengan suaminya melalui telefon adalah pada 25 Disember lalu.

    Markas Tentera Darat Wisma Pertahanan hari ini mengesahkan mayat Allahyarham Hasman, pegawai Tentera Darat yang dilaporkan hilang pada Sabtu selepas dipercayai dihanyutkan banjir di Pulaski County, Missouri, Amerika Syarikat, telah dijumpai pada 11 pagi 28 Disember waktu tempatan (1 pagi 29 Disember waktu Malaysia).

    Allahyarham Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Woodsejak 1 Okteber lepas, dilaporkan hilang apabila kenderaan dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.

    Sementara itu, anggota keluarga Allahyarham Hasman yang dimaklumkan tentang penemuan mayatnya oleh wakil ATM yang datang ke rumah mereka di Masjid Tanah disini kira-kira pukul 9 pagi ini, reda dengan ketentuan Ilahi.

    Adik Allahyarham, Mohd Hairi Hussin, 29, berkata keluarga mereka akanberbincang dengan Siti Hazwani untuk menguruskan mayat Hasman.

    Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata menurut pihak tentera, proses membawa pulang mayat abangnya itu akan mengambil masa kira-kira dua hari dan keluarganya menyerahkan kepada pihak ATM untuk proses tersebut.

    Katanya pihak ATM ada menawarkan Siti Hazwani dan bapa Allahyarham, Hussin Mat, 60, ke Amerika Syarikat tetapi keluarga mereka terpaksa menolak kerana Siti Hazwani masih menyusukan sepasang anak kembarnya berusia tiga bulan manakala Hussin pula kurang sihat.

    Mohd Hairi turut mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak tentera kerana membantu keluarga mereka dalam menghadapi saat-saat sukar ini.

    Allahyarham Hasman, anak ketiga daripada enam beradik, mempunyai tiga anak lelaki iaitu anak sulung berusia tiga tahun dan anak kembar berusia tiga bulan.-mStar
  • Madonna Rebut Anak Daripada Bekas Suami

    By Mas Aruwardy →

    PENYANYI Madonna mengemukakan hak penjagaan anak kepada mahkamah minggu lalu bagi meminta bekas suaminya itu memulangkan Rocco, 15, ke kediamannya di New York.

    Perkara tersebut dilakukan selepas berang apabila anak lelakinya itu menolak untuk merayakan Krismas dengannya kerana mahu menyambut perayaan itu bersama-sama ayahnya Guy Ritchie.

    Penyanyi itu juga menuduh Guy cuba mempengaruhi Rocco untuk tinggal bersamanya.

    Bagaimanapun, menurut peguam Guy, anak pasangan itu yang memilih untuk merayakan Krismas bersama ayahnya di London.

    Seperti dipetik Mirror, hubungan Guy dan Madonna dingin sejak berpisah pada tahun 2008.

    Madonna dan bekas suaminya itu sering bertengkar tentang anak mereka Rocco. Penyanyi itu dikatakan terlalu tegas dan mengawal kebebasan anak mereka.

    Buat masa ini, pihak mahkamah meminta remaja tersebut untuk pulang ke New York dan berbincang sebelum membuat keputusan untuk tinggal bersama ibu atau ayahnya.

    Madonna dan Guy Ritchie berkahwin pada Disember 2000 dan bercerai secara rasmi pada 2008.

    -mstar