Browsing "Older Posts"

  • Rentung Kena Kejutan Elektrik Selepas Bergaduh

    By uMieySurianie → Monday, 30 November 2015


    CHINA: Seorang lelaki nyaris maut dan melecur hampir keseluruhan badan terkena renjatan elektrik ketika memanjat sebuah tiang elektrik di kawasan perumahan di bandar Jinhua, wilayah Zhenjiang.

    Lelaki yang dikenali sebagai Luo bertindak memanjat tiang elektrik berkenaan selepas dikatakan bergaduh dengan teman wanitanya.

    Memetik laporan NetEase, mangsa duduk di atas tiang berkenaan dan kemudian membuat panggilan melalui wayar penghantar sebelum terkena renjatan elektrik sehingga menyebabkan badannya terbakar dan jatuh ke tanah.

    Menurut saksi di tempat kejadian, mereka terdengar bunyi letupan selepas terlihat percikan api.

    Luo dikejarkan ke hospital berdekatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    Bagaimanapun punca pergaduhan pasangan itu masih tidak dapat dipastikan. - SH
  • Mesin ATM Di Jepun Mula Sokong Penggunaan Bahasa Melayu

    By uMieySurianie →

    SEKIRANYA melancong ke luar negara, sebaiknya pastikan bawa wang yang cukup untuk perbelanjaan.

    Ini kerana jika anda mengeluarkan wang di negara luar, bank akan mengenakan caj tambahan.

    Tetapi kadang kala ‘malang sememangnya tidak berbau’ dan wang tunai masih perlu juga dikeluarkan menerusi ATM.

    Kebiasaannya, tidak semua ATM di negara luar menyokong bahasa Melayu.

    Hanya bahasa-bahasa utama dunia seperti Inggeris dan China mendapat sokongan dari bank luar negara.

    Tetapi sekiranya anda ke Jepun, kini anda boleh menggunakan mesin ATM yang menggunakan bahasa Melayu.

    Bahasa Melayu ialah salah satu daripada dua belas bahasa yang kini mula disokong mesin ATM di Jepun.

    Sebelum ini mesin ATM di Jepun hanya menyokong bahasa Jepun, Korea, China dan Inggeris.

    Pengenalan lapan lagi bahasa ini adalah langkah Jepun untuk memudahkan proses pengeluaran wang oleh pelancong yang melawat negara mereka.

    Mereka menyedari pelancong lebih gemar menggunakan wang tunai dari kad kredit.

    Apabila mesin ATM menyokong bahasa asing, mereka akan lebih mudah mengeluarkan wang seterusnya menjana ekonomi melalui pembelian barangan dari peniaga tempatan.

    Mesin ATM Seven Banks adalah yang pertama akan menawarkan perkhidmatan pelbagai bahasa ini.

    Selain bahasa Melayu, bahasa Indonesia, Thai, Perancis, German, Portugis dan Vietnam turut disokong.-MYNEWSHUB.CC
  • JPM Anjur Makmal Bincang Tambah Baik Perkhidmatan Teksi – Nancy

    By uMieySurianie →

    KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menganjurkan makmal pada Khamis ini bagi membincangkan isu penambahbaikan perkhidmatan teksi termasuk isu aplikasi telefon pintar berkaitan teksi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Menteri di JPM Nancy Shukri berkata makmal itu akan membincangkan hasil maklum balas orang ramai yang telah diperoleh melalui kaji selidik dalam talian yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    “SPAD sedang melakukan satu survei secara dalam talian untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkhidmatan teksi dan ia dilanjutkan sehingga 3 Disember ini supaya maklumat ini akan digunakan oleh SPAD untuk dikongsikan bersama pemain industri,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang bertanyakan sebab tindakan tindak boleh diambil bagi menghentikan penggunaan aplikasi telefon pintar yang digunakan pemandu teksi haram dan usaha untuk memulihkan imej perkhidmatan teksi negara.

    Nancy berkata SPAD tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan penggunaan aplikasi telefon pintar berkaitan teksi kerana ia tertakluk di bawah kementerian lain. – BERNAMA
  • Kerajaan Sarawak Bantu LPNM Majukan Industri Nanas Di Sarawak

    By Yusz Man →
    gambar hiasan
    KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak bersedia memberi sokongan kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dalam usaha melonjakkan industri nanas sebagai antara penggerak pertumbuhan utama industri berasaskan pertanian di negeri ini.

    Ketika memberi jaminan itu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata industri nanas di Sarawak mempunyai banyak peluang dan ruang untuk dikembangkan ke tahap lebih tinggi.

    "Kita amat berharap LPNM dapat memainkan peranan dalam memastikan sektor tanaman nanas di negeri ini dapat berkembang dengan cepat," katanya dalam ucapan perasmian Seminar Industri Nanas 2015 di sini hari ini yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

    Selain menggunakan teknologi baharu dalam penanaman dan pemprosesan nanas, Adenan juga mahu pihak LPNM memperkenalkan varieti baharu seperti MD2 yang lebih menguntungkan para pengusaha dari segi pengeluaran.

    "Kita mahukan perubahan yang meliputi keseluruhan aspek dalam rantaian industri nanas, bermula daripada aktiviti penanaman di ladang yang mengamalkan amalan pertanian yang baik, peningkatan produktiviti pengeluaran hasil, pengendalian lepas tuai sehingggalah kepada aktiviti lain," katanya.

    Adenan berkata industri kecil dan sederhana berasaskan nanas juga perlu diberi perhatian memandangkan sektor ini akan mempertingkatkan pendapatan pengusaha dengan adanya nilai tambah.

    Sementara itu, Jabu berkata untuk meluaskan kawasan tanaman nanas, meningkatkan pengeluaran hasil serta nilai eksport produk nanas, industri itu memerlukan kumpulan pengusaha dan penanam yang berdedikasi, komited serta diurus secara sistematik.

    Terdahulu ketika berucap, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek berkata industri penanaman nanas mempunyai masa depan yang sangat cerah di Sarawak.

    Sehubungan itu, beliau menggesa agar lebih ramai pengusaha di Sarawak melibatkan diri dalam industri itu bagi meluaskan lagi kawasan tanaman dan pengeluaran nanas di negeri ini.

    -- BERNAMA
  • 40 Buah Sekolah Baru Akan Dibina di Sarawak Pada Tahun Depan - Mahdzir

    By Mas Aruwardy →
    Dato Seri Mahdzir Khalid (tengah) ketika ditemuduga oleh wartawan-wartawan.

    KUCHING: Sebanyak 40 buah sekolah baharu akan dibina di Sarawak menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada tahun hadapan.

    Menteri Pendidikan Malaysia, Dato Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukkan sebanyak RM41.3 billion dari kerajaan pusat khusus untuk bidang pendidikan telah tersenarai dalam Bajet Khas 2016.

    “Perancangan dalam bidang pendidikan bertujuan bagi mengangkat bidang pendidikan agar setanding dengan kualiti pendidikan di peringkat global,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian SK 
    Matu Baru, Kuching pagi tadi.

    Tambahnya lagi, rancangan makanan tambahan (RMT) yang melibatkan 550 ribu pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam E-kasih akan dipertingkatkan.

    "RMT hanya tertakluk kepada makanan waktu rehat sahaja tetapi ia akan diperluaskan lagi dengan kos tambahan 173 juta ringgit bagi sarapan pagi dan kos keseluruhan program ini sebanyak RM423 juta,"

    Turut hadir Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen P193 Santubong Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri Datuk Haji Daud Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr. Abdul Rahman Junaidi. - Sarawakiana
  • Parlimen: Kerajaan Tidak Pernah Abai Pembangunan Di Sabah, Sarawak - Azalina

    By Yusz Man →

    KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan pembangunan di Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Katanya, dalam setiap agenda pembangunan negara, kerajaan akan memastikan pembangunan di setiap negeri adalah berdasarkan keperluan semasa.

    "Sebagai contoh, pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo yang merentasi Sabah dan Sarawak yang sedang giat dilaksanakan kini, menunjukkan bahawa pembangunan di dua negeri itu tidak pernah kerajaan abaikan," katanya melalui jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat Isnin bagi menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (DAP-Cheras).

    Tan ingin mengetahui dasar kerajaan terhadap Perjanjian Malaysia memandangkan tuntutan bagi autonomi Sabah dan Sarawak semakin meningkat.

    Dalam pada itu, Azalina berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengatakan bahawa lebih banyak kuasa pentadbiran membabitkan jabatan dan agensi persekutuan bakal diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak dalam usaha merangsang pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan.

    -- BERNAMA
  • Stacy, Akim Pilih Februari Tahun Depan Tarikh Nikah

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    Pasangan selebriti Akim Ahmad dan tunangnya, Ummu Shaikah atau lebih dkenali sebagai Stacy sepakat memilih bulan Februari tahun hadapan sebagai tarikh untuk mereka disatukan di jinjang pelamin.

    Mengenai tarikh yang dipilih, Akim menyatakan bulan cinta itu dipilih selepas mengadakan perbincangan dengan kedua-dua belah keluarga.

    “Memang kalau boleh saya mahu cepat kahwin dan segera menimang cahaya mata. Sepatutnya bulan Januari namun disebabkan banyak sangat komitmen kerja akhirnya kami rasa Februari adalah bulan yang sesuai.

    “Kami sudah memutuskan hanya ada dua majlis sahaja iaitu majlis pernikahan akan dibuat di Sabah dan majlis resepsi di kampung saya di Johor Bahru,” kata jejaka kelahiran Johor ini, memetik laporan Berita Harian.

    Walaupun begitu, Akim tidak mendedahkan tarikh sebenar mereka bakal diijabkabulkan.

    Akim dan Stacy mengikat tali pertunangan pada 26 September lalu selepas hampir enam tahun bercinta. – MYNEWSHUB.CC
  • Skim Sewa Beli Rumah Pertama Akan Dilancar Tahun Hadapan

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    Kerajaan akan melaksanakan Skim Sewa Beli mulai tahun hadapan kepada mereka yang mempunyai masalah dalam mendapatkan pinjaman daripada pihak bank.

    Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique skim ini hanya layak dipohon oleh rakyat Malaysia yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah.

    “Unit-unit rumah yang dijual setelah keputusan dibuat oleh kementerian, kementerian akan laksanakan skim untuk memberi kemudahan kepada mereka yang tidak mampu untuk membuat pinjaman dan pada mereka yang mempunyai masalah untuk mendapatlan pinjaman daripada bank.

    “Skim ini dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan dan akan membantu mereka untuk membeli rumah mampu milik yang pertama,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Isnin.

    Dalam pada itu, Halimah turut menjelaskan bahawa kerajaan setakat ini tidak bercadang untuk menjual rumah mampu milik yang disewakan.

    “Dasar kementerian memang tidak akan menjual mana-mana rumah mampu milik di kawasan bandar untuk pastikan supaya bekalan dan inventori rumah PPR di kawasan bandar akan sentiasa ada bagi memenuhi keperluan rakyat yang sebelum ini tinggal di kawasan setinggan dan berpendapatan rendah,” tambahnya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris sama ada kerajaan bercadang untuk menjual rumah PPR yang sebelum ini disewakan.

    Ini kerana, masih ramai penyewa di rumah mampu milik tersebut tidak mampu membayar sewa bulanan mengikut tempoh yang ditetapkan dan kerajaan faham akan perkara tersebut.

    “Kita letak harga yang rendah pun, masih ramai lagi yang tidak mampu membayar sewa bulanan, sebab itu kita kekalkan rumah sewa ini bagi memenuhi keperluan mereka yang berpendapatan RM2,500 ke bawah,” ujarnya.

    Penyewa perlu membayar sewa sebanyak RM124 sebulan dan duit tersebut akan disalurkan bagi tujuan penyelenggaraan bangunan berkenaan.

    Sementara rumah mampu milik pula dijual dengan harga RM35 ribu sebulan bagi semenanjung dan RM42 ribu bagi Sabah dan Sarawak. - BNBBC
  • PPM Tawau Tahan Lelaki Warga Indonesia Miliki Lebih 1,000 Gram Syabu

    By Yusz Man →
     

    TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia diberkas Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau kerana memiliki lebih 1,000 gram dadah syabu bernilai lebih RM100,000 di kawasan Batu-Batu, Sabindo di sini, pagi semalam.

    Komander PPM Wilayah Sabah ACP Mohamad Madun berkata, tiga anggota PPM yang bertugas dalam Ops Landai, terserempak suspek yang dalam keadaan mencurigakan kira-kira 7.00 pagi sebelum suspek bertindak melarikan diri.

    "Hasil siasatan awal, suspek terus mengaku membawa dadah syabu dalam beg sandangnya. Syabu berkenaan dibungkus beberapa lapis menggunakan plastik lut sinar," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat PPM Tawau, hari ini.

    Katanya, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran ke Indonesia dan Tawau dijadikan sebagai tempat transit.

    "Kita sedang menyiasat dari mana sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh," katanya menambah PPM sentiasa berhubung dan bertukar maklumat berkaitan pengedaran dadah dengan pihak berkuasa Indonesia.

    Beliau berkata, rampasan itu merupakan tangkapan terbesar PPM di Sabah dan setakat ini lebih 30 kes tangkapan berkaitan dadah direkodkan.

    -- BERNAMA
  • Komuniti Melanau Digesa Gembleng Tenaga Bersama Komuniti Lain

    By Yusz Man →

    SIBU: Komuniti Melanau digesa supaya menggembleng tenaga serta membentuk usahasama dalam pelbagai bidang bersama komuniti lain sekiranya ingin mencapai kecemerlangan berterusan.

    Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh berkata komuniti itu tidak boleh bergerak dalam kelompok mereka sahaja kerana Sarawak turut didiami kelompok pelbagai etnik.

    Mereka yang telah mengecapi kejayaan dalam bidang masing-masing pula perlu membantu orang lain dalam komuniti itu untuk turut sama berjaya, katanya pada Malam Citra Warna dan Anugerah Persatuan Melanau Sibu (PMS) di sini malam tadi.

    Pada majlis itu, 21 anak anggota PMS yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ijazah tahun 2014-2015 menerima insentif kewangan antara RM50 hingga RM250 setiap seorang.

    Len Talif, yang juga anggota Lembaga Amanah Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak, melahirkan rasa bangga melihat semua komuniti Melanau di seluruh negeri itu bersatu-padu dan bekerjasama erat.

    "Kita harus berbangga kerana walaupun Melanau adalah etnik minoriti tetapi dapat bekerjasama dalam pelbagai bidang," katanya.

    Dalam pada itu, Len Talif berkata keunikan seni dan budaya komuniti Melanau adalah tinggi nilainya selain memiliki daya tarikan tersendiri yang berpotensi diketengahkan ke peringkat dunia.

    PMS merupakan badan bukan kerajaan yang kini berusia 58 tahun dan mempunyai 1,040 anggota.

    -- BERNAMA
  • Tiada Jangka Masa Ditetapkan Untuk Siasatan 1MDB

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menetapkan sebarang tarikh untuk menyelesaikan siasatan isu berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

    Beliau berkata, pasukan petugas khas masih dalam proses melengkapkan siasatan dan proses berkenaan akan selesai setelah keterangan kesemua saksi dirakam dan dokumen berkaitan diperoleh.

    "Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen yang banyak termasuk yang berada di luar negara, maka tiada jangka masa ditetapkan untuk penyelesaian.

    "Hasil siasatan pasukan petugas khas akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Datuk Zainuddin Ismail (BN-Jelebu) dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

    Zainuddin meminta kerajaan menjelaskan status terkini pasukan penyiasat khas yang ditubuhkan Pejabat Peguam Negara bagi menyiasat kes 1MDB dan bilakah pasukan ini dijangka menyiapkan laporan mereka.

    Selain itu, beliau ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang untuk membentangkan hasil laporan itu ke Parlimen.
  • Bekas Diplomat Malaysia Mengaku Bersalah Serang Wanita

    By Yusz Man →

    WELLINGTON: Bekas diplomat Malaysia mengaku bersalah pada Isnin atas dakwaan berkelakuan tidak sopan menyerang seorang wanita New Zealand.

    Muhammmed Rizalman Ismail yang merupakan bekas kakitangan pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington mengaku bersalah apabila kes yang berlaku pada tahun lepas menimbulkan kemarahan sejak dia pulang ke Malaysia di bawah imuniti diplomatik.

    Rizalman diektradisi untuk dibicara di mahkamah New Zealand dan mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyerang dengan niat merogol.

    Tempoh perbicarannya bermula pada Isnin dan tuduhan asalnya digugurkan apabila lelaki berusia 39 tahun itu mengaku menyerang Tania Bilingsley dalam mahkamah.

    Ringkasan yang dibacakan dalam mahkamah itu menyatakan pada 9 Mei tahun lepas, Billingsley sedang berada di rumahnya di Brooklyn kawasan sub bandar Wellington di mana pejabat kedutaan Malaysia berada dan dia terdengar ketukan dari pintu biliknya.

    Rizalman kemudian masuk dengan keadaan tidak berseluar. Billingsley menjerit dan bergelut dengan Rizalman dan berjaya menghalaunya keluar dari rumah sebelum menelefon polis.

    Stevens berkata Rizalman memberitahu polis pasangan itu keluar menonton wayang bersama pada hari tersebut. Ringkasan itu tidak menyatakan sama ada Billingsley bersetuju.

    Pendakwa raya Grant Burston berkata sikap Rizalman lebih kepada dibawah pengaruh dadah.

    Rizalman diam ketika jurubahasa sedang membacakan prosiding terhadapnya.

    Atas pertuduhan serangan itu dia boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun di New Zealand.

    Hakim David Collins berkata perbicaraan mengenai aspek pertikaian kes akan dibicarakan pada Jumaat sebelum menjatuhkan hukuman. -AFP
  • Sebanyak 1,400 Rumah Pada Harga Mampu Milik Telah Dibina

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    KUCHING: Sebanyak 1,400 unit rumah mampu milik yang dijual pada harga tidak melebihi RM250,000 telah dibina di seluruh Sarawak menerusi dasar dan pendekatan baharu perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

    Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, dasar baharu tersebut membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri yang dijual pada harga mampu milik.

    “Inilah usaha kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat dalam membantu golongan yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah mereka sendiri dengan harga yang berpatutan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia ( RMR1M) di Kampung Sungai Midin, Samariang di sini semalam.

    “Kita akan terus membangunkan projek perumahan di Sarawak bagi memastikan golongan yang tidak memiliki rumah dapat memiliki rumah mereka sendiri,” tambahnya.

    Selain itu, Projek Perumahan Rakyat ( PPR) juga akan dilaksanakan menerusi pendekatan baharu bagi membolehkan pemohon mendapat pinjaman daripada bank perumahan negeri, Mutiara Mortgage and Finance di bawah Perbadanan Pembangunan Perumahan (PPP).

    Tambahnya lagi, Bank Tanah juga ditubuhkan bagi membolehkan kerajaan negeri membina rumah mampu milik dan rumah sederhana di bandar untuk rakyat berpendapatan sederhana.

    Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Lembaga Pengarah SPNB Datuk Seri Ahmad Kabit dan Pengerusi PPP Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen. - sarawakiana
  • Pemberontak Abu Sayyaf Di Sebalik Kes Culik Rakyat Malaysia Ditahan

    By Yusz Man →

    PETALING JAYA: Polis dan tentera Filipina menahan seorang pemberontak Abu Sayyaf yang terlibat dalam kes penculikan dua rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Selatan di selatan Filipina, menurut satu laporan.

    Laporan Mindanao Examiner pada Ahad memetik pegawai sebagai berkata bahawa mereka telah menahan Saddam Jaliani, seorang pengikut pemimpin Abu Sayyaf, Alhabsi Misaya di Pelabuhan Joho pada Jumaat lalu.

    Jailani dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan yang menculik dua rakyat Malaysia, Bernard Then dan Thien Nyuk Fun pada Mei lalu, dan warga Korea Selatan, Hong Nwi-Seong yang diculik pada Januari lalu.

    Thien telah dibebaskan pada 8 November lalu, dan Then dipenggal kepala pada 17 November.

    Hong ditemui mati pada 31 Oktober lalu. Dia dilaporkan meninggal dunia akibat sakit ketika masih dalam tawanan.

    Jailani ditahan oleh Pasukan Siasatan dan Pengesanan Jenayah Polis Filipina.

    Penahanan Jailani sehari selepas pasukan tentera Filipina merampas enam senapang automatik milik kumpulan Abu Sayyaf di kampung Bonbon di bandar Patikul berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada orang awam.

    Mindanao Examiner turut melaporkan penahanan dua anggota iaitu Menu Maganaka dan Rex Bacana dari kumpulan pemberontak Pentagon di bandar Kabacan di wilayah Cotabato Utara.

    Ia melaporkan bahawa pihak berkuasa merampas senapang automatik dan tiga pistol serta 11 majalah daripada kedua-dua individu berkenaan.-mStar
  • Keganasan Rumah Tangga Di Sarawak Kurang

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    KUCHING: Sarawak mencatat kes keganasan rumah tangga yang jauh lebih rendah berbanding tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Kelantan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan kes keganasan rumah tangga bagi 2012 hingga Ogos tahun ini, terdapat 3,343 kes dan Sarawak mencatat hanya 166 kes.

    “Sarawak mencatat 166 kes, jumlah ini jauh rendah berbanding Selangor (519 kes), Johor (429 kes) dan Kelantan (402 kes)” katanya sambil menambah daripada 3,343 kes, 2,528 membabitkan wanita yang kebanyakannya berusia 26 hingga 35 tahun.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program W.I Walk sempena Hari Kebangsaan Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015 di Taman Pertemuan Le’Park di sini semalam.

    Oleh itu katanya, semua pihak harus sama-sama menggembleng tenaga melindungi wanita daripada dianiaya, dikasari dan diganasi sama ada secara fizikal, mental, seksual, sosial mahupun ekonomi.

    Ia penting agar wanita dapat memainkan peranan mereka membentuk masyarakat yang bebas daripada dibelenggu trauma keganasan.

    Sementara itu katanya, daripada 2.6 juta populasi Sarawak, 1.25 juta adalah wanita yang dilihat sebagai pemangkin menjadikan negeri ini negeri maju menjelang 2030.

    Lebih signifikan katanya, penyertaan tenaga buruh wanita di negara ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

    Menurutnya pada 2012 penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia ialah 49.5 peratus dan jumlah itu terus meningkat kepada 52.4 peratus pada 2013.

    “Pada tahun ini peratus wanita dalam tenaga buruh negara ialah 54.1 peratus. Manakala peratusan wanita memegang jawatan tinggi di sektor awam ialah 33 peratus, melebihi sasaran 30 ditetapkan.

    “Sementara penyertaan wanita dalam sektor swasta setakat ini ialah 15 peratus dan diharap dapat dipertingkatkan lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kelab 30 Peratus Malaysia,” katanya.

    Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata disebabkan itu Malaysia komited memastikan hak-hak wanita dijaga, dipelihara dan dilindungi terutama daripada keganasan.

    Beliau berkata sebarang bentuk keganasan boleh menjejaskan keseluruhan prestasi dan tahap produktiviti wanita sekali gus memberi impak kepada sistem kekeluargaan, masyarakat dan negara.

    Mengenai W.I Walk yang julung kali diadakan itu, Nancy berkata ia bakal mencatat sejarah tersendiri kerana objektif utamanya ialah meningkatkan kesedaran serta mendedahkan wanita seawall usia 15 tahun mengenai risiko penganiayaan termasuk jenayah.

    “Hari ini (semalam) bakal menjadi detik bersejarah yang akan menjadi ‘permulaan’ kepada ‘jutaan langkah’ bangkitnya semangat wanita daripada pelbagai lapisan bangsa, masyarakat, agama dan kepercayaan, seawal usia 15 tahun dalam menangani keganasan terhadap wanita,” ujarnya.

    Beliau turut berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta dan bekerja sama menganjurkan inisiatif seperti itu bagi memastikan wanita dapat hidup dalam persekitaran selamat. -UB-
  • Polis Pohon Kerjasama Kesan Remaja Perempuan Hilang

    By Yusz Man →

    SRI AMAN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang sejak 18.November lepas masih gagal dikesan sehingga kini.

    Jesteru itu, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman memohon kerjasama daripada orang ramai untuk mengesan remaja tersebut yang berketurunan Iban.

    Remaja perempuan yang hilang terbabit dikenali sebagai Jennifer anak Ajang dengan kad pengenalannya bernombor 001204-13-1008 dan beralamat di Rumah Dery, Kampung Panggil, Sri Aman.

    Jeniffer dilaporkan telah keluar dari rumahnya pada jam 12.39 tengah hari pada 18 November lalu dan langsung tidak ada khabar berita darinya sehingga ke hari ini.

    Memetik dari akhbar Utusan Sarawak dalam satu kenyataan polis kepada pihak media semalam, remaja terbabit dilaporkan memakai seluar pendek serta berbaju t-Shirt ketika keluar dari rumah.

    Selain itu Jennifer menurut kenyataan polis tersebut memiliki fizikal muka berbentuk bulat, susuk berbadan gempal, rambut melepasi paras bahu serta kulit berwarna kuning langsat.

    Oleh yang demikian, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan terkini beliau dipohon agar segera menghubungi balai polis terdekat atau menghubungi Sarjan Nur Erdina Marini @ Dorothy di talian 019-8441494 dan 083- 322121.-Sarawakiana
  • KPWKM Sedia Kerjasama Dengan JPJ Semai Kesedaran Keselamatan Jalan Raya

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →


    Kuching - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyemai kesedaran keselamatan jalan raya dalam institusi kekeluargaan.

    Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ini adalah usaha untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan di jalan raya.

    Menurutnya kerjasama itu boleh dilaksanakan melalui program kekeluargaan kementerian di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan pada tahun hadapan.

    "Kita boleh selitkan amalan 'Berhati-hati Di Jalan Raya' dalam kursus anjuran kementerian bagi mengingatkan masyarakat betapa pentingnya amalan ini ketika berada di jalan raya dan tidak beremosi ketika memandu," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu menutup program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Beladin di sini semalam

    Menurut Rohani, kematian akibat kemalangan jalan raya memang mendatangkan impak dan trauma serta beban kepada keluarga yang terlibat.

    Program anjuran JPJ Sarawak itu telah berjaya menarik 510 penyertaan yang terdiri daripada penduduk daerah Beladin dan sekitarnya, untuk mendapat lesen memandu kelas B2.

    Turut hadir Pengarah Perlesenan Kenderaan JPJ, Datuk Che Ab Rahim Che Daud dan Pengarah JPJ Sarawak Ibrahim Othman.

    Rohani berkata kemalangan maut juga telah mendatangkan kerugian kepada negara daripada segi kehilangan sumber manusia.

    Angka kematian jalan raya di negara ini pada tahun ini sudah mencecah 6,674 orang daripada keseluruhan 476,196 kes kemalangan yang direkodkan.

    "Ini merunsingkan kementerian kerana banyak keluarga kehilangan orang tersayang dan ada juga hilang ketua keluarga seperti ayah, emak dan anak yang menjadi tempat bergantung," katanya.

    BERNAMA
  • Jumpa Dalang Serangan Lahad Datu, Rakyat Sabah Terasa Hati

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    Pekan : Rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, terasa hati dengan tindakan individu tertentu dari negara ini berjumpa dengan pihak yang mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu yang menceroboh Lahad Datu pada 2013.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perbuatan itu bagaikan tidak menghormati perjuangan anggota keselamatan mempertahankan negara sehingga 10 daripada mereka terkorban dalam insiden itu.

    "Rakyat Sabah tentu tersentuh hati jika ada sesiapa tidak hormati pengorbanan anggota keselamatan ini... mereka hilang nyawa dengan cara zalim.

    "Apatah lagi kalau mereka lihat ada orang yang berbaik-baik dan kelihatan mesra dengan mereka yang mempunyai kaitan menyebabkan anggota keselamatan kita terkorban," katanya ketika berucap di majlis Rela bersama Perdana Menteri di Dataran Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini semalam

    Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Pengarah Rela Datuk Kamariah Mohd Noah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail. - sarawakiana
  • Remaja Lemas Dalam Tasik

    By Yusz Man →

    KUCHING: Seorang remaja Muli anak Jayet, 13 tahun ditemui lemas dalam kolam berdekatan Jalan Lapangan Terbang di Kuching.

    Mangsa berasal dari Sungai Nibong Samarahan, dipercayai lemas dalam tasik selama dua jam.

    Pegawai Bomba Ketua Zon Kuching, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya, hanya menerima panggilan telefon pada pukul 2.13 petang.

    Operasi mencari diketuai PBK II Chaplain Wan menggunakan RRV dan tiga anggota telah melakukan penyelaman (free dive) setibanya di tempat kejadian. Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersangkut di bawah kayu di dasar tasik dalam anggaran 5 hingga 8 kaki.

    Mangsa dilaporkan mandi bersama-sama rakan dan di percayai lemas setelah tersangkut di bawah kayu dalam tasik tersebut.-UtusanSarawak
  • Tiga Remaja Alami Kecederaan Serius Diserang Sekumpulan Lelaki

    By Yusz Man →
    gambar hiasan

    KUCHING: Sekumpulan lelaki menyerang tiga remaja lelaki yang lain sehingga mengakibatkan kecederaan serius di sebuah pusat hiburan Travillion disini pada jam lebih kurang 4 pagi semalam.

    Difahamkan ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Baru Samarahan yang bersama dengan dua lagi remaja perempuan berada di lokasi kejadian sebelum diserang oleh sekumpulan lelaki menggunakan senjata tajam.

    Panik dengan kejadian yang berlaku tersebut, kedua-dua remaja perempuan yang panik bergegas melarikan diri menuju ke Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Padungan untuk mendapatkan bantuan namun kesemua lelaki yang menyerang mangsa telah berjaya melarikan diri.

    Punca mereka diserang masih dalam siasatan polis.-Sarawakiana
  • Sekolah, Rumah Panjang Terjejas Banjir Di Selangau

    By uMieySurianie →

    SIBU: Dua sekolah rendah dan empat rumah panjang di daerah Selangau, dekat ini, terjejas akibat banjir hari ini selepas hujan lebat sejak semalam.

    Air yang naik sehingga satu meter menyebabkan 20 keluarga termasuk sembilan kanak-kanak dan seorang bayi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Selangau dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tong Ah, Selangau.

    Menurut sumber Pejabat Pendidikan Daerah Selangau, banjir dengan ketinggian satu meter turut melanda SK Sungai Kua, namun tiada pemindahan mangsa dilakukan.

    Rumah Banyan, Rumah Linggo dan Rumah Judan dilaporkan terputus hubungan apabila jalan raya ke rumah panjang berkenaan ditenggelami air, namun tiada pemindahan dilakukan kerana keadaan masih selamat.

    Turut terjejas Rumah Jawa, Rantau Urau apabila kawasan rumah panjang mereka mula dinaiki air hari ini.

    Pegawai Pertahanan Awam Sibu Kapten (PA) Frankie John berkata, pihaknya bersama anggota 9 Briged Infantri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah terus memantau keadaan banjir agar dapat memindahkan penduduk yang terbabit sekiranya air sungai terus naik. - Bernama
  • Yus Jambu Meninggal Dunia

    By uMieySurianie →

    KUALA LUMPUR : Pelakon dan pelawak, Yus Jambu, 39 atau nama sebenar, Yussry Edoo meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Selayang, awal pagi tadi.

    Sahabat rapat kepada pelawak itu, Sherry Al Hadad, berkata Yus atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Yus rebah ketika mengadakan persembahan dan terus dikejarkan ke hospital.

    "Saya dimaklumkan oleh Abang Afdlin mengenai perkara itu. Dia meminta supaya kami mendoakan kesihatan Pak Yus.

    "Tidak lama selepas itu, kami diberitahu Pak Yus sudah tiada lagi. Buat masa ini, hanya itu saja yang dapat yang dapat saya kongsikan.

    "Saya dalam perjalanan ke Hospital Selayang untuk menziarahi jenazah arwah," katanya kepada BH Online.

    Beberapa rakan artis turut memuat naik status dan gambar di media sosial bagi memaklumkan mengenai berita kematian pelawak itu. - BH

  • Uggah Ketuai Misi Ke Mesyuarat ITRC Di Jakarta

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA → Sunday, 29 November 2015

    KUALA LUMPUR - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Douglas Uggah Embas, akan mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) di Jakarta, Indonesia pada 3 Disember ini.

    Beliau akan turut menghadiri mesyuarat menteri-menteri ITRC bersama para menteri yang bertanggungjawab bagi industri getah dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV).

    Menurut kenyataan kementerian hari ini, kesemua mesyuarat itu didahului Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan pada 30 Nov sehingga 2 Dis, 2015.

    Thailand, Indonesia dan Malaysia adalah negara ahli ITRC yang diwujudkan pada 12 Dis, 2001.

    ITRC bermatlamat menggalakkan kerjasama dalam kalangan negara pengeluar utama getah asli (NR) selain memastikan kestabilan harga komoditi berkenaan.

    Negara-negara anggota ITRC itu menyumbang 67.5 peratus daripada jumlah pengeluaran NR dunia.

    Menurut kenyataan itu, mesyuarat Peringkat Menteri ITRC di Jakarta kali ini akan menumpukan perkara termasuk memperkukuh kerjasama negara-negara ahli dalam pelaksanaan Skim Pengurusan Bekalan bagi mengimbangi penawaran dan permintaan NR bagi jangka panjang.

    Ia akan turut membincangkan kemajuan penubuhan Pasaran Getah Serantau, kerjasama meningkatkan penggunaan NR domestik dan pertukaran maklumat mengenai pembangunan produk-produk baharu serta langkah mengukuhkan harga getah.

    Para menteri ITRC juga akan mengadakan perbincangan dengan menteri bagi industri getah negara-negara CLMV.

    "Ia bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara-negara pengeluar NR di rantau ini," kata kenyataan itu.

    ITRC dan negara-negara CLMV secara kolektifnya menyumbang 78 peratus daripada jumlah pengeluaran NR dunia.

    -- BERNAMA
  • Program "Ikan Rakyat" kurangkan Kos Sara Hidup

    By Admin →
    KOTA SAMARAHAN : Program Ikan Rakyat diperkenalkan oleh LKIM sebagai inisiatif menyahut seruan kerajaan bagi mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup rakyat.

    Sepertimana komoditi makanan lain, ikan mengalami kenaikan yang ketara khususnya spesis yang menjadi tumpuan pengguna. Program ikan rakyat LKIM didefinasikan sebagai ikan segar sejuk beku yang merangkumi spesis ikan kembung, selar, cencaru, selayang, pelaling, kerisi, keli dan talapia.

    Ketidakstabilan harga ikan sukar dibendung berpunca daripada kenaikan kos input pengeluaran. Faktor luar kawalan dari segi pengeluaran dan bekalan yang dipengaruhi oleh sumber dan musim. Permintaan dan penawaran khususnya bagi ikan tempatan dan manipulasi harga oleh intermediari seperti pemborong, peruncit dan sebagainya.

    Objektif program adalah untuk membantu dan menstabilkan harga ikan supaya dapat pengurangkan impak kos sara hidup pengguna serta ikan tidak putus dengan mengadakan stok simpanan bekalan ikan rakyat oleh pembekal. Selain itu, ia meningkatkan bilangan penglibatan usahawan pemasar bagi mewujudkan luang-luang pasaran yang berpotensi.

    Pelaksanaan program memastikan bekalan ikan rakyat akan diperolehi secara konsisten melalui penyediaan stok simpanan secara sejukbeku dalam jumlah yang banyak oleh pembekal serta diperolehi dari sumber import dan pendaratan ikan tempatan secara pukal.

    Program ikan rakyat melibatkan Persatuan Nelayan dan syarikat swasta yang terpilih seperti Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (NEKAD), Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA), Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Persatuan Nelayan Kawasan Rompin dan Syarikat Long Harvest Fish Market Sdn Bhd adalah bagi tujuan mengawal harga dan memastikan kualiti ikan mencapai standard yang ditetapkan dengan harga mengikut kadar yang ditetapkan oleh LKIM.

    LKIM turut mengadakan sesi penerangan berkenaan program ikan rakyat di Sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015 di Kota Samarahan. - Sarawakiana
  • Anggota RELA Sebagai Mata, Telinga Dan Tangan Kerajaan

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu lebih tiga juta anggota RELA di seluruh negara menjadi benteng kepada kestabilan keselamatan dan politik negara.

    Perdana Menteri berkata, ini kerana asas keselamatan dan jaminan rakyat dapat hidup dengan aman disebabkan wujudnya kestabilan politik yang kukuh.

    “Rakyat perlu kena sensitif dalam soalan keselamatan supaya kerajaan dapat menangani apa juga ancaman daripada dalam dan luar negara seperti pemerdagangan manusia, pelarian, kumpulan militan dapat ditangani dengan berkesan.

    “Jadikan, kita mahu anggota RELA terus mainkan peranan sebagai mata, telinga dan tangan kerajaan sebagai benteng pertahanan kedua negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian berucap pada Majlis RELA Bersama Perdana Menteri, di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini, sebentar tadi.

    Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan Pakaian Operasi Digital (POD) dan cek insurans kelompok RELA.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Pengarah RELA, Datuk Kamariah Mohd Noah.

    – BH
  • PR1MA Dapat Sambutan Luar Biasa

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh rakyat terhadap projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mampu milik yang dilaksanakan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia di seluruh negara.

    Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, projek perumahan mampu milik di bawah PR1MA di Alam Damai, Cheras yang berjumlah 2,000 unit telah menerima permohonan lebih lima kali ganda.

    Selain itu, beliau memberitahu, permohonan bagi 543 unit rumah mampu milik yang dibina PR1MA di Jalan Jubilee, Bukit Bintang mencatatkan jumlah lebih 25 kali ganda.

    “Alhamdulillah, kita dapat melihat bagaimana rumah-rumah yang dibina ini mendapat sambutan yang luar biasa,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Rumah PR1MA 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

    Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

    Projek PR1MA di Alam Damai menerima sebanyak 10,418 permohonan, manakala projek di Jalan Jubilee mencatatkan 14,960 permohonan.

    Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan surat tawaran rumah PR1MA di Kuala Ketil, Kedah dan Alam Damai kepada 10 penerima serta mencabut undi untuk projek perumahan PR1MA Jalan Jubilee.

    Najib turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Pusat Anak Permata Negara (Permata) dan PR1MA berhubung penubuhan Pusat Jagaan Kanak-kanak Permata PR1MA serta Permata Perkasa @ Pusat Komuniti Remaja.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, usaha menjayakan hasrat kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam masa lima tahun memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri, syarikat milik kerajaan (GLC), sektor swasta dan individu.

    Perdana Menteri turut memuji dasar kerajaan negeri Sarawak yang membantu mengurangkan kos pembinaan rumah PR1MA di negeri itu serta inisiatif kerajaan negeri Melaka, Kedah dan Negeri Sembilan yang menyediakan pusat sehenti bagi projek PR1MA.

    “Begitu juga dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah bekerjasama dengan PR1MA untuk membangunkan sebidang tanah seluas 3.2 hektar di Kajang di mana 1,200 unit kediaman akan dijual kepada kakitangan TNB dan masyarakat setempat,” jelasnya.

    Beliau menambah, setakat 30 September lalu, pelaksanaan projek perumahan mampu milik PR1MA berjaya mencapai tahap 16 peratus.

    Najib juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan perumahan mampu milik walaupun negara sedang berdepan situasi ekonomi global yang tidak menentu tahun ini.

    “Semuanya memberi kesan kepada ekonomi kita namun kita bersyukur kerana projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat masih mampu dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya.

    Menurut beliau, projek PR1MA bukan sahaja menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat malah memberi peluang kepada rakyat menjana kekayaan dengan aset yang dimiliki.

    “Kalau aset itu dalam bentuk rumah dan nilai pasarannya lebih tinggi daripada apa yang kita beli, maka kita boleh mendapatkan keuntungan yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN
  • Sultan Johor Haram Vape, Arah Tutup Premis

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    JOHOR BAHRU – Sultan Johor mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri itu dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi.

    “Saya mahu premis vape ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan.

    “Ia ada kaitan dengan isu kesihatan dan kesannya kepada golongan muda, bukan melibatkan perniagaan atau perkauman.

    “Saya benar-benar kecewa apabila ada pihak menimbulkan isu ancaman perkauman dan politik melibatkan vape,” titah baginda menerusi temubual khas baru-baru ini.

    Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskkandar bertitah, negeri mempunyai hak untuk menguatkuasa undang-undang mengikut peruntukan kerajaan tempatan bagi menutup perniagaan pengusaha vape.

    Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang minggu depan untuk merangka perancangan bagi memudahkan proses itu.

    Titah baginda lagi, ahli politik seharusnya berhenti memenuhi kehendak ahli perniagaan yang terlibat dalam industri vape ini.

    “Kenapa ada ahli politik yang mengalah terhadap ancaman ini? Saya mahu tahu jika ahli perniagaan ini membenarkan anak-anak mereka menggunakan vape jika ia benar-benar selamat dan tidak mengganggu kesihatan seperti didakwa.

    “Apakah kamu mahu melihat anak-anak terus menggunakannya.

    “Ia perniagaan baharu tetapi apa pula bentuk perniagaan yang mereka lakukan sebelum ini? Berpatah balik kepada pekerjaan anda sebelum ini,” katanya.

    Awal bulan ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Industri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan penjualan vape yang perisanya mengandungi nikotin boleh membunuh industri yang dikuasai peniaga Melayu.

    Menteri berkenaan juga memberi maklumbalas susulan laporan polis yang dibuat sekumpulan peniaga Bumiputera mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap industri vape yang boleh mengakibatkan sokongan terhadap Barisan Nasional menurun pada pilihan raya umum akan datang.

    Sultan Johor bertitah, kesan jangka panjang kesihatan kerana penggunaan vape akan membuatkan pembayar cukai perlu menanggung kos rawatannya.

    Beliau bertitah lagi, pengharaman vape di Johor meliputi penjualan produk berkaitan peranti itu.

    “Adalah jelas mengikut undang-undang, premis vape tidak boleh menjual nikotin, jadi kenapa perlu menutup sebelah mata dan mengetepikan undang-undang?

    “Jika kita biarkan ia berlaku, akan ada golongan muda yang ketagih untuk menggunakannya,” titah baginda.

    Sultan Johor juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang pada 1 Januari depan akan dikenakan tindakan. – mStar Online
  • Mata Terbelah Dua Kerana Dron

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    London: Seorang budak lelaki berusia 18 bulan hilang penglihatan sebelah matanya selepas rakan ayahnya gagal mengawal doron yang dikendalikannya.

    Bebola mata Oscar Webb terbelah dua akibat terkena bilah kipas dron milik Simon Evans.

    “Saya bermain dron itu selama seminit, tetapi ketika mahu mendaratkannya alat itu terlanggar pokok dan mula berputar.

    “Tiba-tiba saya terdengar kawan saya menjerit. Saya terkejut melihat begitu banyak darah dan anaknya terbaring menangis di atas rumput,” kata Evans.

    Ibu Oscar, Amy Roberts berkata, dia melihat mata anaknya ketika dalam ambulans untuk ke hospital.

    “Saya tidak akan melupakan apa yang dilihat. Bahagian bawah matanya terkopak dan mengerikan,” katanya.

    Oscar memerlukan pembedahan lanjut sebelum boleh menggunakan mata palsu.

    Keluarganya memaafkan Evans kerana memahami ia hanya kemalangan, namun lelaki itu sendiri sudah tidak sanggup memandang dron berkenaan.

    Pakar perunding pembedahan okuloplastik dan orbital Faye Mellington, berkata, mata kanak-kanak itu rosak teruk dan kemungkinan untuk pulih amat tipis. - Agensi
  • 50 Cent Simpan Duit Dalam Peti Ais

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    Penyanyi rap 50 Cent mendedahkan dia menyimpan sejumlah wang tunai di dalam peti ais di rumahnya menerusi sekeping gambar yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini.

    Majalah People melaporkan 50 Cent melakukan perkara itu sebagai jenaka mengenai status kewangannya selepas mengesahkan dirinya muflis beberapa bulan lalu.

    Sebelum ini 50 Cent pernah memuat naik gambar dia berbaring di atas sejumlah wang sehingga mendapat perhatian daripada peminatnya.

    Penyanyi itu dianggarkan mempunyai nilai kekayaan USD150 juta (RM600 juta) namun dilaporkan sedang menanggung hutang sebanyak USD28 juta (RM105 juta).
  • Lori Tanah Guna Nombor Plat Sarawak Di KL

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    KUALA LUMPUR - Sebuah lori tanah dikesan menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan Sarawak bagi mengelakkan cukai semenanjung, ketika ops bersih siri 40 dijalankan secara bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Jurucakap DBKL, berkata, lori itu ditahan ketika operasi di Jalan Dutamas pada Khamis.

    “Tiada sebarang permit dikeluarkan bagi aktiviti mengangkut bahan oleh lori ini.

    "Menjadi kesalahan kerana cukai jalan didaftarkan untuk kegunaan di Sarawak namun berada di Semenanjung ,” katanya kepada Sinar Harian.

    Ops bersih berkenaan turut dijalankan di dua lokasi lain iaitu Jalan Segambut dan Jalan Kuching.

    Katanya, sejumlah 53 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutamanya ketiadaan permit perjalanan sah.

    “DBKL mengeluarkan 15 notis kompaun, jabatan pengangkutan jalan (JPJ) 25 notis, dan polis trafik 15 notis.

    “Dua lori simen juga disita dan seorang warga asing ditahan kerana memandu tanpa lesen dan tiada permit perjalanan yang sah,” katanya.

    Operasi selama lebih empat jam itu melibatkan 33 anggota penguat kuasa daripada semua agensi terlibat. - SH
  • Gagal Jadi Pilot Sebab Pendek, Dia Buat Pesawat Sendiri

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    ADDIS ABABA – Asmelash Zeferu pernah berasa amat kecewa apabila ditolak menyertai latihan juruterbang semata-mata hanya kerana tubuh badannya kurang satu sentimeter daripada syarat ketinggian yang ditetapkan.

    Namun, warga Habsyah berusia 35 tahun itu tidak membiarkan masalah kekurangan tersebut terus melunturkan cita-cita tingginya mengemudi sebuah pesawat terbang di angkasa raya, lapor akhbar Britain, The Daily Mail.

    Hujung minggu ini, beliau merancang untuk mengemudi pesawat ringan K-570 buatannya sendiri berhampiran ibu kota Ethiopia itu, Addis Ababa, dan berkahwin dengan tunangnya, Seble Bekele sebaik sahaja mendarat.

    Lebih menakjubkan, beliau tidak pernah mengemudi pesawat sebelum ini, tetapi berharap, percubaannya kali ini berjaya membuahkan hasil, berbanding lima bulan lalu apabila bahagian kipas pesawatnya tiba-tiba pecah pula.

    Asalnya bermula 15 tahun lalu, Zeferu cuba menyertai cawangan Dire Dawa di Akademi Penerbangan Ethiopian Airlines tetapi ditolak kerana ketinggian 1 meter 70 sentimemer, hanya 1 sentimeter pendek daripada syaratnya.

    Namun, Zeferu tidak berputus asa. “Saya memutuskan untuk bina pesawat sendiri jika saya tidak boleh menjadi juruterbang. Jadi saya mampu terbang tinggi di angkasa,” katanya ketika ditemui stesen antarabangsa CNN.

    Uniknya, beliau memberitahu hanya mempelajari sendiri setiap aspek penghasilan sebuah pesawat bersaiz kecil menerusi pelbagai manual dan beberapa video panduan pembuatan yang disiarkan melalui laman YouTube.

    Zeferu memilih untuk membina pesawat era lama sebelum Perang Dunia Pertama seperti kapal terbang ringan yang pernah digunakan kebanyakan juruterbang pelatih di Amerika Syarikat pada 1920-an dan 1930-an.

    Beberapa bahagian pesawat buatannya itu malah diambil langsung daripada model berkenaan, dan komponen bakinya adalah bahagian terpakai yang sebenarnya boleh dibeli dengan mudah di pasar Merkato di Addis Ababa.

    Sayap pesawat sepanjang 8.5 meter dibuat daripada sejenis kayu khas yang diimport dari Australia. Malangnya model pesawat yang ingin dibuatnya itu memerlukan enjin Ford, yang harganya terlalu mahal di pasaran.

    Justeru beliau terpaksa menggunakan enjin daripada jenis kereta Volkswagen model Beetle dan menurut The Daily Mail, lima bulan lalu, Zeferu pernah cuba mengemudi pesawat buatannya itu, tetapi eksperimen gagal.

    Ia tidak berjaya terbang akibat bahagian kipas yang pecah, namun beliau tetap tidak berputus asa dan membina semula sebuah pesawat baharu dengan melakukan pelbagai penambahbaikan serta kali ini lebih menyeluruh.

    “Impian saya ialah untuk menjadi jurutera bidang aeroangkasa dengan pihak NASA di Amerika Syarikat kelak. Dan saya pasti akan mencapai impian saya ini,” tegas Zeferu lagi. – Agensi
  • Terkejut RM342,044 Dalam Akaun Bank

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    RIYADH – Seorang lelaki di Arab Saudi terkejut selepas mendapati wang sebanyak 303,000 riyal Saudi (kira-kira RM342, 044) dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya.

    Enggan menggunakan wang berkenaan, lelaki tersebut kemudiannya menelefon pihak bank untuk mengetahui individu yang memasukkan wang berkenaan ke dalam akaunnya.

    Namun anehnya menurut lelaki itu, dia kemudian diberitahu oleh pihak bank tersebut bahawa tiada sebarang kesilapan terhadap transaksi berkenaan.

    Walau bagaimanapun, dia yang masih tidak berpuas hati bertemu dengan pengurus bank tersebut yang terletak di pelabuhan timur Damman untuk mengenal pasti individu yang memasukkan wang berkenaan.

    “Selepas diteliti, pihak bank mendapati, kakitangan bank berkenaan telah melakukan kesilapan mendepositkan wang tersebut ke akaunnya yang sepatutnya dimasukkan ke pemilik akaun yang lain,” katanya. – Agensi
  • India Muncul Antara 10 Pasaran Utama Bagi Pelancongan Di Malaysia

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    KUALA LUMPUR – India muncul antara salah satu daripada 10 pasaran utama bagi sektor pelancongan di Malaysia, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Beliau berkata sejumlah 770,108 pelancong dari India direkodkan pada tahun lepas, peningkatan ketara sebanyak 18.3 peratus daripada 2013.

    “Negara kita menjadi pilihan mereka untuk berlibur dan membeli-belah, mesyuarat korporat, lawatan insentif, membuat filem dan (majlis) perkahwinan,” katanya pada Sambutan dan Malam Anugerah Ekstravaganza bersempena Malayalee Sejagat 2015 (TGM 2015) di sini Sabtu malam.

    Turut hadir Presiden Persatuan Kebangsaan Malayalee Malaysia (AMMA), Datuk Suseela Menon.

    Mohamed Nazri berkata Malaysia juga telah melancarkan kempen Malaysia Year of Festivals (MyFest 2015) di Mumbai dan Chennai yang diadakan bersempena misi promosi jualan kementerian di India awal tahun ini yang meliputi lima bandar raya iaitu New Delhi, Kolkata, Mumbai, Chennai dan Hyderabad.

    “India dikenali sebagai sebuah komponen utama di dalam perniagaan dan pelancongan tempatan, Malaysia telah menyokong dan menyaksikan pelbagai konsert, acara dan anugerah India beberapa tahun lepas, yang paling terkini ialah Anugerah Akademi Filem India Antarabangsa (IIFA),” kata beliau.

    Mohamed Nazri berkata, menjadi tuan rumah kepada TGM benar-benar mempamerkan daya saing dan kepakaran negara untuk menjadi tuan rumah kepada acara utama global di rantau ini.

    TGM 2015, yang dihoskan oleh AMMA sempena MyFest 2015 bertujuan untuk menyatukan masyarakat Malayalee dari seluruh dunia untuk meraikan pencapaian mereka di samping menonjolkan kekayaan warisan kebudayaan, tradisi dan bahasa Malayalee.

    Mohamed Nazri berkata acara sulung ini yang berlangsung selama tiga hari meliputi satu simposium, Majlis Makan Malam Anugerah Gala dan sajian juadah tradisional Malayalee Kerala Sadhya merupakan contoh kepada lain-lain masyarakat untuk menganjurkan acara yang sama.

    “Dengan hampir 400,000 masyarakat Malayalee di dalam negari ini, AMMA bersama rakannya dari seluruh negara telah melaksanakan pelbagai aktiviti bukan hanya untuk masyarakat Malayalee tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

    Semasa acara itu, 24 tokoh utama Malayalee menerima anugerah di atas pencapaian cemerlang mereka di dalam bidang masing-masing seperti sains, teknologi dan kesenian.

    Antara penerima anugerah itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Prakash Chandran, Ketua Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes serta komposer dan penyanyi, Reshmonu. – BERNAMA
  • Doktor Mengeluarkan 11,950 Batu Karang

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    Kolkata – Seorang doktor terkejut apabila mengeluarkan 11,950 batu karang daripada seorang wanita yang dipercayai mencipta rekod dunia baru.

    Minati Mondal, 51, mengalami sakit perut dan refluks asid selama dua bulan.

    Dua minggu lalu, dia dimasukkan ke Hospital Debdoot Sevayan di Kolkata dan hasil pemeriksaan serta ultrabunyi menunjukkan dia menghidap batu karang yang teruk di dalam hempedunya.

    Bagaimanapun, mereka tidak menyangka jumlahnya begitu banyak.

    Pakar pembedahan gastro usus Dr Makhan Lala Saha berkata, dia memang mengagak jumlah batu karang yang banyak, tetapi terkejut besar selepas kiraannya menjangkaui 5,000.

    Dia membuang hampir 12,000 batu dalam pembedahan selama sejam.

    “Saya begitu terkejut kerana jumlah batu karang terlalu banyak. Saya tidak pernah menyangka hempedu mampu mengandungi jumlah batu sebanyak ini.

    “Pembantu saya mengambil masa empat jam untuk mengira jumlah batu yang semuanya berukuran antara 2 hingga lima milimeter. Kami mengambil masa 50 minit untuk membuang semuanya,” katanya.

    Menurutnya, dia sudah menulis kepada Royal College of Pathologists di London untuk menyimpan spesimen batu berkenaan di muziumnya.

    Ia juga dianggap jumlah batu karang paling banyak dikeluarkan di dunia. – Agensi
  • Polis Sangka Butik Pengganas

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    SHENZEN — Sebuah butik di Shenzen, wilayah Guangdong, memberi nama kedainya dengan perkataan ISIS menyebabkan ia menarik perhatian ramai penduduk tempatan dan lebih pastinya pihak polis China sendiri.

    Pemerintah China baru-baru ini berikrar membawa pengganas ISIS atau Islamic State of Iraq and Syria ke muka pengadilan setelah organisasi pengganas itu membunuh seorang warganya di Syria dan tiga rakyatnya lagi di Mali.

    Susulan insiden ngeri tersebut, pihak berkuasa China mula memperketatkan kawalan keselamatan dan mencurigai apa sahaja isu yang berbaur ISIS, termasuk premis busana di bandar raya Shenzen yang memberi nama ISIS.

    Namun, ketika melakukan pemeriksaan di butik berkenaan, polis antipengganas tidak menemui sebarang perkara yang boleh mengaitkan pemilik kedai tersebut dengan ISIS malah kesemua pakaian di situ sah ‘Buatan China’.

    Bos premis “ISIS”, Chen Hing memberitahu pihak penyiasat polis tempatan bahawa perkataan “ISIS” itu berasal daripada istilah bahasa Mandarin sendiri, iaitu berbunyi “yisi-yisi” yang boleh membawa pelbagai maksud.

    Lazimnya sebutan “yisi-yisi” boleh digunakan untuk menggambarkan suasana gembira, menarik, berkepentingan, konsep, pembayang, petunjuk atau keriangan bersesuaian mengikut konteks penggunaan sesuatu ayat berkenaan.

    Akhbar milik pemerintah China, The People’s Daily melaporkan, Chen, 35 tahun; menjenamakan butik itu yang terletak di 105, Long Chang Street sebagai ISIS sejak tiga tahun lalu setelah diluluskan majlis tempatan sendiri.

    Ekoran mencetuskan kontroversi panas, akhirnya Chen segera mengubah papan tanda nama butik tersebut, malah secara jenaka beliau berkata kemungkinan butiknya yang bernama “ISIS” itu tidak bagus untuk operasi bisnesnya.

    Isis asalnya rujuk nama dewi terkenal zaman Mesir kuno tetapi dipopularkan militan Asia Barat itu selain IS atau ISIL; sekali gus menyebabkan banyak pihak di seluruh dunia kebetulan memang nama ISIS dianggap pengganas. - Agensi
  • Kraftangan Berasaskan Rotan Mampu Jana Pendapatan Lumayan

    By DAYANG NUR ZHAHRULNIZA →

    Rotan dan buluh sememangnya berpontensi untuk menghasilkan kraftangan yang unik seperti perabot, bakul dan pelbagai barangan dekorasi dengan menggunakan teknik anyaman.

    Hasil kraftangan berasaskan rotan mampu menjana pendapatan lumayan dan mendapat permintaan yang tinggi dari pelancong luar Sarawak.

    Seorang pengusaha kraftangan, Puan Fatimah, 53, telah menceburi bidang kraftangan berasaskan rotan ini selama lebih 6 tahun.

    "Pada mulanya suami saya telah mengikuti kursus kraftangan dan saya telah belajar mengayam daripada suami," katanya kepada Sarawakiana semasa mengadakan pameran di Hari Peladang Penternak dan Nelayan (HPPNK) Kota Samarahan.


    "Semenjak itu saya mula bergiat aktif dan membuka perniagaan di Balai Ringin. Saya juga berniaga secara bergerak ke setiap kawasan di Sarawak,"ujarnya.

    Fatimah turut menjelaskan beliau mampu menyiapkan 2 anyaman bakul dalam 1 hari.

    "Perniagaan saya telah dibantu oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai penyalur utama modal kewangan saya,"katanya.

    "Bahan mentah seperti rotan kadangkala saya membeli dari pembekal dari Kuala Lumpur,"tambahnya

    Fatimah berkata, secara purata dalam masa seminggu beliau mampu menjana pendapatan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 hasil perniagaan secara bergerak ke seluruh Sarawak.

    "Saya juga bersyukur kerana kerajaan menyediakan peluang yang banyak untuk kami sebagai pengusaha kraftangan,"katanya.

    "Saya menyimpan hasrat agar perniagaan sebegini akan lebih maju dan akan terus mewarisinya.

    Di akhir temubual bersama krew Sarawakiana di tapak Zon Agro Bazar HPPNK Samarahan, Fatimah turut berterima kasih kepada kerajaan dan agensi kerajaan kerana membimbing beliau sehingga beliau mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga. - Sarawakiana
  • Sukarelawan Polis Bantu Banteras Jenayah Setempat

    By Yusz Man → Saturday, 28 November 2015

    KUCHING:  Seramai 184 orang anggota dari enam daerah Zon Selatan yang meliputi Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching, IPD Kota Samarahan, IPD Padawan, IPD Bau, IPD Lundu dan IPD Serian telah menamatkan Latihan Asas Konstabel Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) di Padang Kawad, IPD Kuching disini hari ini.

    Kewujudan pasukan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) amnya telah  dilihat banyak membantu pihak berkuasa dalam membanteras jenayah.

    Oleh yang demikian dengan adanya pasukan SSP ini akan memudahkan pihak Polis Diraja malaysia(PDRM) melaksanakan tugas jenayah persekitaran juga.

    Dalam pada itu, juga masih terdapat ruang untuk mempertingkatkan fungsi dan peranannya agar menjadi lebih efektif melalui penglibatan setiap anggota sukarelawan yang fokus dan peka dengan situasi jenayah setempat.

    Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Sukarelawan Polis(SSP) disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner Polis(SAC) Gan Tian Kee.-Sarawakiana