Sejumlah 8,700 daripada 10,000 pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang diserap sebagai lantikan tetap adalah petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam akan dilantik secara tetap berkuat kuasa 1 Julai 2016.

"Ini merupakan berita yang ditunggu-tunggu oleh pekerja Kemas. Sebenarnya pihak kerajaan memberi perhatian kepada warga Kemas," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia kali ke-8 di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan kepada pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang berkhidmat lebih 15 tahun yang
telah berhenti.

"Pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang telah berhenti sebelum ini tidak menerima sebarang elaun. Dia berhenti sebagai pekerja kontrak namun kerajaan memberi mereka elaun sara hidup RM300 sebulan," katanya.

Ketika membentangkan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam akan dilantik secara tetap. - Bernama

Pembangkang tidak konsisten dan sering kali berubah-ubah dalam pendirian mereka termasuk dalam soal pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh berkata, hal itu dapat dilihat apabila pihak pembangkang yang sebelum ini menentang keras sistem percukaian baharu itu, kini, seperti mengiktiraf pelaksanaannya dan mahu GST dikurangkan. 

"Ertinya sekarang mereka sudah berubah," katanya ketika berucap merasmikan Program Langkah Bersama Sehati Sejiwa anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini, hari ini.

Salleh berkata, GST yang sudah dipraktikkan oleh banyak negara itu mampu memberi kesan positif kepada ekonomi selain dapat menentukan agar negara tidak terjerumus ke dalam kebankrapan. 

"Sebab itu kenapa pembangkang sudah tidak berani mengatakan GST harus dihapuskan," katanya. 

Pada pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara sinis berterima kasih kepada pihak pembangkang kerana seperti sudah memahami keperluan GST kepada negara apabila memasukkan perkara itu dalam Belanjawan Alternatif mereka. -- BERNAMA

COPENHAGEN – Sebuah syarikat terkenal Denmark mencipta rekod tersendiri apabila mendedahkan ia sudah lama aktif dalam kegiatan eksport komoditi yang langsung tidak difikirkan oleh firma-firma lain di dunia.

Syarikat dikenali sebagai Cryos International ditubuhkan pada 1987 lalu oleh graduan pengajian perniagaan universiti Aarhus, Ole Schou kini boleh berbangga apabila diiktraf menjadi bank sperma terbesar di dunia.

Perusahaan bank air mani tersebut mengeksport sperma yang disimpan dalam botol kecil khas kepada lebih 80 buah negara dan dikatakan sudah berjaya ‘menghasilkan’ kira-kira 27,000 orang bayi di seantero muka bumi ini.

“Kami mengeksport 96 peratus daripada hasil keluaran kami. Cryos sudah menjadi seperti sebuah jenama popular. Bilangan dan kualiti produk kami sangat penting,” jelas Schou yang juga ketua pegawai eksekutif syarikat itu.

Beliau menjelaskan, ketika ini firmanya memiliki 1,000 orang penderma sperma yang dibayar dengan pelbagai kadar tertentu daripada serendah AS$15 (RM64) sehingga AS$76 (RM324) untuk setiap botol air mani mereka.

Namun, sperma daripada penderma wajib lulus ujian tertentu dan diluluskan sebelum ia kemudian dijual dengan harga daripada semurah AS$45 (RM192) sehingga yang paling mahal pernah cecah nilai AS$1,137 (RM4,848).

Siapakah sebenarnya pasaran terbesar eksport sperma ini? Schou menjelaskan, permintaan tertinggi daripada wanita bujang terlajak usia iaitu melibatkan kira-kira 50 peratus pelanggan syarikat itu hampir tiga dekad lalu.

Beliau menyatakan, pihak Cryos menyasarkan segmen pasaran kelompok pengguna wanita tunggal dapat meningkat sehingga 70 peratus daripada keseluruhan permintaan dalam tempoh waktu lima tahun akan datang.

Bagaimanapun Schou tidak menafikan usaha ‘murni’ Cryos masih mengalami beberapa masalah antaranya untuk mendapatkan penderma air mani terbaik dengan latar belakang profesional bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Ini masih menjadi halangan utama kepada kami,” kata beliau kerana secara dasarnya menjadi penderma sperma bukanlah hal yang mudah, malah pekerjaan itu sukar berbanding sekadar melancap untuk memancutkan air mani.

Petugas Cryos sedang meneliti sperma yang didermakan sebelum dijual.
Bakal seorang penderma yang berpotensi perlu mengunjungi klinik dua kali dalam seminggu selama beberapa bulan. Dia juga tidak boleh merokok, mengambil ubat kimia bahkan dilarang bercinta sepanjang proses tersebut.

Ini untuk memastikan bayi yang bakal dilahirkan pelanggan mereka itu tidak mengalami sebarang masalah dan bebas daripada apa-apa penyakit berbahaya atau ‘mewarisi’ tingkah laku buruk hasil baka daripada perdermanya.

Justeru, setiap tahun syarikat itu berupaya menjual kira-kira 2,000 botol sperma untuk wanita ‘mengidam’ hamil sama ada anak lelaki atau perempuan bermuka iras Skandinavia yang juga bijak, aktif, cergas serta sihat badan.

Tidak hairanlah Cryos menjadi pilihan majoriti wanita di dunia untuk mendapatkan air mani berkualiti tinggi sehingga ada jenaka mendakwa Denmark kini ‘mengeksport’ bayi berwajah Viking ke serata pelusuk muka bumi.

Namun, bagi masyarakat Islam, amalan ini adalah ‘dilarang keras’ menurut ajaran agama kerana dibimbangi boleh merosakkan keturunan manusia dan menghancurkan nilai institusi kekeluargaan. - sumber

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedia melindungi remaja mengandung luar nikah yang diabai keluarga.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menegaskan perlindungan itu diberikan bukan bertujuan menggalakkan perbuatan mereka tetapi demi menjaga kebajikan dan keselamatan diri remaja terbabit.

"Ada kejadian yang mana ibu bapa yang tidak bersedia untuk menerima anak remaja mereka yang mengandung, maka ia merupakan tanggungjawab kementerian untuk memainkan peranan dalam situasi sebegini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kem 'Family with a Mission' anjuran badan bukan kerajaan 'Focus on the Family Malaysia' di sini, hari ini.

Mengulas laporan purata 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung luar nikah setiap tahun seperti yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan pada Khamis lalu, beliau berkata kementerian sudah pun mewujudkan rumah perlindungan kepada
remaja yang terlibat.

Katanya selepas remaja berkenaan menjalani rawatan di hospital kerajaan, mereka akan dibawa ke tempat perlindungan serta diberi kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mereka akan terus bersekolah sementara bayi mereka dijaga oleh JKM dan kebiasaannya kami akan bertanya kepada mereka sama ada mereka mahu untuk menjaga sendiri bayi mereka atau sebaliknya," katanya.

Kem tiga hari dua malam itu disertai oleh 125 peserta dari 30 buah keluarga yang terdiri daripada anak-anak dan ibu bapa bagi menjalankan pelbagai aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama mereka. - Bernama

Kesediaan untuk bersemuka secara langsung di televisyen berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan peluang keemasan untuk menerangkan dengan terperinci berhubung isu berkenaan, kata bekas anggota Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negara, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal, yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, ia adalah platform terbaik bagi Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk memberi penjelasan terperinci tentang isu itu kepada Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Selain itu, katanya tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan kerana ia disiarkan secara langsung di televisyen dan terpulang kepada rakyat untuk membuat penilaian.

"Saya menggesa kedua-dua pihak agar mengambil peluang ini dan biarlah rakyat mengadili apa jua yang mereka sampaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia ke-14,
di sini, hari ini.

Reezal Merican berkata demikian bagi mengulas kenyataan Arul Kanda yang mengumumkan kesediaan beliau bersemuka dengan Pua secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara itu, tanpa sebarang syarat selain berharap ia diadakan secepat mungkin. - Bernama

KUCHING: Kerajaan akan memfokuskan kepada tindakan pencegahan pembakaran terbuka melalui Prosedur Tetap Operasi Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Tetap Operasi Bagi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Sering Terbakar, di samping mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas di seluruh negara kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, kebakaran hutan dan pembakaran terbuka bukan sahaja menyebabkan kemusnahan sumber alam, malahan kesan yang lebih buruk lagi adalah masalah jerebu yang menjejaskan kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta sosio-ekonomi negara.

“Saya sendiri baharu sahaja pulang dari Hanoi, Viet Nam bagi menghadiri Mesyuarat Ke-11 Negara Parti Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (Conference of Parties (COP) to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution) pada 29 Oktober lalu,” katanya.

Junaidi berkata, antara perkara-perkara yang telah dipersetujui di kalangan negara ASEAN adalah supaya melaksanakan tindakan-tindakan pencegahan jerebu yang lebih berkesan sebagai persediaan menghadapi fenomena El-Nino kuat sehingga awal tahun 2016 dan tindakan pemadaman kebakaran di peringkat awal (early fire suppression).

“Suka untuk saya maklumkan bahawa di peringkat persekutuan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) berpegang teguh kepada visi Kementerian dalam menerajui pengurusan sumber asli dan pemuliharaan alam sekitar secara berkekalan di negara ini,” katanya.

Junaidi juga menegaskan bahawa usaha menangani masalah alam sekitar tidak harus menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata malah ia perlu didokong bersama oleh semua anggota masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Negeri Sarawak 2015 di Medan Niaga Satok, Kuching hari ini. – Sarawakiana

KUCHING: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak FAMA Negeri Sarawak, pihak Triniken (Sarawak) Sdn. Bhd. dan pihak Sarawak Energy Berhad serta pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak melalui penglibatan pelajar sekolah dalam aktiviti yang diadakan bagi penganjuran Minggu Alam Sekitar Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2015 kali ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Ini merupakan salah satu contoh mekanisma perkongsian strategik (smart partnership) dengan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta Institusi Pengajian Tinggi.

“Penglibatan pelbagai pihak dalam menangani isu alam sekitar amatlah diperlukan bagi menjayakan program-program kesedaran,” katanya sambil menambah ini bertujuan untuk memantapkan sistem penyampaian alam sekitar agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada semua stakeholder, pelanggan-pelanggan dan orang ramai.

Beliau menjelaskan, hubungan kerjasama dua hala yang termeterai ini akan membantu dalam melaksana dan memantapkan sistem penyampaian kesedaran alam sekitar ke setiap lapisan masyarakat dan pelbagai aktiviti memupuk dan menanam kesedaran dapat dilaksanakan dengan adanya hubungan kerjasama ini.

“Syabas saya ucapkan kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak dan kepada semua organisasi yang terlibat di atas usaha murni ini,” katanya.

Beliau berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan di masa-masa akan datang dan diperluaskan juga di pelbagai sektor lain.

Junaidi turut menyeru agar semua pihak tidak kira agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta, Kolej-Kolej, Maktab, sekolah-sekolah dan lain-lain dalam menjayakan program-program kesedaran di masa-masa akan datang bagi meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar di kalangan masyaraka.

“Peranan tuan-tuan dan puan-puan penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar kita berkekalan,” katanya. – Sarawakiana

PUTRAJAYA – Bermula 1 Novemberi ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan berhenti mengutip bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menerusi satu kenyataan LHDN hari ini, semua majikan yang membuat potongan gaji pekerja untuk bayaran balik pinjaman perlulah mengemukakan terus bayaran tersebut kepada PTOTN.

"Kerajaan telah memutuskan bahawa mulai 1 Nov 2015, LHDN tidak lagi bertindak sebagai ejen kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN," menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan berhubung bayaran balik pinajaman melalui kaedah pemotongan gaji, orang ramai boleh terus menghubungi pihak PTPTN di talian 03-20986484 /7336 /6462.

Sebelum ini, portal ini ada melaporkan mengenai seramai 607,842 peminjam PTPTN didapati gagal untuk membuat sebarang bayaran balik pinjaman tersebut. -klxpress

KUCHING - Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan suku kaum Penan tetapi sentiasa cuba meyakinkan dan membawa mereka ke arus pemodenan, kata Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

Beliau berkata kerajaan memberi opsyen kepada generasi lama suku kaum itu untuk sama ada meneruskan cara hidup lama atau keluar dari hutan dan memikmati kehidupan moden.

"Untuk generasi lama kaum Penan yang masih mahu mengekalkan kehidupan sebagai pemburu, masih ada banyak kawasan hutan untuk menjalankan kegiatan memburu tetapi bagi generasi muda, kerajaan menggalakkan mereka memasuki persekolahan kerana pendidikan penting bagi kehidupan yang lebih baik," katanya.

Dr Masing, yang juga pengerusi Tabung Amanah Bakun berkata demikian kepada pemberita selepas upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Tabung Amanah Bakun.

MoU itu bertujuan memberi sokongan untuk melanjutkan pengajian kepada masyarakat Penan di Daerah Belaga terutama penduduk yang terlibat secara langsung dengan projek stesen hidro elektrik Murum yang baru siap.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Torstein Dale Sjotveit dan Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat SEB Jiwari Abdullah menandatangani MoU itu bagi pihak SEB manakala Dr Masing dan Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak Liwan Lagang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Belaga menandatanganinya bagi pihak Tabung Amanah Bakun.

Dr Masing berkata kesungguhan kerajaan negeri membantu masyarakat suku kaum Penan terbukti apabila tiga biasiswa diwujudkan setakat ini untuk membantu pelajar suku kaum itu mendapat pendidikan dan melanjutkan pengajian di universiti dan sekolah latihan teknikal.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada SEB kerana menyediakan dana pendidikan khas berjumlah RM200,000 setiap tahun di bawah Tabung Amanah Bakun, yang akan dimanfaat bagi memenuhi keperluan pendidikan kaum Penan.

"Inisiatif itu bertujuan memberi motivasi yang berterusan kepada golongan muda dari kaum itu untuk berusaha ke arah kecermelangan dalam bidang pendidikan," katanya.

Dr Masing berkata penduduk enam kampung Penan dan satu-satunya kampung Kenyah Badeng dari kawasan penempatan semula Murum serta 19 lagi komuniti Penan dari seluruh daerah Belaga mendapat manfaat daripada dana itu.

Menurutnya insentif itu juga diberikan kepada pelajar Penan berdasarkan kehadiran mereka di sekolah bukan keputusan peperiksaan bagi menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah.

Sementara itu, Torstein berkata pendidikan dan golongan remaja adalah satu daripada intipati utama dalam strategi tanggungjawab sosial korporat SEB kerana ia memberi penekanan kepada pendidikan ke arah pembangunan sosial dan ekonomi.

"Dalam usaha menyokong kerajaan ke arah pertumbuhan ekonomi negeri dengan memacu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, kami mahu memastikan bahawa kominiti yang terlibat denghan projek kami mendapat manfaat secara mampan," katanya.

Torstein mewakili SEB dalam jawatankuasa itu, yang ditubuhkan untuk menguruskan dana itu serta memberi tumpuan kepada cara-cara untuk meningkatkan kadar penyertaan dan kehadiran, pencapaian akademik, kaunseling, motivasi dan program capaian untuk pelajar, guru dan ibu bapa.

Beliau berkata melalui inisiatif SEB, dua buah sekolah di kawasan kaum Penan mencatatkan kehadiran pelajar 70 peratus berbanding 20 peratus sebelumnya. -Bernama-

PETALING JAYA – Indonesia menetapkan gaji bulanan minimum untuk pembantu rumah di Malaysia pada RM900 dan merancang untuk menaikkan ia kepada sekurang-kurangnya RM1,000.

Timbalan Duta Besar Indonesia Ke Malaysia, Hermono berkata gaji minimum RM900 akan berkuatkuasa pada 20 Oktober ini dan melibatkan semua pembantu rumah Indonesia yang baharu datang ke Malaysia selepas tarikh itu.

“Ia mungkin naik lagi berdasarkan gaji minimum di Malaysia yang ditetapkan pada RM1,000,” katanya kepada The Star.

Beliau tidak menyatakan tempoh untuk kenaikan tersebut tetapi mengesahkan sebuah agensi kerajaan Indonesia telah menulis surat kepada kedutaan meminta gaji dinaikkan kepada RM1,000.

Surat daripada Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia Di Luar Negeri – salinan yang turut dilihat The Star – meminta agar kedutaan melaksanakan gaji minimum RM1,000.

Surat bertarikh 15 Oktober itu turut meminta kedutaan untuk tidak membenarkan majikan membuat potongan dari gaji pembantu rumah mereka.

Buat masa ini, majikan dibenarkan membuat potongan RM1,800 daripada gaji pembantu rumah dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Jumlah tersebut adalah wang pendahuluan yang dibayar oleh majikan untuk menampung sebahagian kos yang perlu ditanggung pembantu rumah mereka termasuk latihan.

Ketika ditanya mengenai surat tersebut, Hermono berkata perkara itu dan beberapa butiran lain sedang diperingkat perbincangan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata pegawai kanan dari kedua-dua negara masih belum membuat keputusan mengenai gaji minimum pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) kali ke-11 di Jakarta pada 15 Oktober lalu.

“Ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada mesyuarat JWG kali ke-12 yang akan diadakan di Putrajaya dalam masa terdekat,” katanya.

Pada minggu lalu, Richard berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menaikkan sedikit gaji pembantu rumah dan beliau akan membuat pengumuman mengenai kadar baharu itu apabila keputusan dicapai.

Pada Mei lalu, Indonesia menghantar satu memorandum kepada kerajaan meminta agar gaji minimum pembantu rumah dari negara itu dinaikkan kepada RM1,200.

Walaupun mendapat bantahan di kalangan rakyat Malaysia, cadangan itu juga dikritik pakar ekonomi tempatan yang berkata Malaysia sudah berdepan aliran keluar tahunan sebanyak RM5 bilion ke Indonesia berdasarkan gaji minimum itu.

Daripada 320,000 pembantu rumah warga asing di negara ini, seramai 230,000 merupakan warga Indonesia.

Memorandum Persefahaman mengenai pengambilan rumah warga Indonesia yang ditandatangani pada Mei 2011 meliputi tempoh lima tahun dan membenarkan gaji minimum ditentukan kuasa pasaran.

Pada masa lalu, majikan di Malaysia biasanya membayar gaji sebanyak RM800. – The Star Online

KUALA LUMPUR – Sebuah asteroid ‘Spooky’ bersaiz lebar antara 290 hingga 650 meter dijangka melintasi berhampiran Bumi pada jarak 1.3 kali jarak Bumi ke Bulan pada malam Sabtu.

Asteroid Spooky dengan nama rasmi 2015 TB145, yang ditemukan ahli astronomi NASA daripada Program Objek Terdekat Bumi pada 10 Okt lepas, bergerak pada kelajuan 35km sesaat iaitu 29 kali lebih laju dari sebutir peluru.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) berkata, ia dijangka tidak akan berlanggar dengan Bumi sebaliknya hanya akan melintasi orbir Bulan pada jarak 48,000km dari Bumi.

“Pada kedudukan paling hampir dengan Bumi, ia akan mencapai tahap kecerahan sekitar 10 magnitud dan boleh dilihat menggunakan teleskop,” kata Angkasa dalam kenyataan di sini, malam Jumaat.

Jika cuaca mengizinkan, Angkasa melalui Observatori Negara Langkawi (ONL) merancang melakukan pencerapan dan penyelidikan terhadap asteroid itu untuk berkongsi maklumat dengan badan-badan astronomi antarabangsa.

Untuk pertanyaan lanjut orang ramai boleh menghubungi ONL di talian 04-9668870 atau Planetarium Negara di talian 03-2273 4303.

Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang Angkasa di www.angkasa.gov.my atau laman media sosial Facebook dan Twitter Angkasa Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan fenomena-fenomena dan program Angkasa. – BERNAMA

SICHUAN - CHINA . Seorang warga emas yang dikatakan mengalami masalah nyanyuk dari wilayah Sinchuan bertindak mengoyak wang simpanannya bernilai 47,600 Yuan (RM32,151).

Luo yang juga pesara doktor haiwan disahkan menghidap penyakit nyanyuk yang menyebabkan dia tidak sedar apa yang dilakukannya.

Memetik CCTV News, tindakan Luo hanya disedari selepas anaknya yang cuba mengeluarkan duit simpanan lelaki itu terkejut selepas keseluruhan simpanan ayahnya tiada.

Selepas meneliti catatan urusniaga menunjukkan bapanya telah mengeluarkan wang tersebut.

Keluarga itu akhirnya menemui semua wang tunai yang hilang disimpan di dalam beg pakaian besar, namun apa mengejutkan kesemua wang kertas tersebut sudah dikoyak.

Enggan menyalahkan tindakan Luo, anaknya itu meminta pertolongan pegawai bank untuk mencantumkan semula wang-wang berkenaan.

Pengurus bank, Wang Jun berkata, dia bersama 9 kakitangan yang lain membantu mencantumkan kesemua wang tersebut

"Hanya lima keping 100 Yuan berjaya disambung semula setakat ini dan akan mengambil beberapa minggu untuk menyambung semua wang-wang berkenaan," katanya

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap‎ dapat terus menjalin kerjasama erat dengan media untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat berkaitan isu di bawah kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peranan media sangat diperlukan dalam usaha memastikan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya mendapat informasi semasa mengenai keadaan jalan raya.

"Masyarakat hampir setiap hari berada di jalan raya dan hal ini sangat berkait rapat dengan kementerian," katanya ketika berucap pada Anugerah Penghargaan Media Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sempena Malam Media KKR 2015 di sini, semalam.

Beliau turut berterima kasih kepada media atas sokongan selama ini dalam membantu kementerian menyebarkan dasar dan mesej yang hendak disampaikan kepada
masyarakat.

"Kementerian sangat bergantung harap kepada rakan media untuk sebar maklumat yang tepat dan betul berkaitan bidang tugas dan bidang kuasa kementerian," katanya.

Dalam pada itu, Fadillah turut berharap media dapat menyalurkan maklumat kepada KKR berhubung isu yang melibatkan kementerian dan agensi di bawahnya.

Pada majlis itu, Anugerah Kategori Fotografi dimenangi P. Puspanathan dari The Star dan Anugerah Kategori Media Cetak pula diraih Wan Noor Hayati Wan Alias dari Berita Harian.

Tempat pertama bagi Anugerah Kategori Media Elektronik dimenangi Rosli Mohd Nordin dan Wan Aliazar Wan Halim dari RTM.

Semua pemenang membawa pulang wang tunai RM5,000 bersama sijil.

Turut hadir Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab. - Bernama

KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa memainkan peranan yang lebih proaktif dengan menganjurkan program-program membabitkan penglibatan masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang penyakit kanser.

Perkara itu ditegaskan oleh isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu yang memberitahu menerusi aktiviti yang dijalankan itu ia dapat membantu meningkatkan semangat diri untuk meneruskan hidup sekali gus melupakan trauma khususnya dalam kalangan pesakit kanser.

“Oleh itu, saya amat menggesa penglibatan NGO untuk bersama-sama memainkan peranan yang lebih aktif dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan terutamanya melibatkan pesakit kanser.

“Menerusi kaedah ini kita dapat membantu mereka menghilangkan rasa trauma mereka dalam proses pemulihan pesakit ini supaya mereka dapat hidup seperti manusia sihat lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian seminar kesihatan berkaitan nutrisi yang sihat untuk mencegah penyakit kanser dan merawat pesakit kanser di Auditorium Pusat Penerangan Islam di sini semalam.

Program anjuran bersama Tenaga Badan Amal Isteri-isteri Menteri (SABATI), Pusat Penerangan Islam serta CanHope Kuching dan Pusat Kanser Parkway, Singapura itu dihadiri lebih 100 peserta.

Selain itu, Jamilah memberitahu sokongan daripada ahli keluarga pesakit, rakan dan masyarakat amat penting dalam membantu proses pemulihan pesakit kanser.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan supaya pesakit kanser ini terutamanya kanak-kanak dapat menjalani hidup mereka dengan lebih baik lagi,” tambahnya.

Katanya, penganjuran seminar itu dapat menambah ilmu pengetahuan tentang jenis pengambilan nutrisi yang sihat untuk mencegah kanser serta merawat penyakit tersebut.

“Saya berharap penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Hadir sama isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Fatimah Mohd Iskandar, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan SABATI Datin Noraini Hussin, Datin Rosnie Sulong, Datin Simba Nalang dan ahli jawatankuasa Sabati lain. - UB

SICHUAN - CHINA. Seorang lelaki berusia 55 tahun tidak perlu menghabiskan masa dan duit ke gimnasium untuk kekal sihat sebaliknya hanya berjalan dengan memakai kasut seberat 70kg setiap hari.

Huang Baoquan yang tinggal di sebuah perkampungan kecil di pedalam Sichuan akan melakukan senaman dengan memakai kasut yang dibuatnya sejak 30 tahun lalu.

Huang berkata, dia telah melakukan rutin senaman yang sama setiap pagi selama lebih 30 tahun.

"Setiap hari saya perlu bersenam dengan kasut ini sekurang-kurangnya satu jam sehingga berasa selesa. Jika tidak seluruh badan akan berasa lemah," katanya dipetik People Daily Online.

Huang akan berjalan lebih 200 meter dengan memakai kasut seberat 70kg sambil memengang pemberat setiap hari.

Rutin harian yang dilakukan Huang menarik perhatian ramai dan tiada siapa yang mampu untuk berjalan memakai kasut berkenaan setakat ini malah seorang lelaki patah kaki selepas cuba untuk berjalan dengan kasut tersebut.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pada hari Selasa memulakan penggembaraannya di India dengan lawatan ke makam terkenal Taj Mahal di Agra.

Menerusi satu kenyataan Facebook, Zuckerberg berkata, beliau memang berhasrat untuk melawat makam Taj Mahal yang dibina sekitar 1600-an oleh Maharaja Mughal,Shah Jahan sebagai monumen peringatan untuk Mumtaz Mahal, isterinya yang kelima.

Zuckerberg yang sungguh kagum dengan keagungan seni bina Taj Mahal berkata "ia lebih menakjubkan daripada yang saya jangkakan."

"Ia adalah sesuatu luar biasa untuk lihat apa yang manusia dapat membina, serta bagaimana cinta boleh mendorong kita untuk membinanya," tulis Zuckerberg sambil memuat naik sekeping gambar beliau duduk di hadapan Taj Mahal.

Menurut laporan USA Today, Zuckerberg berada di India untuk mendalami hubungan dengan negara Asia Selatan, yang merupakan rumah kepada sejumlah besar pengguna Facebook, selain Amerika Syarikat.

Jutawan teknologi itu akan menganjurkan satu sesi soal jawab di Delhi India Institute of Technology hari ini dan kira-kira 900 pelajar dijangka akan hadir pada majlis itu.

Sejak tahun 2014, Facebook telah cuba untuk menawarkan pakej percuma bagi menyediakan perkhidmatan asas internet yang dipanggil 'Free Basics' (dahulu internet.org) di India.

Ia dilakukan sebagai satu inisiatif untuk membawa perkhidmatan internet kepada penduduk di negara-negara membangun yang tidak mampu untuk membayar caj data.

Memetik laporan Hindustan Times, tawaran 'Free Basics' itu boleh didapati di 25 buah negara termasuk Indonesia, Panama, Jakarta, dan Pakistan, tetapi penerimaan pakej ini dalam salah satu pasaran terbesarnya, India adalah penting untuk syarikat Facebook.

Sebelum berhijrah ke India, Zuckerberg pada Isnin menyampaikan satu ucapan ringkas dalam bahasa Mandarin di Universiti Tsinghua di China.

Pada September lalu, Perdana Menteri India Narendra Modi telah mengadakan lawatan ke ibu pejabat Facebook di Menlo Park, California, Amerika Syarikat.

-Astro Awani

Siapa yang tidak kenal Datuk Vida yang terkenal dengan produknya, Qu Putih. Baru-baru ini, namanya kembali menjadi sebutan selepas tampil menaja program Gegar Vaganza di saluran Astro.

Selain amat sinonim dengan tagline 'Qu Putih' dan juga rona merah jambu, salah satu lagi identiti Datuk Vida pastinya ialah mahkota yang sering dikenakan setiap kali muncul di kaca TV.

Sebenarnya, itu merupakan minat serta hobinya sejak lima tahun lalu.

"Angan-angan nak jadi puteri raja. Kena pula dengan cerita Frozen tu, memang makin saya minatlah," ujarnya menerusi Media Hiburan.

Oleh itu, dia tidak lokek dengan hobinya itu, dan sanggup berhabisan ratusan ribu untuk menempah mahkota kegemarannya. Datuk Vida mendedahkan mahkota yang dipakainya berharga dalam lingkungan RM10,000 hingga RM100,000. - sumber

Isu beberapa buah rumah di robohkan oleh pihak pemaju bagi membolehkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo begitu hangat di perkatakan oleh penduduk sekitar kawasan berkenaan. Kebanyakan media pro pembangkang melaporkan bahawa tindakan ini dilakukan sewenang-wenangnya tanpa sebarang notis arahan untuk berpindah dari premis masing-masing.

Malah ada yang mendakwa tindakan merobohkan rumah berkenaan dilakukan secara tiba-tiba tanpa keizinan tuan rumah dan ada juga mendakwa tanah mereka sewenang-wenangnya diambil oleh pihak pemaju dan kerajaan. Ini yang sedar di viralkan oleh media pro pembangkang samada menerusi portal mereka mahupun di laman sosial Facebook yang pro pembangkang. Benarkah semua ini berlaku?

Sebenarnya, apa yang berlaku di Batu 13 Jalan Bintulu-Miri berhampiran pekan Similajau tidak seteruk seperti yang dilaporkan oleh beberapa media pro pembangkang terutama DAP dan PKR. Menurut temubual yang dijalankan terhadap beberapa pemilik rumah berkenaan, mereka mengakui mereka mendirikan rumah mereka di atas tanah milik Kerajaan negeri.


Mereka juga sebenarnya telah mendapat notis pengosongan premis sejak 10 September 2015, namun mereka masih tinggal di premis berkenaan berikutan tidak tahu kemana hendak di tuju. Setelah perlaksanaan projek berkenaan mula dilaksanakan, kontraktor yang mendapat keizinan dari kerajaan negeri dan keizinan pihak berkuasa hanya menjalankan tugas mereka seperti yang termaktub dalam perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.

Malah, ketika ditanya kepada beberapa pemilik rumah berkenaan, mereka langsung tidak menyalahkan pihak kerajaan negeri mahupun pusat dalam hal ini. Apa yang mereka minta hanyalah anjakan masa yang pada hemat kontraktor berkenaan tidak dapat dilakukan kerana ianya melibatkan kos dan masa.

Jadi dakwaan DAP dan PKR mengatakan kerajaan negeri dan pusat begitu rakus merampas tanah dan rumah penduduk yang terlibat dalam pembinaan Pan Borneo ini jelas tidak berasas sama sekali.

Dalam satu perkembangan, kerajaan Negeri difahamkan akan menghantar wakil setempat bagi membincangkan beberapa isu yang berbangkit dengan penduduk yang terlibat dalam masa terdekat. Ini perlu kerana isu ini telah dimanipulasikan oleh pembangkng bagi memburukkan kerajaan negeri dan pusat.-Pru14

DARI segi politiknya, CEO 1MDB Arul Kandasamy melakukan ‘kesilapan politik’ bila memberi syarat kepada Ahli Parlimen DAP, Tony Pua untuk berdebat dimana dia meminta Tony letak jawatan dulu sebagai ahli PAC sebelum boleh berdebat. Silapnya tu ialah bila orang baca, Tony tak letak syarat, Arul pulak letak syarat.

Semua orang politik tahu permainan yang semacam ini. Jadi kalau ada cara lain, pilihlah cara lain itu, jangan sesekali letak syarat.

Begitupun disinilah kelebihan Arul – dia bukan ahli politik, dia seorang professional. Dari pandangan preofessional, tidak seharusnya seorang ahli PAC seperti Tony yang akan mengadili 1MDB, berdebat ketika prosiding sedang berjalan.

Jadi syarat yang diletakkan oleh Arul agar Tony melepaskan jawatannya dulu dalam PAC sebelum debat boleh diadakan adalah betul dalam konteks Arul sebagai seorang professional perniagaan. Dia mana tahu dan peduli dengan game politik, bukan dia cari makan dengan politik.

Beza dengan Tony. Hidupnya 24 jam ialah berpolitik dan macam mana nak spin keadaan supaya macam mana buruk pun DAP, akan tetap di nampak baik. Dalam politik, hitam boleh jadi putih, putih boleh jadi hitam, bergantung kepada persepsi, bukan realiti. Beza dengan professional macam Arul. Rugi, rugilah, untung, untunglah, mana ada diantaranya

Tak bolehlah Tony menyamakan Arul macam ahli politik apabila menyifatkan cadangan agar dia melepaskan jawatan itu sebagai tidak masuk akal. Logiklah cadangan tu dari sudut pandang seorang professional kan. Orang yang tak professional pun pandang cadangan seperti itu masuk akal.

Justeru, kalau soalnya rakyat, kalau soalnya nak mencari kebenaran dalam isu 1MDB ini, Tony tidak seharusnya mempunyai sebarang masalah untuk melepaskan jawatannya itu dan berdebat dengan Arul.

Lagipun, Tony banyak sangat cakap ni, semua pun sebelah pihak saja. Bila ada peluang untuk persoalannya dijawab, kenapa nak lepaskan? Lainlah kalau Tony bukan nak cari jawapan tapi semata-mata untung politik.

Kalau itu sebabnya, memang patut Tony cari atau cipta apa juga alasan untuk tidak berdebat dengan Arul secara langsung di TV.

Terfikir juga penulis, yang Tony minta debat secara langsung di TV ni bukan syarat juga ke? Jadi kalau nak di debat dari sudut itu maka adillah Tony letak syarat, Arul pun letak syarat, tapi kenapa syarat Arul saja yang jadi isu?

Untunglah bila ramai orang bodoh jadi penyokong.-myKMU.net

TAIPEI: Seorang model Taiwan yang dipaparkan dalam iklan sebuah klinik pembedahan plastik mengancam untuk menyaman agensi pengiklanan dan klinik itu selepas iklannya menjadi viral di internet.

Heidi Yeh sebelum ini bersetuju untuk menjadi model iklan sebuah klinik pembedahan plastik yang memaparkan wajahnya dengan seorang model lelaki bersama tiga kanak-kanak.

Bagaimanapun iklan itu menjadi viral di internet selepas ada dakwaan menyatakan dia diceraikan oleh lelaki di dalam iklan itu selepas melahirkan anak yang hodoh dan didakwa membuat pembedahan plastik.

Heidi memberitahu kepada BBC, kehidupannya selepas gambar itu menjadi viral sangat drastik apabila dia kehilangan pekerjaan sebagai model dan banyak agensi memberhentikannya sebagai model mereka.

"Saya kehilangan banyak perkara dalam hidup. Setiap hari saya menangis kerana menerima banyak cemuhan selain kehilangan punca pendapatan. "Ia ibarat mimpi ngeri sepanjang kerjaya model saya," katanya.

Heidi berkata berdasarkan kontrak yang ditandatangani dengan agensi pengiklanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, J Walter Thompson (JWT), menyatakan iklan itu akan digunakan di akhbar, majalah dan klinik itu saja.

Tetapi JWT kemudian menggunakannya di laman web dan Facebook sebelum dikongsi oleh beberapa pengguna Facebook seterusnya menjadi viral.

Pada tahun 2013, sebuah tabloid China membuat artikel palsu mengenai seorang suami menyaman isterinya apabila dia mendapati isterinya menjalani pembedahan plastik sebelum mereka berjumpa kerana anak-anak mereka mempunyai wajah yang berbeza.

"Apabila saya mula mendengar mengenai perkara ini dari seorang teman, saya berfikir bahawa ini hanyalah khabar angin saja.

"Kemudian saya sedar seluruh dunia sudah mengetahui kisah ini dan mereka memikirkan ia adalah kisah benar.

"Malah rakan-rakan saya ketika itu termasuk teman lelaki bertanya mengenainya," katanya. - BBC/AGENSI


Dari Portal myKMU.net: Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia menyiarkan siaran langsung debat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB Arul Kanda dan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kesediaan RTM untuk menyiarkan debat itu secara langsung membuktikan sikap keterbukaan kementerian berkenaan.

“RTM boleh siarkan debat ini secara langsung,” kata Salleh kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Arul Kanda berkata beliau sedia bersemuka dengan Pua dalam program televisyen secara langsung dengan syarat Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu melepaskan jawatannya sebagai anggota PAC.

“YB Tony Pua telah mencabar saya .. .untuk bersamanya dalam program bual bicara secara langsung. Saya menerima cabaran itu dan menanti untuk menjawab semua soalannya,” kata Arul Kanda.

Pua sebelum ini mencabar presiden 1MDB itu untuk muncul bersamanya dalam temu bual yang bersiaran secara langsung bagi menjawab segala persoalan yang dibangkitkan terhadap 1MDB.

Bernama

GEORGETOWN – Kementerian Kesihatan merancang menggubal undang-undang baharu berkaitan tembakau, rokok elektronik atau vape serta shisha, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata peruntukan undang-undang mengenai perkara itu belum kukuh pada masa ini kerana ia dikawal di bawah Akta Makanan 1983 (Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011).

Menurutnya dari segi kesihatan, menghisap vape adalah sama bahayanya dengan menghisap rokok atau shisha dan menghisap shisha selama sejam pula bersamaan menghisap 150 batang rokok.

“Vape pun ada bahayanya. Rokok ada 87 bahan yang boleh menyebabkan kanser …vape ada ‘propelyn glycol’ dalam cecairnya yang bila dibakar menggunakan bateri, ia akan menjadi panas. Ini juga boleh menyebabkan kanser. Menghisap vape dan rokok sama bahayanya,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dr Hilmi berkata Kementerian Kesihatan sedang berbincang dengan pihak berkaitan mengenai langkah-langkah mengawal pengambilan rokok bahan-bahan itu bagi memastikan keputusan yang dibuat memberi keadilan kepada semua pihak.

Mengenai dakwaan adanya DNA khinzir dalam vaksin selain ia boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan, beliau sekali lagi menegaskan bahawa tiada DNA khinzir dalam semua vaksin yang dikeluarkan di bawah Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, Dr Hilmi melawat keluarga pelajar tingkatan lima yang dirogol dan dibunuh di rumahnya di Teluk Kumbar, dekat sini pada Ahad lepas.

Intan Suraya Mawardi, 17, pelajar sebuah sekolah menengah di Teluk Kumbar ditemui mati di atas katil oleh bapanya pada 7.30 malam. – BERNAMA

KUCHING: Chairman Panel Perunding enggau Penyeliah Ulah Makai Suap (PPPR),Tan Sri Johan Jaffar netapka Perintah Nengeri nengah embing Kepala Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem udah ngerintis jalai ke manah ba atur ngelaban keruga pengawa ngereja batang nadai belisin.

Ku iya, pengeran Adenan sentang isu nya chukup manah lalu iya bebendar nesau raban penerit adat nentuka pengawa ngereja batang chara belalai nadai agi nyadi di Sarawak.

“Tu seiti atur ti positif lalu kitai (PPPR ) meri sukung ba sentang pekara tu.

“Diatu mayuh sumil di nengeri tu udah ditutup ketegal raban penerit adat ransing bejalaika tanggungpengawa sida,’ku iya bejaku ngagai pengarang berita pengudah nemuai meri basa ngagai Adenan di Wisma Bapa Malaysia kemari.

Ngenang pekara bukai, Jo”

“han pechaya Komiti Nagang Ulah Makai Suap Malaysia (SPRM) pampang Sarawak ulih bejalaka tanggungpengawa enggau manah.

SPRM pampang Sarawak ku iya, ngembuan tusun pengawa diri dikena nentuka tanggungpengawa dikemujur.

“PPPR semina deka matau pekara ke nyadi ketegal kitai pechaya, lalu ngemeratka pengeran kepala menteri ngambika mayuh ubah ulih digaga di nengeri tu,”ku iya.

Ba penemuai raban PPPR nya, Johan madah sida mega berandauka chara ngelaban keruga ulah makai suap nyengkaum ngenegapka sistem komputer enggau tusun pengawa perintah.

“Kitai seruran ngelalau ejensi perintah kelebih agi raban penerit adat ngambika sida ngemujurka tanggungpengawa enggau lurus, terit sereta profesional.

“Kami ari PPPR ngasaika tusun pengawa ti udah diatur perintah nengeri deka nempa asil ke manah,’ku iya.

Nitihka penerang Johan, dulu agi ari tu sida udah nemuai meri basa ngagai ketuai di nengeri Melaka lalu pengawa ke sama deka diadu di nengeri bukai jemah.

“Ari dua penemuai basa ke udah diatur PPPR, asil randau kitai chukup manah ke alai kededua nengeri udah besemaya deka meri komitmen tinggi mantu SPRM sentang pekara ke bekaul,”ku iya.

Iya mega madah tikas penyalah makai suap di Malaysia diatu enda balat ngirauka lalu SPRM udah bisi tusun pengawa dikena ngelaban keruga penyalah nya.-UB




PUTRAJAYA – Berita baik buat semua penggemar vape serta peniaga rokok elektronik ini yang mungkin dapat menarik nafas lega (penuh berasap) malah tidak perlu risau dan gundah gulana lagi buat masa sekarang.

Mesyuarat mingguan jemaah Kabinet pada Jumaat ada membincangkan hal tersebut dan memutuskan kerajaan pada masa ini tidak berhasrat mengharamkan pengunaan vape yang semakin popular dalam kalangan rakyat.

Menurut portal tempatan AgendaDaily, khabar gembira tersebut disampaikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi laman Facebook pada tengah hari Jumaat.

Keputusan tersebut sekali gus mematikan ‘spekulasi liar’ kemungkinan vape diharamkan ekoran kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S Subramanian bahawa kementerian itu sedang mempertimbangkan hal berkenaan.

Namun Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya pada Khamis ada berkata, adalah terlalu awal untuk mengatakan kerajaan akan haram penggunaan vape seperti kecoh diperkatakan beberapa pihak sebelum ini.

Ini kerana kementerian berkenaan masih lagi sedang dalam perbincangan secara teliti bagi mewujudkan sebuah undang-undang baharu yang melibatkan kawal selia segala urusan tembakau, vape dan juga shisha.

“Sekarang kami sedang menjalankan perbincangan melibatkan isu ini. Masih terlalu awal untuk mengatakan kami akan mengharamkan vape sepenuhnya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen pada Khamis.

Dr. Hilmi berkata, undang-undang sedia ada membabitkan tembakau langsung tidak pula melibatkan vape dan shisha, bahkan undang-undang sekarang hanya melibatkan tembakau tertakluk di bawah Akta Makanan 1993.

“Itu tidak cukup kuat sebab tidak masuk vape dan juga shisha. Kita akan wujudkan undang-undang baharu. Kita belum putuskan sama ada untuk kawal atau haram sepenuhnya. Masih terlalu awal cakap mengenai itu,” katanya.

Beliau seterusnya lagi berkata, sekiranya vape diharamkan, rokok juga akan dikenakan tindakan yang sama kerana secara teknikal dan logik, kedua-duanya pun mengandungi bahan kimia dikenali sebagai nikotin.

“Sebab kalau kita nak haramkan vape, kita juga kena haramkan rokok, sebab vape juga mengandungi nikotin. Jadi, kalau kita haramkan vape, apa pula tindakan untuk tembakau? Itu isunya di sini,” kata Dr. Hilmi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kajian secara holistik perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan rasmi dapat diambil kementerian berkenaan. – sumber

JAKARTA: Konsep kesederhanaan dalam Islam yang diperkenalkan Malaysia adalah selaras dengan gagasan Islam Nusantara yang digagaskan oleh Indonesia, kata Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Sambil menyambut baik langkah itu, beliau berkata kedua-dua gagasan itu membuktikan bahawa umat Islam di kedua-dua buah negara menolak sebarang bentuk tindakan ekstremis dan memilih untuk hidup dalam negara yang berjaya serta aman.

"Indonesia dan Malaysia adalah negara aman...Islam tidak ada radikalisme dan kita bukan negara gagal. Kita mempunyai pandangan yang moderat (sederhana)," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata aktiviti keganasan oleh sesetengah pihak sebenarnya bukanlah disebabkan fahaman agama tetapi kumpulan terbabit menjadi radikal disebabkan hidup di dalam negara yang gagal.

"Memang ada kelompok Islam yang radikal dan di mana-mana semua orang takut, bukan sahaja (rakyat) di Eropah malah umat Islam juga takut... mereka bom seperti di Pakistan, Yaman dan Syria," katanya.

Jusuf berkata semua umat Islam harus bersama-sama menghentikan radikalisme di negara Islam kerana ia bukan dalam ajaran Islam sebenar.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam terbabit menjadi radikal akibat perbuatan negara barat menghancurkan negara mereka dan kebangkitan rakyat negara itu telah melahirkan kumpulan militan.

"Sebagai contohnya Al-Qaeda tumbuh di Afghanistan kerana ia negara gagal...pernah diserang Rusia dan Amerika Syarikat dan kehancuran negara itu telah mewujudkan Al-Qaeda sebagai perlindungan baharu (untuk rakyat) dan menjadi radikal.

"Begitu juga kemunculan kumpulan ISIS di Iraq dan Syria. Mereka hancurkan Iraq kerana Amerika Syarikat mahukan Saddam Husein hancur. Mereka membantu pemberontak di Syria dan daripada kehancuran itu maka wujud fahaman baharu menjadi radikal. Negara barat menghancurkan negara-negara itu dan mereka menciptakan sendiri musuhnya," katanya.

Naib Presiden itu berkata keruntuhan negara-negara Timur Tengah menjadi bertambah buruk apabila terdapat puak-puak yang berbeza fahaman iaitu Syiah dan Sunni menjatuhkan kerajaan mereka secara radikal dan mengorbankan banyak nyawa umat Islam sendiri.

"Walaupun terdapat fahaman seumpama itu di Malaysia dan Indonesia tetapi kita bersyukur negara kita lebih aman kerana kita bukan negara gagal," katanya.

Beliau berkata fahaman radikal itu menular masuk ke negara lain menerusi teknologi maklumat moden sekarang tetapi kerajaan Malaysia dan Indonesia berjaya mengawalnya.

Jusuf berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga tidak dapat berbuat apa-apa untuk membanteras keganasan kerana tidak mempunyai kekuatan untuk mengambil sebarang tindakan.

"OIC yang dianggotai 54 buah negara Islam hanyalah sebuah harapan sahaja, tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan dan tidak mampu untuk mengambil tindakan, ia lebih kepada menganjurkan persidangan," katanya.

Beliau berkata walaupun jumlah umat Islam lebih banyak di Timur Tengah namun adalah sukar untuk menyatupadukan semua umat Islam kerana terdapat perbezaan pendapat antara fahaman Sunni dan Syiah.

"Kita di Indonesia tidak mengharamkan sebarang fahaman...di Indonesia ada Syiah dan kita benarkan tetapi kita mencegahnya daripada diperluaskan," katanya lagi.

Indonesia pernah digemparkan dengan serangan pengganas oleh rakyatnya dalam tragedi letupan bom di Bali dan di Jakarta beberapa tahun lepas. - BERNAMA

CHELSEA akhirnya menarik nafas lega apabila pemain tengah Brazil, Ramires menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab itu sehingga Jun 2019.

Pengumuman mengenainya dibuat pada petang Khamis.

Sebelum ini, Juventus dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Ramires pada musim panas lalu.

Terdahulu, pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang menandatangani kontrak lanjutan selama empat tahun di Stamford Bridge sehingga Jun 2019, mendapat sokongan penuh daripada pemilik kelab itu, Roman Abramovich.

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Chelsea dari Benfica pada 2010 dan melakukan 241 penampilan bersama The Blues.

Ramires memenangi trofi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga ketika bersama Chelsea.

"Dalam tempoh lima tahun lalu, kelab ini menjulang trofi perlawanan utama. Saya berharap agar terus menjadi sebahagian daripada pemain yang menyumbang kepada kejayaan Chelsea dalam tempoh empat tahun akan datang," kata Ramires.

Umbut Palah ialah sejenis tumbuhan liar di hutan Sarawak. Ia sejenis tumbuhan yang berduri dan ia subur tumbuh di tanah gambut Sarawak.

Yang uniknya masyarakat Sarawak memang lebih awal mengetahui kegunaan umbut palah. Daunnya boleh digunakan untuk membungkus makanan seperti kelupis. Kelupis sinonim terdapat pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak.

Namun yang lebih uniknya lagi ialah umbutnya boleh dijadikan makanan. Kebiasaannya masyarakat Sarawak akan menyadiakan masakan rebus bagi menyediakan makanan berasaskan umbut palah. Rasa sedikit pahit tetapi jika betul cara masakannya, ia begitu sedap jika dijadikan hidangan makanan tengahari.

Masyarakat Sarawak kebiasaannya akan menambah ikan segar sungai atau ikan salai dalam masakan umbut palas. Ikan yang sering digunakan ialah ikan keli hutan, puyu hutan, sepat dan berbagai jenis ikan ulu sungai. Jika tiada ikan segar maka ikan salai seperti salai ikan jan, salai keli, salai belukang dan sebagainya menjadi bahan tambahan dalam masakan umbut palah.

Di kawasan bandar memang jarang menemui umbut palah dijual tetapi apabila mengunjungi pekan atau bandar kecil di Sarawak khususnya kawasan tengah Sarawak, begitu banyak umbut palah dijual.

Beginilah suasana di Sarawak yang boleh didapati bahan makanan yang begitu jarang didengari. Hasil hutan Sarawak menyimpan 1001 macam khazanah yang boleh dijadikan makanan yang mungkin ramai yang tidak mengetahui.


Polis kini sedang menyiasat dakwaan mengenai sepasang kekasih lesbian yang ditangkap di Hawai akibat bercumbu di tempat terbuka di sebuah kedai serbaneka.

Courtney Wilson dan Taylor Guerrero, dari Los Angeles, ditangkap oleh polis kerana mempamerkan perbuatan memalukan termasuk berpelukan dan bercumbu.

Polis kemudiannya mengarahkan mereka supaya berhenti daripada berbuat demikian dan beredar ke tempat lain jika mahu `berkasih sayang’ sedemikian rupa.

Mereka kemudiannya berhenti daripada bercumbu dan meneruskan aktiviti membeli belah di situ.

Bagaimanapun tanpa malu, mereka kemudiannya mempamerkan budaya songsang dengan berkucupan sekali lagi di situ.

Ia menyebabkan polis terbabit yang nampak mereka berkelakuan tidak bermaruah itu marah lalu mengarahkan mereka menghentikannya. Pada masa sama menghalau lesbian terbabit.

Susulan itu berlaku pergaduhan dan kedua-duanya telah ditangkap kerana mencederakan anggota polis terbabit.

Mereka kemudiannya terpaksa bermalam selama tiga hari dalam lokap dan hanya dibebaskan dengan ikat jamin.

Namun pasangan lesbian itu tidak berpuas hati dan kini mahu menyaman anggota polis terbabit dengan alasan mereka diganggu. - MYNEWSHUB



WASHINGTON: Penyanyi rap warga Jerman yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) didakwa terbunuh dalam serangan udara di Syria, kata pegawai pertahanan pada Khamis.

"Kami percaya dia terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini.

"Cuspert bukan sasaran utama kami dan kami tidak menyasarkan untuk serang dia," katanya beberapa pejuang jihad IS yang lain turut terbunuh.

Dikenali dengan nama rap Deso Dogg, Cuspert menukar namanya kepada Abu Talha al-Almani.

Pernah membuat persembahan rap di Berlin, Cuspert merupakan antara pejuang barat yang terkenal dalam kumpulan IS. Dia juga tersenarai sebagai penyokong Al-Qaeda oleh United Nations.

Kumpulan IS melarang sebarang jenis muzik tetapi menyanyi dibenarkan. Beberapa video pejuang jihad yang menakutkan diubah kepada audio.

Sumber daripada IS pada April 2014 berkata Cuspert terbunuh di Syria tetapi kemudian menarik balik dakwaan itu.

Cuspert yang menyertai IS pada 2012 muncul dalam beberapa video kumpulan militan itu termasuklah pada November tahun lepas, video yang menunjukkan seorang pejuang IS memegang kepala seorang lelaki yang dipenggal kerana menentang mereka.

Cuspert yang telah berjanji untuk setia kepada pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi itu dilantik menjadi ketua rekrut pejuang Jerman. -AFP

KOTA KINABALU: Seorang warga emas rentung selepas rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didudukinya di Kampung Kuranji, Kota Marudu, kira-kira 131 kilometer dari sini, musnah dalam kebakaran Khamis malam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K. Ramin berkata mangsa dikenali Abdul Wakil Abdul Salam, 68, ditemukan rentung di dalam sebuah rumah daripada tiga rumah PPRT yang terlibat dalam kebakaran itu.

Katanya pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.44 malam dan sebuah jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba Kota Marudu tiba di lokasi pada 11.07 malam. Api berjaya dikawal kira-kira tiga minit kemudian.

Menurut Mohd Affendy, ketika pasukan bomba tiba di lokasi, dua daripada tiga buah rumah PPRT berkenaan telah terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 60 peratus.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.48 pagi.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, pejabat pentadbiran Pelabuhan Kota Kinabalu yang terletak di tingkat 3, Wisma Pelabuhan, hangus dalam kebakaran kira-kira 6.28 pagi Jumaat.

Anggota Balai Bomba Kota Kinabalu yang tiba di lokasi pada kira-kira 6.30 pagi berjaya memadamkan kebakaran berkenaan sepenuhnya sejam kemudian, katanya.- BERNAMA

JAKARTA : Indonesia yakin isu berkaitan persempadanan wilayah antara republik itu dengan Malaysia dapat diselesaikan menerusi rundingan sahaja.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata rundingan adalah kaedah terbaik bagi kedua-dua buah negara untuk mengelakkan sebarang konflik mengenai sempadan, dan tuntutan ke Mahkamah Antarabangsa sepatutnya adalah pilihan terakhir.

"Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah perbezaan cara hitungan (ukuran) penetapan perbatasan walaupun telah terdapat standard internasional (antarabangsa) mengenainya.

"Namun dengan Malaysia semuanya dapat diselesaikan dengan perundingan walaupun (tempoh) perundingan itu lama," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di sini.

Katanya jika sudah tiada pilihan, maka barulah perkara itu dibawa ke Mahkamah Antarabangsa dan Indonesia telah mempunyai pengalaman mengenainya, seperti tuntutan wilayah di Pulau Sipadan dan Ligitan yang akhirnya diiktiraf sebagai milik Malaysia.

"Memang ada masalah (tuntutan wilayah)...semua bisa (boleh) diselesaikan. Kalau kita tidak bisa berunding, kita berunding (lagi) bertahun-tahun dan kalau tidak bisa, dapat dibawa ke mahkamah seperti Sipadan dan Ligitan, dan Indonesia menghormati keputusan Mahkamah Antarabangsa itu," katanya.

Jusuf berkata antara faktor lain yang menyebabkan berlaku tuntutan wilayah adalah sejarah dan masalah rakyat.

Katanya dari aspek sejarah dan budaya, rakyat Malaysia dan Indonesia adalah serumpun kerana pada zaman dahulu, tidak ada sempadan antara kedua-dua buah negara dan rakyatnya bebas berhijrah.

Setelah wujudnya dua buah negara yang berdaulat, berlakulah tuntutan sempadan, katanya lagi.

Beliau berkata sempadan wilayah sebenarnya adalah isu teknikal sahaja sedangkan rakyat kedua-dua buah negara masih berkongsi budaya dan bahasa yang sama.

"Kita serumpun, masyarakat Malaysia banyak berasal dari rumpun Indonesia dan waktu itu belum ada negara, jadi bebas ke mana-mana. Ada (rakyat Malaysia) yang berasal dari Bugis seperti Pak Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) ada dari Jawa, (begitu juga) ada orang Melayu yang ke Sumatera," kata beliau.

Naib Presiden itu berkata fakta sejarah membuktikan walaupun pernah berlaku konflik Malaysia-Indonesia pada tahun 60-an, ia berakhir dengan perundingan yang baik dan kedua-dua buah negara dapat bekerjasama dengan baik dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan.

Katanya hubungan Malaysia dan Indonesia sebenarnya saling menghargai dan menghormati satu sama lain malah saling membantu dalam bidang pelaburan.

Persempadanan Malaysia-Indonesia sering mendapat perhatian media Indonesia terutamanya kawasan perairan yang dikenali sebagai Ambalat iaitu sebuah blok perairan antara Sulawesi, Indonesia; dan Sabah, Malaysia.

Tuntutan bertindih perairan itu timbul sejak tahun 2002 kerana perbezaan peta wilayah sempadan yang digunakan oleh kedua-dua buah negara.

Kawasan perairan itu kini dikawal oleh pasukan keselamatan kedua-dua buah negara dan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian masih berterusan.

-- BERNAMA


Jika sebelum ini filem The Journey berjaya mencatat kutipan tertinggi di Malaysia (RM17.28 juta) tahun lalu, kini rekod itu telah dipintas oleh filem lakonan Zizan Razak dan Shaheizy Sam, Polis Evo dengan kutipan RM17.30 juta selepas 42 hari ditayangkan di seluruh Malaysia dan Brunei.

Polis Evo yang mula ditayangkan bermula 17 September lalu diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan karya asal oleh Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf ini sekaligu membawa sinar baru di dalam industri perfileman tanah air.

Malah melalui portal Astro Gempak sebelum ini, antara faktor yang turut menyumbang jumlah kutipan tiket yang tinggi adalah kerana ada penonton yang menyaksikan filem ini berulang kali di pawagam.

Polis Evo filem bergenre aksi dan memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah. (rtky/s)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga India didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menampar Imam Masjid Negara, mengganggu perjalanan solat Jumaat dan tinggal lebih masa di negara ini, bulan lalu.

Majistret Siti Radziah Kamarudin turut memerintahkan Shabir Ahmad Khan, 31, menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Zuhairee Mohd Yatim, 39, di Masjid Negara, Jalan Perdana, Dang Wangi, di sini pada jam 1.30 tengah hari, 18 September lalu.

Dia turut didakwa mengganggu perjalanan solat Jumaat dan tinggal lebih masa di negara ini di tempat, waktu dan tarikh sama. - BH


MIRI: Sarawak akan membangun estet perindustrian baharu di bandar kecil seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk menjana pertumbuhan dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata di bawah program pembangunan RMK11 (bermula 2016 hingga 2020), sekurang-kurangnya terdapat sebuah kawasan perindustrian akan dibangunkan di setiap daerah, terutama di luar bandar.

“Usaha itu kelak mempercepat pembangunan luar bandar sejajar dengan agenda kerajaan negeri mahu membantu menambah pendapatan penduduk pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis makan malam sempena meraikan peserta Persidangan PKS Asia Ke-3 di sini, malam kelmarin.

Teks ucapan beliau telah dibaca Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Julaihi Narawi.

Menurut Adenan, perancangan itu adalah tambahan kepada usaha kerajaan negeri memperuntuk lebih RM3 bilion bagi membangun 7,200 hektar tanah untuk tujuan perindustrian di seluruh negeri termasuk 481 ekar di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, ke arah merangsang pertumbuhan IKS.

Katanya peruntukan itu disalur menerusi pelbagai agensi kerajaan sedia ada, bertujuan membantu sebanyak 43,830 IKS (jumlah didaftarkan pada 2011) meningkat serta memperluas perniagaan masing-masing.

“Kerajaan amat menyedari pentingnya IKS ini sebagai pemangkin kepada ekonomi dan untuk meningkat taraf hidup rakyat khususnya di luar bandar.

“Statistik menunjukkan bahawa IKS menjadi salah satu penyumbang amat besar kepada pelaburan dan ekonomi negeri dengan kebanyakannya terbabit dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan,” katanya.

Adenan berkata, IKS di Sarawak juga perlu memperluas pasaran produk dan perniagaan mereka ke luar negara, khususnya negara rantau Asia, apatah lagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang kini mempunyai populasi mencecah 625 juta, memberi potensi amat hebat untuk perdagangan dan perniagaan.

“Jika ekonomi negara-negara ASEAN digabung ia boleh menjadi antara lima kuasa ekonomi terbesar selepas Kesatuan Eropah, Amerika, China dan Jepun,” katanya.

Adenan berkata Sarawak mempunyai kelebihan kerana berkongsi sempadan dengan Brunei dan Indonesia, yang perlu dijadikan sebagai peluang mudah memasarkan produk dan perkhidmatan IKS.

“Usahawan di Sarawak harus berani meneroka peluang peniagaan di kalangan negara ASEAN dan tidak terlalu bergantung kepada pasaran tempatan yang kecil,” katanya.

Mengenai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Adenan berkata sejumlah RM30 bilion nilai pelaburan sudah dilaburkan di kawasan Taman Perindustrian Samalaju.

Beliau berkata, sejumlah 15 syarikat dengan nilai pelaburan RM25 bilion sudah mula beroperasi di kawasan itu dan ia akan memberi peluang perniagaan lebih baik kepada IKS di Sarawak.

Turut hadir Pengerusi Majlis Antarabangsa Untuk SME dan Keusahawanan (ICSMEE) Malaysia Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Datuk Hafsah Hashim, Pengarah Eksekutif Majlis Antarabangsa untuk Perniagaan Kecil (ICSB) Amerika Syarikat Profesor Madya Dr Ayman El Tarabishy serta Presiden ICSB Korea Dr Ki-Chan Kim.

Pada majlis sama, Julaihi turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara ICSB yang diwakili oleh Dr Ayman serta Dr Ki-Chan dan wakil negara-negara ASEAN.

MoU tersebut yang dinamakan Inisiatif ICSB-ASEAN bertujuan mewujudkan satu inisiatif baharu ke arah pembangunan IKS di negara rantau ASEAN menerusi kerjasama ekonomi, pendidikan, kem keusahawanan dan sebagainya.-UB
| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA